Ahad, 2 Oktober 2011

Sekitar Catatan Tentang Dialek

Kamus Dialek Kuak Hulu
1.0 Setelah penulis membuat kajian mengenai dialek Kuak Hulu (DKH), penulis telah membukukan DKH sebanyak 420 aksara (perkataan). Penuls telah mencerakinkan kesemua aksara-aksara tersebut mengikut abjad, iaitu bermula dengan abjad A hingga abjad Z. Berikut merupakan susunan abjad dan jumlah aksara dalam DKH :

A=6 aksara
B=54 aksara
C=28 aksara
D=10 aksara
E=44 aksara
F=
G=44 aksara
H=22 aksara
I=
J=18 aksara
K=51 aksara
L=34 aksara
M=29 aksara
N=3 aksara
O=1 aksara
P=31 aksara
Q=
R=3 aksara
S=38 aksara
T=43 aksara
U=3 aksara
V=
W=1 aksara
X=
Y=1 aksara
Z=

1.1 Statistik  jumlah bilangan perkataan mengikut abjad dalam Dialek Kuak Hulu adalah seperti berikut :
I) Abjad yang banyak menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad B (54), abjad K (51), abjad E dan G (44), dan abjad T (43).
II) Abjad yang sederhana banyak menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad S (38), abjad L (34), abjad P (31), abjad C (28), abjad H (22), dan abjad M (29).
III) Abjad yang sedikit menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad D (10), abjad J (18), abjad N (3), abjad O (1), abjad R (3), abjad U (3), abjad W (1), dan abjad Y (1).
IV) Abjad yang tidak menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad F, I, Q, V, X dan Z.
P/s : Kamus ini masih dalam proses penyuntingan oleh penulis. Penulis beranggapan masih ada lagi beberapa aksara dalam DKH yang masih belum dijumpai, terutama akasara-akasara lama yang tidak lagi digunakan oleh generasi baru Kuak Hulu. Penulis akan melakukan kajian yang berterusan.

Note : Penulis telah memperolehi semua maklumat tentang aksara-aksara DKH melalui beberapa warga kampung menerusi kumpulan laman sosial Facebook, Mari Belajar Dialek Kuak Hulu. Terima kasih kepada mereka yang membantu penulis dalam menulis dan membukukan kamus DKH ini.Tujuan penulis adalah untuk memelihara keaslian dan fungsi DKH daripada terhapus dan menjadi rujukan dan panduan kepada sesiapa yang hendak mempelajarinya.

Sabtu, 1 Oktober 2011

Penulis belajar tiruan bunyi.

Nama : Mohd Kodri Bin AB. Malik
No. Matrik : D20091034249
Kod dan Nama Khusus : BMK3043 Seni Mengarang
Kumpulan : B
Tajuk : Tiruan Bunyi

Bunyi  Manusia
1.  Alaaah
- Bunyi yang merujuk kepada perasaaan seronok dan gembira seseorang.
“Alaaah, Sudin oi. Ada engkau balik. Dah besar kau nak. Karim di mana, nak?
( Novel ‘Anak Titiwangsa’, Keris Mas ). 
2. Berderuan
- Bunyi yang merujuk kepada siulan yang dihasilkan oleh seseorang.
Sekali-sekala pula berderuan siul anak-anak muda yang lalu kencang dengan basikal, pulang dari menonton wayang atau bermain terup…
( Novel ‘Korban Kesucian’, Keris Mas ). 
3. Eeee
- Bunyi yang merujuk perasaan geli seseorang terhadap sesuatu benda atau binatang.
Eeee...suara kecilnya menggerutu. Api masih malas-malas seolah-olah mengacah-acah.
( Cerpen ‘Batu lapan’, Sukinah Supar ). 
4. Emm
- Bunyi yang merujuk kepada sesuatu yang tidak pasti.
“Emm, aku akan berangkat esok.”
( Cerpen ‘Penantian’, Norulashikin Jamain ).

5. Er
- Bunyi yang merujuk kepada seseorang yang sukar membuat keputusan atau berasa gementar.
“Tapi..., tentu ada sebabnya!...er...”
( Cerpen ‘Tuhan, bagaimana kan kupinta padamu’, Johar Buang ). 
6. Heh
- Bunyi yang merujuk kepada perasaan marah.
“Heh! Abang ingat dengan melonggokkan wang setiap bulan, anak-anak abang boleh sempurna, begitu?
( Cerpen ‘Terminal terakhir’, Nazirah Matunus ). 
7. Hi...hi...hi
- Bunyi yang merujuk kepada seseorang yang ketawa.
“Hi...hi...hi...!” Wak Saman tergelak-gelak besar. “Betul tak takut?”
( Cerpen ‘Hadiah seorang ayah’, Mohd Isa Hassan ). 
8. Hmm
- Bunyi untuk menyatakan rasa tidak puas hati.
...hmm, Man, sayang apa erti itu jubah, atau songkok, atau sejadah, apa ertinya itu semua kalau hanya kelihatan cantik pada zahir saja,...
( Cerpen ‘Ironi Terakhir’, Abdul Rahman Basrun ). 
9. Mmm
- Bunyi yang merujuk kepada sesuatu yang tidak pasti.
“Mmm, tiga tahun.
( Cerpen ‘Penantian’, Norulashikin Jamain ). 
10. O
- Bunyi untuk menyatakan seseorang faham sesuatu perkara.
O ya, tangan kanannya tergantung dalam baldi, tangan yang dah berwarna biru, ada semacam luka di pergelangan tangan itu, kuagak dilakukan dengan menggunakan pisau cukur...
( Cepen ‘Ironi Terakhir’, Abdul Rahman Basrun ).
11. Oh
- Bunyi untuk menunjukkan seseorang itu kagum dengan seseorang lain.
“Anakku...oh anakku...Mak tetap sayang padamu,” kata Mak Haji Munah tersedu-sedu.
( Cerpen ‘Hadiah seorang ayah’, Mohd Isa Hassan ). 
12. Ohh
- Bunyi untuk menyatakan perasaan sedih.
Ohh...tak ada peluang baginya.Mana isterinya? Mana anak-anaknya?
( Cerpen ‘Harapan terakhir’, Rosmala ). 
13. Termengah-mengah
- Bunyi nafas yang dikeluarkan oleh seseorang apabila dalam keadaan letih.
Nafasnya termengah-mengah seperti pelari yang baru menghabiskan lariannya sejauh sebatu.
( Cerpen ‘Hadiah seorang ayah’, Mohd Isa Hassan ).

Bunyi Binatang
1.  Aaaak
- Bunyi yang dikeluarkan oleh burung gagak.
“Aaaa! aaak!aaak!” “Wak Sahya! Kampeitai perintah wak buat kerja tu.”
( Cerpen ‘Gagak’, Isa Kamari ). 
2. Berkelip
- Bunyi yang merujuk kepada pergerakan mata.
Matanya berkelip memandang Jaguh. Jaguh terfana dalam kebodohan sendiri.
( Cerpen ‘Terbang helang terbang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
3. Dengus
- Bunyi yang dikeluarkan oleh seekor babi.
Tiba-tiba pecahlah kesunyian itu oleh semacam dengus yang menggerunkan. Tidak syak lagi tentu dengus babi.
( Novel ‘Rimba Harapan’, Keris Mas ). 
4. Hei
- Bunyi yang digunakan untuk menunjukkan perasaan marah atau menarik perhatian.
“Hei Putih!...Putih! Kau dah nak mati, ye?” jerit Jaguh yang sedang mendekati Putih.
( Cerpen ‘Terbang helang terbang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
5. Hai
- Bunyi yang dikeluarkan untuk memulakan perbicaraan.
“Hai...Raja Rimba akhirnya masuk ke Taman Binatang juga,” kata Rusa melihat Sang Singa Tua menjadi penghuni baru di kawasan itu.
( Cepen ‘Mahkotanya yang hilang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
6. Kicauan
- Bunyi yang dikeluarkan oleh burung-burung.
Kicauan burung-burung yang menjadi penghuni tetap pohon-pohon besar berdaun lebat di merata kawasan itu memecah kesunyian pagi.
( Cepen ‘Mahkotanya yang hilang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
7. Mengaum
- Bunyi yang dikeluarkan oleh singa.
…Sang Singa Turut merasakan kehangatan suria pagi.Ia hanya mendengus saja, tidak lagi mengaum seperti pagi-pagi yang telah lama berlalu.
( Cepen ‘Mahkotanya yang hilang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ).
  
Bunyi Benda/ Objek
1. Degupan
- Bunyi degupan jantung manusia.
Degupan jantung yang tadi memukul kencang kian mereda dalam dada masing-masing.
( Cerpen ‘Terbang helang terbang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
2. Kerlipan
- Bunyi untuk menyatakan cahaya yang dikeluarkan oleh bintang.
Sayup menghiasi malam, menjadikan malam itu indah dengan kebesaran Tuhan, meskipun tanpa kerlipan bintang-bintang di awan.
( Cerpen ‘Batu lapan’, Sukinah Supar ). 
3. Kreok-kreok
- Bunyi yang merujuk pusingan roda beca.
Kreok-kreok, roda beca Wak Mat menyakitkan gegendang telinga perempuan gemuk yang
( Cerpen, ‘Kreok-kreok’, Othman Ismail ). 
4. Mengetuk-ngetuk
- Bunyi yang dikeluarkan apabila kita memukul sesuatu.
Dia mengetuk-ngetuk belakang alat itu dengan telapak tangannya.Barulah berus itu berputar. Sufian tersenyum.
( Cerpen ‘Keputusan’, Zulaiha Yusuf  ). 
5. Rintik-rintik
- Merujuk bunyi air hujan yang menitis.
Dan malam itu ada hujan rintik-rintik.
( Novel ‘Sutan Baginda’, Shahnon Ahmad ).
6. Ring…ring…ring
- Merujuk bunyi telefon yang berbunyi.
Ring…ring…ring…ring…Syarifah secepat kilat mencapai gagang telefon. “Ha…hello…abang ya?
( Novel ‘Yang Sebenarnya’, Keris Mas ). 
7. Syyy
- Merujuk bunyi untuk menyatakan zip seluar yang dibuka atau ditutup.
Syyy...zip! Pintu dibuka.Berpusu-pusu penumpang keluar menuju ke pintu-pintu berpalang.
( Cerpen ‘Keputusan’, Zulaiha Yusuf ). 
8. Tut-tut
- Merujuk bunyi yang dikeluarkan oleh alat pernafasan di hospital.
Tut-tut-tut-tut-tut alat pembantu pernafasan itu berbunyi patuh.
( Cerpen ‘Jamilah’, Amat Dholah ).
9. Titik-titik
- Merujuk bunyi titisan air hujan yang jatuh ke tanah.
Dan bila ruang itu dibasahi oleh titik-titik hujan yang semakin lebat, tahulah aku bahawa naked power yang didekati dengan cara tirani…
( Novel ‘Sutan Baginda’, Shahnon Ahmad ). 
10. Tit, tit, tit
- Merujuk bunyi telefon.
Tit, tit, tit...telefon di pinggang Sufian berbunyi. Alat yang seakan-akan radio kecil itu didekatkan ke mulutnya.
( Cerpen ‘Keputusan’, Zulaiha Yusuf  ).





Sebuah Autobiografi seorang anak kampung.

Kenangan-kenanganku di Cheghok desa...
Setiap kali aku pulang ke kampung, aku sering mengunjungi sebatang sungai. Dari atas sebatang  titi konkrit , aku teringat jasa dan fungsi sungai tersebut kepada penduduk kampungku. Sungai itu juga mengimbau kembali usiaku di zaman kanak-kanakku dahulu. Pada waktu dahulu, di sinilah tempat aku bermain bersama-sama rakan-rakanku seharian. Sungai sudah dianggap sebagai  darah daging bagiku kerana ia menyimpan seribu kenangan di situ. Sepanjang usia di zaman kanak-kanakku, pelbagai pahit manis telah aku hadapi ketika berada di sungai. Kini setelah umurku mencapai dewasa, kenangan 22 tahun yang lalu masih segar di benak fikiranku. Acap kali, aku ingin kembali ke zaman tersebut untuk menikmati susasana yang begitu indah dan menyeronokkan. Apabila aku pulang ke kampungku, aku sering melihat anak-anak kecil riang gembira bermain air sungai yang tenang mengalir. Keseronokan mereka bermain air, membuatkan aku terbayang zamanku semasa kanak-kanak dahulu. Aku mahu menulisnya kembali sejarah tersebut supaya anak-anak dan cucuku boleh membaca kepadaku kembali peristiwa tersebut di masa tuaku.
             Pada zaman dalam tahun 80-90 an dahulu, iaitu ketika kelahiranku ke dunia ini. Pada waktu itu sungai menjadi nadi penting kepada warga di kampungku, iaitu Kampung Kuak Hulu yang terletak di daerah Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzuan. Dahulu masyarakat kampungku bergantung sepenuhnya kepada jasa sungai untuk memenuhi keperluan seharian. Ini tidak hairanlah aku menjadi warga sungai yang setia. Di sinilah aku melihat dan belajar bagaimana keperitan orang kampung dalam menjalankan kehidupan mereka seharian. Di kampungku, kami tidak memanggil sungai, tetapi kami memanggil ‘cheghok’ yang merujuk kepada dialek Kuak Hulu. Di kampungku terdapat beberapa nama jenis cherok , antaranya ialah cheghok moktan yang paling popular dalam kalangan orang tua, dan orang dewasa di kampungku. Hal Ini demikian kerana,  kerana di cherok ini mempunyai air yang dalam, banyak pokok buah-buahan, dan juga tempat membuang hajat.
             Aku masih teringat, pada waktu umurku dalam tujuh tahun, aku pernah mengikut emakku pergi ke sungai untuk membasuh pakaian. Itu merupakan pertama kali aku menjejaki kaki ke sungai. Aku begitu seronok dan teruja pada waktu itu. Di sanalah aku melihat ramai orang kampung terutamanya golongan wanita sedang membasuh pakaian. Di situ terdapat satu simen konkrit yang dikhaskan untuk membasuh pakaian. Mereka hanya memakai kain batik sekerat dada untuk membasuh pakaian di sungai,  ini menarik beberapa orang dewasa mengambil kesempatan mengintip pergerakan mereka. Kemudian aku meminta kebenaran kepada ibuku, ‘mak orang nak maning boleh dak?”. Emakku hanya mengangguk, mungkin kerana sibuk membasuh pakaiannya, tetapi dia berpesan ‘jangan mein di tepat dalang, takut lemas sat gi.” Aku dengan pantasnya terus terjun ke dalam sungai. Setelah beberapa minit sahaja berada di dalam sungai, ibuku mengajakku pulang ‘ jon klik, mak dah abis basuh baju’. Aku menurut sahaja perintah ibuku tanpa melawan, tetapi di dalam hatiku aku merungut “baru ja nak rasa nikmat mandi di cherok, dah kena balik.”
             Di usia umurku 7 tahun, sungai masih tetap menjadi idamanku. Pada setiap hari ketika aku pulang dari sekolah, aku akan pergi ke sungai. Balik sahaja ke rumah, selepas meletakkan beg kawan-kawanku mengajakku untuk mandi sungai. Kami pergi ke sungai dengan membawa seluar basahan pendek, tuala, dan tidak berbaju seperti mandi kerbau di sawah. Tiba di sungai, kami terus terjun ke dalamnya kerana tidak sabar melihat airnya yang menggongcak perasaan kami. Ada juga kawan-kawanku yang tidak berpakain ketika terjun ke sungai. Itu sudah menjadi perkara biasa budak-budak lelaki di kampung. Ketika di sungai kami bermain banyak aktiviti yang menyeronokkan. Ada yang suka main nyorok-nyorok, menangkap ikan, terjun dari atas pokok, bermain tanah liat, berperang, dan menangkap duyung ( pepatung ). Pada waktu sekolah, kami biasanya akan mandi hanya beberapa jam kerana kami terpaksa naik awal untuk pergi ke sekolah agama pada waktu petang. Jika kami terlewat, ibu bapa kami akan datang ke sungai dan merotan sesiapa sahaja yang leka mandi hingga lupa ke sekolah agama waktu petang. Kami akan meneruskan aktiviti mandi manda ini pada waktu petang pula, iaitu selepas pulang dari sekolah agama.
            Sebenarnya, pada hari minggu, iaitu pada hari sabtu dan ahad merupakan hari yang kami boleh meluangkan masa yang banyak di sungai. Hal ini demikian kerana, pada hari tersebut kami cuti sekolah. Sebelum kami dibenarkan untuk pergi mandi di sungai, ibu bapa menyuruh kami menyiapkan kerja sekolah atau membaca buku terlebih dahulu. Jika kami didapati menipu atau melanggar peraturan tersebut, mereka tidak membenarkan kami untuk mandi di sungai, bahkan kami akan dirotan dan dikurung di dalam rumah sampailah waktu petang. Pada hari minggu ini juga, ramai orang kampung datang ke sungai untuk melakukan kerja seharian seperti membasuh pakaian, menanam sayur-sayuran, menjala ikan, mengambil pasir sungai, dan berkelah. Kami yang masih kanak-kanak tidak mengambil tahu perkara-perkara tersebut begitu juga dengan penduduk kampung terhadap kami. Kami hanya datang untuk memuaskan kehendak kami yang suka mandi sungai. Biasanya, pada hari minggu, aku dan kawan-kawanku suka menangkap ikan di bibir sungai. Raga yang dibeli oleh ibu kami sering digunakan untuk menangkap ikan di sungai. Aku pernah sekali mengambil raga ibuku di dapur senyap-senyap semata-mata untuk menangkap ikan di sungai. Antara ikan yang selalu kami dapat di sungai ialah ikan temberih, seluang, karin, kapok batu, dan sebagainya. Selepas kami mendapat ikan, kami akan membuat sebuah kolam kecil daripada pasir sungai sebagai rumah ikan-ikan tersebut. Aku dan kawan-kawanku berkerjasama untuk membuat rumah ikan tersebut dan akan melepaskan ikan tersebut bersama-sama setelah kolam itu siap.
          Semasa cuti sekolah bulan November dan Disember, suasana di kampungku menjadi meriah seperti menyambut tahun baru. Pada masa ini, penduduk-penduduk kampung yang bekerja di bandar seperti di Kuala Lumpur akan pulang ke kampung. Bagi yang telah berkahwin sudah pasti akan membawa anak-anak mereka berjumpa dengan datuk dan nenek masing-masing. Kanak-kanak bandar ini juga tidak melepaskan peluang untuk mandi di sungai bersama-sama dengan kami. Di situ, kami dapat menambah lebih ramai rakan baru. Aku mengajar mereka bermain lumpur, berperang, bergusti, dan menangkap ikan sebagai syarat untuk menjadi sahabat kami. Mereka tidak berkata apa-apa dan menurut apa sahaja yang kami suruh. Kami juga turut dimarahi oleh ibu bapa mereka kerana mengajar kanak-kanak tersebut perkara yang bukan-bukan. Mereka tidak membenarkan anak-anak mereka untuk bergaul dan mandi sungai lagi selepas itu. Bagi aku, aku tidak kisah semua itu kerana untuk menjadi warga kampung, kita mesti mengikut apa yang dibuat oleh penduduk tersebut begitu juga apabila kita di bandar. Bab kata pepatah Melayu ‘masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek.’ Pada waktu cuti sekolah yang panjang ini, aku dan kawan-kawan akan berpakat untuk berkelah di tepi sungai. Kebetulan pada zaman  kanak-kanakku dahulu, penduduk di kampungku banyak menanam padi sawah di kebun mereka. Di kebun tersebut terdapat beberapa pondok kecil yang sesuai untuk berkelah dan kebetulan di tepi sungai. Kami akan membawa bekalan nasi dan lauk masing-masing dari rumah untuk berkelah di tepi sungai tersebut. Maklumlah, pada waktu itu kami masih belum pandai  untuk menyiapkan makanan sendiri. Bekalan yang dibawa oleh kawan-kawan lain akan dikongsi bersama-sama. Selepas makan, kami akan merendamkan badan kami ke dalam sungai sebagai kemuncak. Kata kawan-kawanku, mandi sungai selepas makan lebih seronok dan berasa puas hati.
         Pada usiaku 12 tahun, jiwaku masih lagi di sungai walaupun, pada waktu itu aku telah mengenali televisyen. Selepas sahaja selesai menonton rancangan televisyen kegemaranku, iaitu kartun, aku mengajak kawan-kawanku pergi mandi sungai. Biasanya, di sungai kami akan meniru gaya yang dilakukan superhero di dalam televisyen yang kami tonton seperti Ultraman, Superman, Doraemon, dan Power Rangers. Kami melakonkan kembali watak-watak kartun tersebut dalam dunia kami sendiri, iaitu salah seorang kawanku yang gemuk akan menjadi raksasa dan yang lain menjadi penyelamat. Selain itu, kami sering dibuli dan dipermainkan oleh orang yang lebih besar daripada kami ketika mandi di sungai. Mereka merupakan gangster kampung kerana umur mereka yang lebih tua daripada kami. Keadaan di sungai yang aman, tiba-tiba menjadi kelam-kabut apabila mereka datang membuat kacau. Mereka juga terpengaruh dengan rancangan televisyen yang lebih ganas, iaitu gusti ( WWF ) atau gangsterisma. Sebagai memuaskan nafsu, mereka akan datang ke sungai untuk mencari mangsa untuk bergusti. Jadi, kami yang masih kanak-kanak tidak boleh lari dan sering menjadi mangsa keadaan. Mereka mempunyai fizikal yang kuat sehingga boleh mengangkat kami yang lebih ringan dan menghempap badan kami ke dalam air secara bergilir-gilir. Ada dua tiga orang kawanku menangis dan badan mereka menjadi kemerah-merahan akibat hentakan yang kuat. Semua itu tidak dihiraukan oleh mereka bahkan mereka melakukan berulang-kali sehingga mereka berasa puas. Aku juga tidak terlepas daripada perbuatan kejam tersebut, selain badanku dihempap ke dalam air, kepala aku juga ditekan ke dalam air selama beberapa minit sehingga tidak boleh bernafas.
         Di zaman kanak-kanak, aku juga sering mendengar beberapa perkara pelik tentang sungai di kampungku. Kata orang kampungku, di dalam sungai terdapat seekor binatang yang bernama ‘pedana’ yang menakutkan. Pedana merupakan binatang seperti kura-kura yang mepunyai harta karun di dalam perutnya. Menurut cerita orang kampungku, perdana akan wujud apabila hujan turun dengan lebat sehingga paras air sungai naik. Selain itu, pedana juga akan wujud apabila pasir sungai menjadi dalam seperti digali. Orang tua-tua aku percaya jika kedua-dua perkara ini berlaku, maka wujudlah pedana itu. Menurut Pak Di, jiranku, orang kampung boleh mengambil harta karun di dalam perut pedana itu dengan menggunakan batang kemahang ( keladi ). Batang keladi yang digunakan berfungsi untuk memukul pada lidah pedana tersebut sehingga pedana itu mati. Apabila pedana itu mati, orang yang memukul tadi berjaya memperolehi harta karun tersebut. Tetapi hingga sekarang, tiada seorang pun orang kampungku yang berjaya memperolehi harta karun tersebut dan pedana itu pun tidak pernah dijumpai. Ibuku mengatakan pedana itu ialah sejenis binatang yang suka memakan orang yang selalu pergi mandi di sungai dan dia sering mengatakan perkara yang sama jika aku ingin pergi mandi di sungai. Akibatnya, aku berasa takut untuk pergi mandi sungai lagi, tetapi perasaan itu hanya bertahan beberapa hari sahaja dan hari berikutnya aku pergi juga ke sungai. Satu lagi binatang yang dikaitkan dengan sungai di kampungku ialah lelabi atau labi-labi. Binatang ini seperti kura-kura, tetapi badannya lebih lembut. Pada zaman kanak-kanak dahulu, orang kampungku sering memberi ugutan kepada kanak-kanak yang mandi di sungai tentang labi-labi ini. Mereka berkata kepada kami, labi-labi suka menggigit kemaluan manusia jika selalu mandi di sungai, terutama di tempat yang dalam dan gelap. Kami berasa takut apabila mendengar cerita tersebut sehingga tidak berani untuk mandi di kawasan tersebut. Perkara sebegini telah menjadi kebiasaan orang kampungku untuk menakutkan golongan seusiaku ini. Namun, perkara-perkara tersebut tidak pernah berlaku pun  sehingga aku dewasa.
          Aku juga masih ingat nasib seorang kawanku yang muda setahun dariku yang sering dirotan dan dikejar oleh bapanya apabila mandi di sungai. Kami memanggilnya Zam di kampung, dia sering mengikuti kami ke mana-mana sahaja hinggalah ke sungai. Keluarganya terlalu mengongkong hidupnya dengan tidak membenarkannya bergaul dengan kami. Jika bapanya tiada di rumah dia akan mengikuti kami ke sungai. Apabila bapanya  mengetahui dia tiada di rumah, bapanya akan mencarinya di sungai dan akan membawa sebatang rotan kayu untuk merotannya. Sampai sahaja di sungai, bapanya terus memanggilnya naik ke atas dan terus merotannya  sepenuh tenaga sehingga dia menangis dan bergaris pada badannya. Apabila kawanku, Zam ini dirotan bapanya, dia sering merayu pada bapanya “ sakit ayah, sakit ayah, tak boh mandi dah lepas ni” berulang kali. Kami yang ada di situ hanya melihat sahaja dan tidak boleh melakukan apa-apa, malah kami pula diberi amaran oleh bapa Zam “ moho semua pon nak kena rotan juga macam dia”, dengan perasaan takut kami menggelengkan kepala dan terus beredar dari situ. Sampai di rumah, aku menceritakan kepada ibuku tentang kejadian tersebut, ibuku berkata “mung nak lagu tu gak, esok mak suruh Pak Ngah Zani tu rotan lagu anak dia”. Aku fikir emakku akan bersimpati dengan nasib Zam, bahkan menambahkan lagi penderitaannya dan turut mengugutku. Aku tidak berkata apa-apa dan terus beredar sebelum perkara yang lain pula terjadi.
         Perkara yang tidak pernah aku lupa semasa mandi di sungai ialah kehadiran najis-najis manusia yang turut menjadi sebahagian warga sungai. Pada zaman dahulu, di kampungku kami tidak mempunyai jamban yang sempurna kerana masalah kekurangan air. Jadi, mereka melepaskan hajat di mana-mana sahaja termasuklah di dalam sungai atau di dalam parit yang airnya mengalir ke sungai berdekatan. Di bibir sungai di sesetengah kampung terdapat tempat khas untuk melepaskan hajat dan aku pernah melihat orang kampungku melakukan perkara tersebut beberapa kali ketika hendak pergi mandi di sungai. Kebanyakan mereka yang membuang hajat ini, terdiri daripada mereka yang tinggal berdekatan dengan sungai. Aku juga dapat melihat ikan-ikan sungai berkumpul secara berkumpulan untuk memakan najis-najis tersebut. Dalam hati aku berkata, ‘hai macam mana la kalau aku makan ikan tu pulak, eeeeee... sungguh mengotorkan.’ Selain itu, ketika aku dan rakan-rakanku leka mandi di sungai, najis-najis tersebut akan muncul dan kami akan menolaknya dengan air ke tepi dan apabila najis tersebut sudah tiada barulah kami kembali meneruskan aktiviti mandi-manda. Najis-najis tersebut ada pelbagai bentuk dan warna seperti ada yang besar, yang kecil, yang warna coklat, hitam, dan kuning. Najis itu akan muncul setiap kali kami kami mandi di sungai dan kami boleh melihat variasi-variasinya. Selain najis, kami juga sering menjumpai botol kosong, tin kosong, plastik makanan, tayar lama, sampah sarap, bola, dan sebagainya. Kata kawan-kawanku, jika kita menjumpai botol atau tin kosong yang dibawa arus sungai, kita tidak boleh memegangnya kerana dipercayai mempunyai makhluk halus di dalamnya dan pembawa sial.
         Binatang yang paling menakutkan dan mengelikan di sungai kampung penulis ialah lintah. Sebut sahaja lintah semua orang akan takut terutamanya golongan anak-anak gadis di kampung. Ini menyebabkan mereka takut untuk mandi di sungai bagi mengelakkan diri mereka daripada digigit oleh lintah. Akibat takut akan lintah, anak-anak gadis ini sering diganggu dan digertak dengan lintah palsu oleh kanak-kanak lelaki di kampungku sehingga mereka berlari sana sini serta menjerit sekuat-kuatnya dengan memanggil “mak tolong mak, mak tolong mak” serta ada setengah daripada mereka mengeluarkan kata-kata kesat atau lucah seperti babi, kurang ajar, bodoh, bengong, puki mak hang, dan nak  mampus budak ni kepada kanak-kanak lelaki yang melakukan perkara tersebut. Aku sendiri juga takut akan lintah kerana pernah sekali seekor lintah hampir masuk ke dalam lubang punggungku, tetapi nasib baik aku sempat mencabutnya. Biasanya lintah akan mudah masuk ke lubang punggung jika kita mandi di sungai dalam keadaan telanjang bulat. Aku bersama kawan-kawanku akan mandi di sungai dalam keadaan berbogel jika kami tidak membawa seluar basahan dan kebetulan di kawasan bibir sungai yang kami mandi itu merupakan habitat binatang tersebut. Apabila kami betimbuk ( menggoncak ) air sungai sampai keruh, beberapa ekor lintah akan keluar mencari mangsanya serta menghirup darah yang segar.
         Selain itu, lintah juga sukar dibuang apabila ia menggigit pada badan manusia. Giginya sangat kuat mengcengkam pada kulit manusia. Lintah juga akan mengeluarkan lendir yang rasanya seperti gam apabila dipegang. Ini membuatkan anak-anak gadis di kampungku takut apabila mereka digigit lintah. Lintah ini juga sering menggigit pada bahagian badan yang terdapat luka dan kudis. Kebetulan pada zaman kanaka-kanak dahulu, di sekitar badanku dipenuhi dengan kudis dan di kawasan tersebut sering digigit oleh lintah. Apabila aku ingin mencabutnya, rasa sakit dan ngilu serta darah akan keluar dengan banyak dan susah untuk kering. Kadang-kadang hingga sampai sehari baru darah tersebut akan kering. Kata orang kampungku, jika lintah memasuki ke dalam tubuh manusia melalui lubang punggung atau lubang kemaluan manusia, ia akan mendatangkan kemudaratan pada badan. Menurut mereka lagi, lintah tersebut akan bertelur di dalam badan serta menghisap darah-darah di dalam badan mereka. Aku berasa takut apabila mendengar cerita tersebut begitu juga dengan kawan-kawanku. Kata ibuku, orang yang dimasuki lintah di dalam badannya, mereka perlu meminum air yang dicampur abu kayu api untuk mematikan lintah tersebut. Kadang-kadang mereka akan dibawa kepada bomoh kampung untuk ditemberat ( dihalau ) untuk mengeluarkan lintah tersebut keluar dari badannya. Jika tidak dirawat, keadaan mereka akan menjadi lebih kritikal dan boleh membawa maut. Perkataan lintah ini juga sering digunakan oleh ibuku bagi menggertakku daripada pergi mandi di sungai. Kata ibuku “ gi la maning cheghok, sat litah masuk punggung”. Aku berasa takut dengan kata-kata ibuku itu dan berfikir beberapa kali untuk ke sungai.
        Di usiaku belasan tahun, sungai bukan sahaja menjadi tempat mandi manda, tetapi sungai juga merupakan tempat kami membuang masa. Pada umur sebigini, pemikiran kami lebih kepada pemikiran orang dewasa bukan lagi pemikiran kanak-kanak dahulu. Di sungai, kami telah mempelajari beberapa perkara baru seperti belajar merokok, melepak, mengintip, bergaduh dan mencuri. Bagi kami, ibu bapa atau orang kampung tidak mengetahui apa-apa yang kami lakukan di sungai dan mereka tidak pernah pergi melihat dan menyiasatnya. Di sungai, kami telah membina sebuah pondok kecil sebagai rumah sementara untuk melakukan aktiviti buruk kami. Di sinilah, aku melihat kawan-kawanku membalut rokok daun untuk dihisap tanpa segan silu dan ada mereka yang berani membawa rokok-rokok yang mahal seperti Dunhill, Marlboro, Gudang Garam, dan sebagainya. Mereka mengajakku menghisap rokok bersama-sama dengan mereka, tetapi aku menolaknya kerana aku tahu keburukannya. Aku dan kawan-kawanku juga pernah mencuri buah-buahan dalam kebun milik orang kampungku ketika mandi di sungai. Kebetulan pada waktu tersebut kebun mereka berhampiran dengan sungai. Kami pernah mencuri buah seperti buah jambu batu, jambu air, buah salak, buah nanas, dan buah pauh. Setiap kali kami pergi ke sungai, kami akan mencuri buah-buah tersebut tanpa pengetahuan tuan tanah sehinggalah buah-buah tersebut habis. Pernah sekali aku dan kawan-kawanku dikejar oleh tuan tanah ketika kami sedang mengambil buah jambu batunya dan kami berjaya menyelamatkan diri, namun kami tidak takut dan kembali semula ke kebunnya apabila dia beredar dari situ. Kata guruku, jika kamu mencuri dan memakan harta orang lain tanpa meminta keizinan perut kamu akan menjadi boroi dan kembung. Ibuku akan memarahi dan merotanku apabila dia mengetahui aku mencuri barang orang lain dan memaksaku memulangkan kembali barang tersebut dan meminta maaf kepada tuannya. Ibuku selalu mengingatkan aku, “kalau kita nak ambik barang hak orang lain, kena mintak tuannya dulu, jangan bik cam tu saja tak baek.”
          Di usia dewasaku, aku tidak lagi mempunyai keinginan untuk pergi mandi di sungai tidak seperti di zaman kanak-kanakku dahulu. Sungai di kampungku sekarang tidak lagi seindah dan sejernih seperti dahulu. Kalau dahulu, ramai orang kampung berkumpul dan mandi sungai, berbanding sekarang keadaan sungai menjadi sunyi sepi seolah-olah ia berhantu, yang tinggal hanyalah lembu dan kambing meragut rumput dan menghirup air di bibir sungai. Keindahan sungai turut tercemar dengan sisa-sisa pepejal yang dibuang sesuka hati oleh penduduk kampungku. Plastik dan lampin pakai buang sering aku lihat menjadi isi utama sungai. Sungai sudah dianggap seperti tong sampah bagi masyarakat di kampungku. Selain itu, aku turut meliahat orang kampungku membuang sisa-sisa makanan ke dalam parit dan air dari parit tersebut, makanan itu akan melalui ke sungai utama kampung. Akibatnya, apabila aku mandi di bawah air parit tersebut, badanku menjadi kemerah-merahan dan rasa gatal-gatal. Kadang-kadang bangkai binatang seperti ayam, kambing, lembu, dan babi yang mati sama ada ditembak atau sakit berada di dalam sungai dan tidak dibuang. Pokok-pokok di batas-batas sungai ditebang oleh orang kampungku untuk membina rumah dan kebun, menyebabkan tiada lagi tempat untuk berteduh daripada panas mentari.
        Kemudian aku berfikir apa yang akan terjadi kepada sungai di kampungku pada masa akan datang?. Bagaimanakah dengan generasi baru di kampungku, masihkah mereka mampu melihat sungai lagi selepas ini?. Bagi diriku, aku mahukan keindahan sungai di kampungku menjadi indah seperti zaman kanak-kanakku dahulu sehingga sungai tersebut mengimbau banyak sejarah, jasa, dan kenanganku di situ. Di sungai itulah aku banyak mempelajari banyak pengalaman dan pengetahuan tentang kepentingan air kepada masyarakat kampungku yang pada waktu itu mereka tidak mampu membayar kos air yang disediakan oleh kerajaan. Segala-galanya bergantung kepada sungai untuk melengkapkan keperluan dan kehendak seharian seperti membasuh pakaian, membuang air besar, makanan, minuman, dan menyiram hasil tanaman. Waktu siang hampir melabuhkan tirainya, aku pulang ke rumah meninggalkan sungai kampungku dengan membawa seribu harapan, seribu pengertian dan seribu persoalan dalam diriku. Itulah kenangan-kenanganku di cheghok desa...  

  Sebuah sajak yang menceritakan tentang sungai di kampung penulis :
CHEROK DESA
( Mohd Kodri Bin Ab. Malik )
Kulihat sungai di desa,
Di atas sebatang titi usang,
Mengalir tak seindah dulu,
Mengalir tak sederas dulu,
Tak dalam seperti dulu,
Pasir-pasirnya menjadi debu,
Batu-batunya menjadi sembilu.

Warga sungai terus dijajah,
Oleh makhluk yang gagah,
Ikannya tidak diberikan generasi,
Udangnya tidak diberikan bersepit,
Kataknya tidak diberikan berkuak,
Raja udang dicabut sayapnya,

Hiasan sungai terus diceroboh,
Floranya menderita dan merintih,
Apabila diri diseksa dan digilis,
Faunanya mati tidak berteduh,
Menangis dan meronta tak sudah-sudah.

Wahai warga sungai, Bangunlah!
Bangkit untuk menjaga maruah,
Ayuh! kita tamatkan pejajahan ini,
Hapuskan penderitaan kita selama ini,
Genggam kembali kuasa dan kerajaan kita,
Daripada makhluk yang rakus itu.



Lampiran :
      
Rajah 1.1 Peta Daerah Hulu Perak                                               Rajah 1.2 Sungai di Kampung penulis

          
Rajah 1.3 Gambar kenangan penulis di                       Rajah 1.4 Nama kampung penulis Kg. Kuak Hulu
                 Sungai Kuak.
                                                           
Unsur Didaktik :
1. Kita mestilah menjaga dan mencintai sungai dan alam sekitar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita dan janganlah sesekali mencemarinya.
2. Kita perlu menghargai kepentingan air dalam kehidupan seharian dan menguruskannya dengan baik supaya tidak berlaku pembaziran. Air juga merupakan sumber keperluan yang penting dan utama kepada semua makhluk di bumi ini.
3. Kita patut mentaati dan mematuhi segala perintah dan larangan yang diberikan oleh ibu bapa supaya kita tidak menjadi anak yang tidak berguna dan anak derhaka.
4. Kita juga perlu ada rasa hormat-menghormati terhadap orang yang lebih tua dan yang lebih muda daripada kita bak kata pepatah Melayu, yang tua dihormati, yang muda disayangi. Kita janganlah memandang rendah, menjauhkan diri dan memulaukan golongan yang lebih muda daripada kita terutamanya kanak-kanak dan remaja.
5. Janganlah kita mencuri barang hak milik orang lain tanpa meminta keiizinannya terlebih dahulu. Mencuri merupakan perbuatan yang tidak elok dan berdosa dalam ajaran agama Islam.
Unsur negatif :
1. Penulis menceritakan rakan-rakannya yang suka melakukan perkara-perkara negatif di sungai seperti menghisap rokok, melepak, bergaduh, mencuri dan mengintip.
2. Penulis menceritakan orang kampungnya yang suka membuang sampah dan sisa makanan ke dalam sungai hingga berlaku pencemaran kecil.
3. Sikap golongan di kampung yang lebih tua daripada penulis yang sering membuli kanak-kanak yang lebih muda daripada mereka di sungai hingga menyebabkan kanak-kanak tersebut menangis.
  
Glosari :
Dialek Kuak Hulu :
Abis – Habis
Bik – Ambil
Baek - Baik
Cheghok – Sungai
Dak – Tidak
Jon – Jom
Ja – Sahaja
Klik – Balik/pulang
Kemahang – Keladi
Labi – Labi-labi
Moktan – Rambutan
Maning – Mandi
Mak – Emak
Mein – Main
Moho - Kamu
Mung – Kamu
Nak – Hendak
Pedana – Sejenis binatang yang di dalam perutnya mempunyai harta karun.
Sat – Nanti/sekejap
Tak Boh – Tidak mahu
Tu – Itu
Temberat – Menghalau


Biografi singkat penulis :
Nama diberi ialah Mohd Kodri Bin Ab. Malik. Dilahirkan pada 28 Februari 1989 bersamaan dengan 21 Rejab 1409 H di Kampung Tok Balai, Kuak Hulu, 33100 Pengkalan Hulu, Perak D.R. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuak Hulu ( 1994-2001 ) hingga tamat darjah enam ( UPSR ). Kemudian meneruskan pengajian di Sekolah Menegah Kebangsaan Tun Saban, Pengkalan Hulu ( 2001-2008 ) hingga ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM ). Setelah mendapat keputusan yang baik dalam STPM, penulis berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim, Perak D.R. ( 2009 ) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu selama empat tahun. Kini penulis berada di semester empat pengajian di UPSI. Penulis tidak pernah menulis sebarang karya, tetapi autobiografi Kenangan-kenanganku di Cherok desa... merupakan karya yang pertama bagi penulis.