Khamis, 29 September 2011

Catatan seorang budak kampung.

“Ucapan alu-aluan penulis dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kepada keluarga, dan sahabat-sahabat Baginda sebagai pembuka bicara sebelum tinta menulis”.

Menjelang hujung senja di desa kecil Kuak Hulu

Jam tangan penulis menunjukkan tepat jam 6:00 petang di kampung penulis, Kuak Hulu. Waktu yang lewat buat generasi tua untuk menyiapkan diri untuk pergi ke masjid bersembahyang maghrib berjemaah, akan tetapi, waktu itu masih mentah, buat generasi muda. Mereka berduyung-duyung menuggang motorsikal ke atas jalan baru atas bukit di kampung penulis. Bukan seorang dua, tetapi berkumpulan dan berpuak-puak dari kampung-kampung yang berbeza. Destinasi mereka ialah melepak di tepi-tepi pembahagi jalan kiri dan kanan jalan. Apabila enjin motorsikal dimatikan, mereka kemudian bersembang kosong dengan pelbagai isu-isu menarik sambil menghisap rokok. Kemudian berkepul-kepulah asap rokok memenuhi ruang udara. Baunya amat kuat hingga penulis bisa merasainya meskipun penulis berada agak jauh daripada kumpulan tersebut. Hampir setiap petang, anak-anak remaja kampung penulis kerap melepak di pembahagi jalan baru atas bukit itu. Ianya sudah menjadi hobi atau aktiviti riadah yang wajib dalam diri mereka. Tapi itu tak mengapa, itu hak mereka dan tiada salahnya selagi aktiviti mereka tidak mengganggu kententraman awam kampung. Yang menjadikan aktiviti ini salah jika mereka terlibat dalam gejala-gejala sosial yang tidak sihat dan menjejaskan diri, keluarga dan kampung. Apa yang penulis lihat dan teliti buat masa ini tiada aktiviti sosial yang tidak sihat yang boleh membawa kemudaratan pada diri mereka. Cuma ada satu dua saja, tapi masih di peringkat yang boleh dikawal dan dibanteras.
      Kelihatan beberapa anak muda yang berada di pembahagi jalan itu memegang telefon bimbit di tangan masing-masing. Penulis melihat telefon bimbit yang dipegang agak mahal dan canggih, namun, ada juga dalam kalangan mereka memegang telefon bimbit yang biasa dan murah. Tapi itu tidak mengapa janji ada, janji boleh hantar SMS dan menelefon, frasa yang selalu dikatakan teman-teman penulis. Sambil mereka bersembang dan menghisap rokok, ada yang sempat menulis dan membaca perkhidmatan pesanan ringkas ( SMS ). Ada yang ketawa sendirian ketika melihat skrin telefon bimbit, ada yang mencari tempat yang sunyi di situ untuk menelefon atau bergayut, mungkin dengan teman wanita. Manakala, bagi kaki video atau muzik, mereka asyik dan leka melihat dan mendengar video atau muzik dimainkan, layan feeling bak kata teman penulis. Bagi kaki bluetooth mereka meminjam telefon bimbit kawan-kawan untuk berkongsi video dan muzik yang lama dan terkini. Tak salah kalau kita berkongsi, itu juga ilmu, tapi ilmu yang baik dan bermanfaat kepada semua, mutiara kata yang diambil oleh penulis daripada golongan cerdik pandai melalui pembacaan penulis daripada beberapa buah buku ilmiah.
      Sambil penulis asyik melihat aksi dan karenah anak-anak muda kampung melepak, muncul beberapa buah motorsikal dan kereta meluncur laju di kiri kanan jalan raya baru atas bukit itu. Mungkin ada anak-anak kampung yang baru sahaja pulang kerja barangkali, kata penulis dalam hati. Sungguh laju mereka memandu, seolah-olah tidak sabar untuk berjumpa dengan anak bini di rumah atau menikmati hidangan makan/minum petang. Jam tangan penulis menunjukkan 6:15 petang, masih ramai anak-anak kampung mengunjungi jalan baru di atas bukit itu. Penulis melihat ada juga suami atau isteri membawa anak-anak mereka menunggang motorsikal bersiar-siar di waktu petang. Mungkin itu permintaan anak-anak mereka yang mahukan keseronokkan atau mungkin itu masa terluang suami isteri untuk anak-anak ketika mereka letih bekerja di awal pagi. Masa yang terluang pada waktu petang dikhaskan kepada anak-anak pula selain untuk melepaskan stress atau tekanan yang dialami oleh mereka di tempat kerja. Kelihatan juga anak-anak kampung yang masih mentah, iaitu kanak-kanak turut menunggang motorsikal meluncur di hadapan penulis. Mereka nampak gembira kerana boleh menunggang motorsikal tanpa ada sekatan dan halangan daripada ibu bapa, andaian awal penulis, mungkin sebaliknya yang berlaku. Ada penunggang motorsikal yang membawa 2 hingga 4 orang pembonceng. Penulis beranggapan mereka masih mentah, tidak tahu bahaya bencana, yang mereka tahu keseronokan. Susah senang mereka ditanggung oleh ibu bapa atau saudara mara mereka.
      Sudah hampir waktu maghrib, namun, masih bertambah tetamu di pembahagi jalan baru di atas bukit itu. Kelihatan beberapa buah motorsikal lalu di hadapan penulis dengan membunyikan enjin-enjin yang kuat dan berkepul-kepul asap keluar daripada mulut ekzos. Penulis sudah tahu siapa identiti mereka sebenarnya?. Mereka ialah anak-anak muda kampung yang selalu berlumba motor di atas jalan baru atas bukit itu. Bunyi-bunyi enjin tadi itu, mungkin mengajak beberapa kumpulan di pembahagi jalan baru itu yang berani untuk berlumba dengan mereka. Kemudian, keluarlah beberapa orang dalam kumpulan-kumpulan tersebut menyahut cabaran yang dipelawa oleh kumpulan yang datang berkonvoi itu tadi. Maka, berlumbalah mereka dan ramailah yang melihat aksi mereka di atas jalan tar yang pudar itu seperti melihat perlumbaan yang betul seperti aksi perlumbaan di dalam kaca televisyen ( TV ). Bersoraklah para penonton di kiri kanan jalan itu memberi sokongan kepada rakan masing-masing. Jalan pada hari itu menjadi milik mereka dengan dentuman enjin motorsikal yang bising sehingga menggamatkan seluruh kampung dan warganya. Perlumbaan motorsikal ini menyebabkan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing, takut bimbang akan dilanggar oleh pelumba-pelumba tersebut. Namun, ada juga pengguna jalan raya yang berang melontarkan kemarahan kepada pelumba-pelumba motorsikal tersebut, tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Ibarat mencurahkan air ke daun keladi, peribahasa yang pernah dipelajari oleh penulis sewaktu di bangku sekolah dahulu.
    Petang-petang redup sebegini turut memberi peluang dan ruang anak-anak gadis kampung keluar menghirup udara petang. Mereka turut pergi ke destinasi yang sama dengan kumpulan-kumpulan pelepak tadi, iaitu di jalan baru atas bukit. Penulis melihat cara dan adat berpakaian anak-anak gadis kampung bermacam jenis rupa dan style ( gaya ). Ada yang berbaju kurung bertudung, ada berbaju kurung tidak bertudung, ada memakai t-shirt, ada berseluar jeans ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan dan ada yang bertuala di kepala. Kehadiran anak-anak gadis kampung ke kawasan lepak menjadi tarikan dan goyangan nafsu gelora kepada kaum Adam yang berada di situ. Nampak sahaja, dua tiga orang anak gadis kampung melintas jalan baru tersebut, mereka melihat dengan penuh nafsu dan ghairah sambil mulut bersiul-siul merdu mengorat anak gadis tersebut. Ada anak gadis yang malu dan terus meluncur motorsikal dengan laju, ada anak gadis yang tertarik dengan bunyi siulan kaum Adam dengan menampakkan keriangan di wajah manis mereka, dan ada yang seronok dengan bunyi-bunyi tersebut dan beberapa kali mereka meronda-ronda di kawasan tersebut. Sampai letih dan bosan kaum Adam melayan dan mengorat mereka. Kadang-kadang bini orang pun menjadi mangsa usikan kaum Adam di situ, kakak atau adik member-member pelepak pun menjadi mangsa usikan mereka. Penulis tersenyum sinis melihat aksi dan perlakuan mereka yang selambe ( BM Standard selamba )  itu. Kadang-kadang dalam kumpulan tersebut ada juga golongan yang masih belum baligh turut mengusik anak-anak gadis kampung tersebut. Penulis terus memerhati aksi dan karenah anak-anak muda kampung.
         Jam di tangan penulis menunjukkan tepat pukul 7.00 petang. Para pelepak masih enggan meninggalkan tempat duduk mereka. Sudah panas rasanya besi pembahagi jalan itu menampung berat punggung keras mereka. Ada yang masih bersms, bergayut, dan merokok di kala warna langit biru mahu bertukar gelap, dan mambang merah menyuluh di kaki gunung dan bukit. Ada kumpulan-kumpulan yang lain telah beredar dari situ mengikut kepalanya ( ketua ). Berdesit-desit enjin motorsikal berbunyi mengucapkan selamat tinggal kepada wajah jalan baru atas bukit tersebut. Penulis turut sama menghidupkan enjin motorsikal untuk pulang bersama-sama kumpulan tadi, pulang ke rumah berkonvoi bersama-sama. Di simpang jalan masuk ke rumah penulis, penulis melihat beberapa jemaah masjid berpakaian bersih dan suci menuju ke masjid bagi menunaikan solat maghrib berjemaah. Ada yang menaiki motorsikal, ada yang memandu kereta, ada yang berbasikal, dan ada yang bejalan kaki. Kesemua mereka adalah orang-orang yang telah berumur, sukar melihat golongan muda yang muncul mengunjungai rumah suci Allah S.W.T itu. Sampainya penulis ke rumah, muazzin melaungkan azan maghrib, maka terdengarlah bunyi-bunyi enjin motor berdesiran di jalan baru atas bukit, itu mungkin kumpulan pelepak yang masih belum pulang tadi. Kata penulis di dalam hati, “azan mungkin wisel penanda penamat bagi pelepak untuk pulang ke rumah”. Esok masih ada, penulis berharap semoga dapat melihat aksi dan gelagat anak-anak muda kampung beriadah di waktu petang di atas jalan baru di atas bukit itu lagi. Insya-Allah. Berakhirlah sebuah riwayat “MENJELANG HUJUNG SENJA DI DESA KECIL KUAK HULU”.

P/s : Kesemua cerita yang ditulis penulis di atas adalah benar dan sahih, namun ada beberapa ayat di dalam bait-bait ( baris ) dalam setiap perenggan diolah dan ditokok tambah oleh penulis sendiri bagi menghasilkan jalan cerita yang lebih sedap dan menarik untuk dibaca oleh saudara/saudari. Penulis memohon maaf jika terdapat penyataan dalam cerita di atas menyentuh hati dan perasaan saudara/saudari. Penulis pun tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan dan masih dalam memperbaiki penampilan diri. Segala isi-isi yang dipaparkan dalam cerita di atas hanya sebuah catatan pengalaman penulis sepanjang berada di kampung dan tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Mesej utama hendak disampaikan penulis ialah, mahukan saudara/saudari membaca cerita di atas, kemudian menilai diri sendiri dan memperbaiki kelemahan dan keburukan yang ada pada diri masing-masing. Sesungguhnya, Allah S.W.T sentiasa membuka pintu taubat-Nya kepada hamba-hamba yang mahu bertaubat sebenarnya-benarnya.