Jumaat, 23 Disember 2011

PANIK : Wadah Perjuangan Generasi Muda

Kumpulan BUNKFACE
Tabik spring kepada Sam Bunkface kerana kerana berjaya menghasilkan sebuah lagu yang hebat sehingga berjaya 'digam' oleh Radio Televisyen Malaysia ( RTM ) yang selalu membawa moto RTM teman setia anda. Mungkin lepas ini, orang yang dekat luar sana akan mengubah moto itu kepada, RTM musuh setia anda. Itu tidak mustahil berlaku kerana orang zaman sekarang celik Internet. Semua maklumat terbaru diperolehi dengan melayari Internet. Tapi, bukan Internet yang penulis hendak ceritakan, tetapi lagu 'Panik' yang dibawa oleh kumpulan Indie yang semakin terkenal di tanah air, Bunkface yang dianggotai oleh tiga orang anak muda yang berbakat besar dalam industri muzik, iaitu Shamsul Anuar (Sam) sebagai vokalis, Farouk Jaafar (Youk) sebagai pemain bass guitarist dan penyanyi iringan, dan Ahmad Farhan (Paan) sebagai pemain gitar utama. Kumpulan yang popular dengan lagu 'Situasi' dan  lagu tersebut juga telah mengangkat nama mereka ke persada hiburan tanah air. Baru-baru ini mereka telah menerima tamparan hebat apabila lagu terbaru mereka Panik tiba-tiba telah digam oleh badan penyiaran utama negara RTM kerana lirik dalam lagu tersebut mengandungi perkataan 'Reformasi' yang dipandang serius oleh beberapa pihak tertentu. Reformasi maksud mudahnya ialah perubahan atau pembaharuan ke arah yang lebih baik seperti dalam politik, sosial, ekonomi, agama dan sebagainya (Kamus Dewan, Edisi Keempat). Mungkin reformasi ini ada kaitan dengan politik agaknya punca utama lagu ini digam atau mungkin 'mereka' teringat dan histeria dengan gelombang rakyat pada tahun 1998. Itu hanya pendapat dan persepsi penulis sendiri dan punca sebenar hanya Allah S.W.T yang mengetahuinya. 
    Namun begitu, Bunkface masih tetap dengan pendirian mereka, iaitu enggan mengubah semula lirik lagu tersebut dan tambah Sam, lagu Panik tidak ada kaitan dengan politik tanah air. Sam juga baru saja dinobatkan sebagai Komposer Muda Berbakat pada anugerah MACP lalu. Bagi penulis, pemilihan beliau sebagai penerima anugerah tersebut adalah betul dan tepat berdasarkan lagu-lagu yang dibawa oleh Bunkface semuanya hebat. Dan dengan terhasilnya, lagu Panik telah menaikkan lagi kehebatan dan populariti bakatnya dalam indusrti hiburan tanah air sehingga lagu ciptaannya telah digam. Apa-apa pun penulis mengucapkan tahniah kepada Sam dan Bunkface, semoga terus kekal dalam industri hiburan tanah air serta sabar dan tabah mengharungi dugaan yang diterima.

P:s : Bunkface senasib dengan Dr. MAZA yang turut digam oleh RTM melalui lagu ciptaan beliau, 'Aku Bukan Musuh Harta' yang dinyanyikan oleh kopratasa. Mesej yang hendak disampaikan dalam lagu tersebut lebih kurang sama dengan lagu Panik ini. Bab kata Media ja, takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ini adalah lirik lagu Panik yang digam oleh RTM. Cuba kita faham dan hayati lirik lagu ini. Sama-sama kita fikirkan, tepuk dada, tanya...


PANIK ( BUNKFACE 

Mereka mengatakan dunia
Penuduhan membabi buta
Sebalik sentiasa ada makna
Konspirasinya

Kini aku diperhati
Kanan kiri diawasi
Ancaman mereka tiada henti
Aku hadapi
Biarkan ku pergi juang
Bertetangan terus dan mati
Satu dunia cinta bersedia
Biarkan ku pergi juang
Rasa yang kita idamankan
Satu dunia sudah bersedia
Sudah bersedia
Reformasi mana sakti
Sini semua beraksi
Ancaman mereka tiada makna
Kini aku dipenuhi
Bayang dipancari benci
Ancaman mereka tiada henti
Aku selami
Biarkan ku pergi juang
Berkorban dan terus mati
Satu dunia sudah bersedia
Biarkan ku pergi juang
Rasanya kita ditemankan
Satu dunia sudah bersedia
Ku selalu berasingan jauh
Dan ku biarkan mulut celakamu
Kan ku tunggu tunggu *
Ditentukan padaku padamu
Pada mereka yang setuju
Biarkan ku pergi juang
Berkorban dan terus mati
Satu dunia sudah bersedia
Biarkan ku pergi juang
Rasanya kita ditemankan
Satu dunia sudah bersedia
* Penulisan ini daripada pendapat dan pandangan daripada penulis sendiri dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik atau kepentingan individu-individu tertentu.

Khamis, 22 Disember 2011

Ludah Punya Pasal

Terima kasih kepada HACKERS yang bijak menceroboh akaun FB Anjkh. Tapi, itu satu tindakan yang paling bodoh dalam hidup anda. Anda dikurniakan akal yang bijak dan berilmu pengetahuan yang tinggi, tapi menggunakannya ke jalan yang salah. Kononnya nak tunjuk pandai!. Kerana anda, masyarakat sedunia saling fitnah-mengfitnah, termasuklah dekat tanah airku yang tercinta ini.Fikir-fikirkanlah, Tepuk dada, tanya...
P/s : Jangan sampai aku jumpa hampa semua, aku ludah. Ayat agak kurang ajar, tapi ia tidak setimpal dengan apa yang anda telah lakukan!.

Malaysiaku Hari Ini

Penurunan bendera ( tanpa sebarang melakukan kerosakan ) lebih mulia daripada melakukan kencing di poster dan memberi hadiah berbentuk tahi. Sama-sama kita fikirkan. Tidak ada nak menang mana-mana parti politik atau kepentingan individu tertentu.

P/s : Macam mana pulak kalau gambar-gambar 'panas' kat akhbar dijadikan bahan pembalut nasi lemak atau dijadikan bahan bakar untuk mendapatkan api. Muliakah perbuatan itu? Tepuk dada, bukan nak mengata atau nak mengutuk, tetapi cuma nak perbetul mana yang salah. Tepuk dada,tanya...


Foto 1
Foto 2
Foto 3
Foto 4

Aduhaiiii MALAYSIAKU!!!


Rabu, 21 Disember 2011

Antara Mitos dan Fakta : Satu Persepsi.

Penulis tertarik dengan artikel garapan oleh penulis prolifik, Hisyamuddin Rais tentang " Tujuh Mitos, tujuh pembohongan" yang tersiar di ruangan kolumnis Malaysiakini pada 1 Oktober 2009 lalu. Penulis sering membaca artikel-artikel yang ditulis oleh beliau setiap kali membaca berita di halaman Malaysia kini. Sebagai seorang yang sarat dengan pengetahuan dan pengalaman tentang dunia politik, beliau tidak kering untuk menyumbang idea yang bernas dan sinis melalui penulisannya, walaupun isi atau content dalam setiap artikel beliau lebih berat kepada kutukan kepada puak pemerintahan yang diteraju oleh United Malays National Organisation dan rakan-rakan pakatannya. Terlalu banyak sudah penulis membaca artikel-artikel 'panas' beliau  di ruangan Malaysiakini dan gaya dan ulasan setiap maklumat dalam artikelnya jauh lebih hebat dan matang berbanding ulasan maklumat yang dibawa oleh media arus perdana negara, terutama televisyen dan akhbar tempatan yang penuh dengan retorik dan mengampu memboroi perut. Namun, pembacaan kedua-dua sumber pro dan kontra telah memberikan ruang dan peluang kepada penulis membuat penilaian yang profesional terhadap sesuatu isu dan tidak menggunakan emosi untuk menghukum dan mengadili sesuatu isu yang mana  hujung pangkalnya tiada kebenaran yang jelas seperti yang terjadi dalam 'kancah politik tanah air' kita tercinta.

Apa itu mitos?
Artikel " 7 mitos, 7 pembohongan"  garapan hebat Hisyamuddin Rais mengandungi banyak maklumat tentang kepalsuan simbol-simbol negara yang dilakukan oleh United Malays National Organisation selama memerintah Tanah Melayu 54 tahun. Setiap omokan yang dicanang oleh mereka, kita ambil dan simpan di benak fikiran sejak di awal persekolahan hinggalah sekarang. Apabila penulis menjejaki usia remaja dan mengenal dunia Internet, barulah mengubah pemikiran dan persepsi penulis terhadap perkara yang dikatakan buruk oleh UMNO itu sebenarnya adalah baik sebenarnya. Sebagai contoh, dulu penulis percaya bahawa orang berhaluan kiri seperti Syamsiah Fakeh, Ahamad Boestaman, Pak Sako, dan lain-lain adalah pengganas dan pembelot negara, sebaliknya mereka sebenarnya adalah pejuang tulen untuk memerdekaan negara. Istilah 'pengganas' yang dilabelkan kepada mereka sebenarnya adalah helah daripada penjajah British untuk menyelamatkan diri mereka, kerana golongan kiri ini menentang kekuasaan mereka di Tanah Melayu. Banyak golongan ini ditangkap, dipenjara, dihukum mati, dan dibuang negara. Manakala, golongan kanan yang menerima dan merestui kekuasaan penjajah dibela dan diberikan layanan tahap VIP oleh British dan golongan ini diberi mandat dan seterusnya mewarisi kepimpinan negara berkiblatkan mazhab Barat yang jelas mengamalkan konsep Sekularisma dalam apa-apa jua bentuk pemerintahan. Perkara ini dapat kita lihat dengan jelas di dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.
        Mitos menurut kenyataan Hisyamuddin Rais bermaksud naratif yang dibuat bertujuan memesongkan hakikat. Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja. Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos. Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal daripada Tuhan, maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk. Walhal kalau Raja Jepun ini makan petai, kencing dia tetap hancing. Kalau Putera Charles tercirit, baunya tetap busuk.

 Mitos lwn fakta
Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca daripada tiga sumber.
Pertama: Pengumpulan pengalaman. 
Kedua: Kaji selidik. Ketiga: Ujian dalam bilik makmal.
     Sesuatu mitos akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada sesuatu itu mitos atau fakta. Jika sesuatu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau salah, maka ia masih di tahap teori. Satu ketika dahulu Letupan Besar atau Big Bang hanya satu teori. Hari ini ia telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat membuktikan teori ini. 
    Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari suatu zaman ke suatu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Adakah wujud mitos dalam negara kita?
Dalam negara kita, ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan, ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini diterima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua,tetapi dengan adanya internet, kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta. Cuba kita pelajari sesuatu daripada beberapa mitos yang penulis utarakan di bawah :

Mitos pertama
Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. Bohong. Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya, sila tanya orang Sabah dan Sarawak.

Mitos kedua
Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation.Bohong. Parti yang awal memperjuangkan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi. Apabila wujud, slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA!

Mitos ketiga
Kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah. Bohong. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata. Pada mulanya melawan Jepun, kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata, British tidak akan undur.

Mitos keempat
Lagu Negaraku dikatakan lagu kebangsaan kita. Bohong. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Penciptanya orang Perancis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857).
Nama asal lagu ini, Memula Moon. Bertukar menjadi Terang BulanDi zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, radio republik itu memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku Abdul Rahman yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negaraku.

Mitos kelima
Bendera Jalur Gemilang – namanya baru berusia lima tahun. Ia adalah tiruan bulat-bulat bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled–Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika. Buktinya, lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara atau Melayu. Warna merah dan putih adalah motif Nusantara - merah ertinya darah rakyat dan putih pula hati rakyat. Motif Nusantara ini wujud pada bendera Singapura dan Indonesia.

Mitos keenam
Wujud perpaduan Melayu. Bohong. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan Cina, perpaduan Arab, perpaduan Itali, perpaduan India. Mitos perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu daripada 'ditelan' oleh Cina dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampung yang takut pada hantu memanggil bomoh untuk menghalau hantu. Ini cara klasik sesuatu mitos bergerak - takut-takutkan orang ramai. Apabila orang ramai takut, maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi pelindung, walhal yang menimbulkannya gerombolan ini juga.

Mitos ketujuh
Malaysia negara unik. Bohong. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar. Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia ini unik. Hakikatnya Malaysia tidak unik; bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang-bilang kaum, berbilang-bilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolithic dalam dunia ini – semua ada kepelbagaian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

Teknologi boleh memecahkan mitos. Lihatlah betapa teknologi dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah. Kalau dulu kita tidak tahu asal-usul lagu Negaraku. Hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai, pecah.
   Dokumen-dokumen sejarah ini semuanya boleh kita baca melalui internet.Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos-mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknologi akan membebaskan manusia daripada diperangkap dan dibelenggu mitos-mitos.Tanpa mitos, manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional. Jadi, kepada sesiapa yang di luar sana yang masih mengekalkan kefahaman dan kepercayaan feudalisme yang penuh dengan unsur-unsur mitosnya yang dibawa oleh United Malays National Organisation, perlu mencari dan mengkaji semula fakta dan menghasilkan pemikiran dan teori yang baharu demi kepentingan diri, agama, bangsa, dan negara. Tepuk dada, tanya...

*Penulisan ini hanya kritikan dan pandangan daripada penulis sendiri, tiada kepentingan kepada mana-mana parti politik dan tidak mahu menjatuhkan maruah dan kedudukan pihak-pihak tertentu. Sekadar menjelaskan kebenaran, menhapuskan kepalsuan. Penulis sendiri masih dalam proses belajar dan masih baharu dalam dunia penulisan. Segala kesilapan harap ditegur dan dimaafkan, jangan bertindak emosional kerana itu merugikan diri kita sendiri.

Rujukan : Hisyamuddin Rais, Tujuh Mitos, Tujuh pembohongan, Malaysikini : 1 Oktober 2009.

Isnin, 19 Disember 2011

Impian Seorang Nelayan.




Cukup puitis dan bermakna bait-bait lirik di dalam lagu "Impian Seorang Nelayan" yang dicipta oleh komposer terkenal tanah air, iaitu Sifu atau Dato' M. Nasir. Lagu ini dicipta dan dinyanyikan semasa beliau bersama kumpulan Kembara kira-kira tahun 80-an dahulu. Lagu ini sudah lama dicipta dan dinyanyikan di tanah air, tetapi penulis baru sahaja mengetahui dan berkenalan dengannya, itu pun melalui video singkat yang berkaitan dengan menjawab isu permasalahan HUDUD yang menjadi isu 'panas' di laman sosial dan Youtube belakangan ini. Tetapi bukan lagu ini yang dinyanyikan di dalam video tersebut, tetapi lagu "Impian Anak Jalanan" yang dinyanyikan oleh watak utama dalam video tersebut, iaitu bekas pelakon, juri Maharaja Lawak, penulis lirik saudara Bob Lokman. Selepas mendengar lagu tersebut, penulis berasa tertarik dengan lirik beserta dengan melodinya sehingga menyebabkan penulis menggerakkan jari mencari lagu tersebut di laman Youtube. Penulis mendengar semua lagu-lagu yang dibawa oleh kumpulan Kembara ini dan semua lagu yang dibawa oleh mereka cukup menarik dan penuh dengan realiti kehidupan manusia. Memang sesuailah dengan nama kumpulan ini, iaitu KEMBARA.
       Ketika asyik menjejaki lagu-lagu Kembara di laman Youtube, mata penulis terlihat sebuah lagu yang berkaitan dengan laut dan nelayan nyanyian oleh kumpulan Kembara. Tanpa membuang masa, penulis terus menekan butang enter pada papan kekunci komputer riba penulis untuk mendengarnya. Pada melodi awal lagu ini telah mendendangkan nada sedih belum masuk lagi lagu yang dinyanyikan. Penulis mendengar dan menghayati bait-bait liriknya dan ingin tahu apa isi yang terkandung di dalamnya. Durasi lagu ini lebih kuran 3 minit 55 saat. Satu tempoh masa yang singkat, tetapi nilai dan pengajaran yang ada di dalamnya sangat sarat dan padat. Bait pertama dalam lagu ini dimulakan dengan seekor burung, iaitu Burung Camar yang hinggap di jejari. Burung camar merupakan sejenis burung yang sering bermain di persisir laut dan mencari makanannya di laut. Ini juga sama dengan 'Si Nelayan' yang turut mencari rezekinya sepanjang tahun di tengah-tengah laut. Di dalam lagu "Impian Seorang Nelayan" pencipta lagu ini ingin menceritakan kehidupan suka duka para nelayan mencari secupak rezeki di lautan dan suka duka dialami oleh mereka ketika mencari rezeki untuk keluarga. Nelayan juga, yang selama ini mencari dan memberikan sumber protein, iaitu ikan kepada kita semua dan kita janganlah melupakan dan sesekali memperlekehkan penat lelah usaha mereka, malah memandang mulia pekerjaan mereka.
        Walaupun, penulis sendiri yang lahir dan berasal daripada keluarga penoreh getah yang menjadi  sumber pendapatan tetap, namun penulis juga berbangga dan menghormati pekerjaan seorang nelayan, " Engkau anak laut, di sini tempatmu, di sini rezekimu." Itulah slogan yang sering dilaungkan untuk menunjukkan identiti seorang nelayan di mana-mana sahaja. Pengorbananmu amat tinggi, walau keringat senja yang kaubasahi, tika kulit dibaham mentari terik, di padang luas segala tenaga kaukerah, demi mencari rezeki buat UMMAT. Duhai generasi muda anak laut, usah kau malu dengan pekerjaan keluargamu, hargailah mereka, kenanglah jasa mereka apabila kau dewasa. Penulis lampirkan juga lirik lagu Impian Seorang Nelayan sebagai tatapan kepada pengunjung yang melayari laman blog penulis :

IMPIAN SEORANG NELAYAN
Artis : M. Nasir
Burung Camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung
Mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak
Laut Cina Selatan

Dalam mimpi berkata sang duyung
"Wahai nelayan kau anak laut
Di sini tempatmu
Di sini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan
Ada balasannya"

Mega mendong
Laut pun bergoncang
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
Sang mentari terlindung
Pantai tak kelihatan
Tawakkal jalan akhirnya

Dalam pondok kecil beratap rumbia
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil ia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan

Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini engkau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang
Jangan kau lupakan.