Isnin, 4 Jun 2012

Kulihat Hijau


Hijau adalah warna yang paling sesuai untuk semua kerana ia melambangkan kemesraan manusia dan alam sedangkan alam adalah lambang jiwa besar yang mampu menampung apa sahaja yang di dalamnya. Apabila melihat lambang hijau ia memaparkan satu lambang tanggungjawab untuk memastikan alam ini terus menjadi tempat untuk didiami oleh semua.  Ingat hijau kita akan ingat impian kedamaian, keseimbangan dan ketenangan, ia adalah impian yang dikongsi oleh semua orang di alam ini (Mujahid Yusof Rawa, Fenomena Hijau: Fitnah "anti-Islam" disanggah dengan lautan manusia.Merdekareview,Jun 4, 2012).

     Istilah sains, hijau ialah warna yang biasa nampak dalam alam semula jadi, khususnya tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan berwarna hijau, terutamanya kerana tumbuh-tumbuhan mempunyai klorofil, sejenis sebatian yang terlibat dalam proses fotosintesis.

     Cahaya hijau mempunyai panjang gelombang di sekitar 520–570 nanometer, dan dianggap sebagai salah satu daripada warna primer tambahan. Hijau ialah warna pelengkap untuk warna magenta; lebih tepat, warna hijau dengan kod perenambelasan #FF00FF. Orang-orang yang buta warna seringnya dapat membezakan kedua-dua warna ini, tetapi keliru antara warna-warna ini dengan warna-warna yang lain; umpamanya, hijau terang dengan kuning, dan hijau tua dengan coklat.

     Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 534, hijau ialah warna seperti warna daun atau rumput (banyak peringkatnya). Dalam bahasa Melayu, perkataan hijau boleh dikembangkan menjadi menghijau, menghijaukan, kehijauan, dan kehijau-hijauan dan setiap perkataan tersebut mempunyai maksud berbeza-beza pula.

Hijau yang tercatat di dalam Al-Quran

Berikut dipetik maksud beberapa ayat al-Quran yang telah meletakkan warna hijau pada satu tempat yang mulia dan dipandang indah oleh Allah S.W.T.:

1.”Mereka itu disediakan baginya Syugra yang kekal, yang mengalir dibawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas dan memakai pakaian HIJAU dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam, mereka berehar di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang sebaik-baiknya.”
2.“Penduduk Syurga itu ( bersenang-lenang) di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal) dan cadar-cadar yang HIJAU warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.”
(Surah Ar-Rahman: Ayat 76)
3.“Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman ( yang lain) yang bersih suci.”
(Surah Al-Insan: Ayat 21)
     Kubah Masjid Nabawi sendiri berwarna hijau. Nabi s.a.w. juga menggemari warna hijau. Simbol-simbol keIslaman di seluruh dunia adalah berwarna hijau. Jelaslah bahawa warna HIJAU adalah warna Syurga, warna yang disukai oleh Allah yang mencipta warna itu sendiri dan indah pula sehingga menghiasi Syurga. Justeru itu, mudah-mudahan pendedahan ini membuka hati manusia agar beriman dan menyukai apa yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya, memandang indah apa yang dipandang indah oleh Allah dan Rasul-Nya serta bercita-cita pula untuk memakai pakaian berwarna HIJAU di Syurga kelak.


Kegunaan warna Hijau

1. Warna hijau melambangkan pergi untuk isyarat lampu, isyarat kereta api, dan isyarat kapal.

2. Pada Zaman Pertengahan, hijau melambangkan makhluk jahat atau hantu (termasuk naga Eropah, dan kekadang cinta).

3. Disebabkan sifat penyamaran, warna hijau biasa dipergunakan untuk pakaian seragam lapangan bagi perkhidmatan tentera. Warna ini juga digunakan sebagai pakaian seragam untuk banyak angkatan tentera darat dan laut.

4. Warna hijau juga dianggap sebagai warna tradisi untuk agama Islam, disebabkan perkaitannya dengan alam semula jadi. Nabi Muhammad disebut dengan pasti dalam hadis sebagai berkata bahawa "air, tumbuhan-tumbuhan hijau, dan wajah yang jelita" merupakan tiga benda sejagat yang baik. Selain itu, dalam sura Al-Insan di dalam al-Quran, pengikut-pengikut Allah di Jannah dikatakan memakai sutera hijau yang bagus sekali.

*Untuk mengetahui lebih banyak kegunaan warna hijau saudara/i boleh merujuk laman web http://ms.wikipedia.org/wiki/Hijau.

Ungkapan bahasa basahan Inggeris tentang warna Hijau

1.Berasa iri hati, salah satu daripada Tujuh Dosa Berat, yang juga dipanggil sebagai "green-eyed monster" membawa maksud "raksasa mata hijau" (ungkapan itu dicipta oleh Shakespeare dalam karyanya Othello). Seorang yang berasa iri hati dikatakan "green with envy" yang membawa maksud harfiah, "hijau dengan iri hati".

2.Sebagai tradisi, seseorang yang bertangan dingin dikatakan mempunyai "green thumb", (ibu jari hijau) atau "green fingers" (jari-jari hijau).

3.Seorang yang tidak berpengalaman kekadang digelarkan "green" (hijau), mungkin disebabkan buah-buahan yang mentah berwarna hijau. Perkataan "greenhorn" (tanduk hijau) juga merujuk kepada seseorang yang tidak berpengalaman.

4. Makhluk luar angkasa kekadang dirujuk sebagai "little green men" (lelaki-lelaki hijau yang kecil).

5. Orang yang berasa tidak sihat kekadang dirujuk sebagai "green around the gills" (hijau disekeliling insang).

6. "Green" (hijau) ialah istilah slanga untuk marijuana, disebabkan warna bahan tumbuhan itu.

7."Being Green" ("adalah hijau") ialah jargon (sekurang-kurangnya untuk restoran) yang bermaksud seorang yang baru. "Being very green" (adalah amat hijau) merujuk kepada seseorang yang tenggelam dan mudah ditinggalkan.

Bagaimana persepsi masyarakat Malaysia tentang warna Hijau?

1.Jika di Malaysia, warna hijau sering dikaitkan dengan sebuah parti politik kedua terbesar orang Melayu, iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951.Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951). Walaupun di sini terdapat dua tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan. PAS cuba mengimbangi perjuangan nasionalisme UMNO/PEKEMBAR sebagai sebuah parti yang mendokong Islam.

2. Hijau juga boleh dirujuk kepada perhimpunan hijau 2.0 atau Stop Lynas, di Kuatan yang diadakan pada Ahad, 26 Februari 2012 lalu yang membantah pembinaan loji nucklear di Gabang, Pahang. Atas kesedaran yang tinggi loji nadir bumi itu boleh menyebabkan bencana besar kepada rakyat di Kuantan khususnya,jika berlaku kebocoran. Lynas menjadi satu isu besar di dalam negara, kerana mendapat bantahan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia.

3.Hijau juga dikaitkan dengan sebuah lagu bertajuk ‘hijau’ yang dinyayikan oleh Zainal Abidin yang mengisahkan tentang pencemaran alam sekitar akibat daripada tangan-tangan manusia. Untuk maklumat lebih lanjut tentang lagu tersebut saudara/ri boleh melayari Youtube.

Kesimpulan

Kita perlu ingat hijau juga adalah lambang kemarahan satu watak kartun marvel yang dipanggil "orang hijau" beliau adalah Hulk yang bertukar menjadi hijau apabila dia marah. Kata-katanya yang menjadi tagline ialah "anda tidak akan suka saya jikalau saya marah".

     Di Alor Setar pada 1 Jun yang lalu Hijau menjadi tema di mana-mana namun ia bukanlah pertemuan menyelamatkan alam ini dari dicemari dan dirosakkan, ia adalah pertemuan yang tidak kurang pentingnya dari menyelamatkan alam, ia adalah pertemuan menyelamatkan negara dari pencemaran warna Biru Pekat yang kini berasa tidak selamat lagi untuk meneruskan usaha pembiruan mereka ke atas sesetengah bahagian negara ini yang telahpun bertukar menjadi Hijau ( Mujahid Yusof Rawa, Fenomena Hijau: Fitnah "anti-Islam" disanggah dengan lautan manusia. Merdekareview,Jun 4, 2012).

Ahad, 3 Jun 2012

Adakah ini budaya orang TIMUR?


Gambar Hiasan

1.  Sekumpulan kecil bekas askar telah berdemonstrasi kerana memprotes terhadap Ambiga dan rakan-rakannya dalam perhimpunan BERSIH 3.0 kerana mengikut pandangan mereka, perhimpunan yang dilancarkan pada 28 April 2012 itu telah mengaibkan imej negara di mata dunia.  Jadi askar ini merasakan menggoyang punggung mereka yang kedut itu adalah satu cara untuk memperbaiki imej negara yang tercalar itu. Kesan daripada penggoyangan buntut ini menjadi satu tanda tanya yang timbul sama ada demonstrasi buntut ini sesuai dengan "budaya timur" kita atau lebih sejajar dengan prinsip Islam? Persoalan ini menjadi lebih teruk apabila pucuk pimpinan dan pemimpin agama (ulamak atau mufti) nampaknya berdiam diri saja dalam perkara ini.  Perbuatan ini telah menyebabkan ruang peribadi Ambiga telah dicabuli oleh pihak berkenaan.

2. Adakah perbuatan menghantar kek bercorak tahi atau menghantar keranda simbol kepada seorang pemimpin negeri semata-mata kerana kelompok berkenaan memprotes terhadap apa yang dianggap sebagai ketidakadilan?  Tidakkah lebih bermanfaat dan bertamadun jika protes itu dibuat dalam bentuk  seperti petisyen atau demonstrasi aman di depan jabatan pemimpin itu atau berdiskusi dan berdebat antara pihak yang bercanggah?.

3. Adakah perbuatan segelintir manusia yang menyiarkan video lucah secara terang-terangan semata-mata untuk tujuan dan kepentingan politik mereka?  Adakah perbuatan "penayang porno" Ini lebih bermoral tinggi jika dibandingkan dengan pasangan yang ada dalam video lucah itu?  Adakah ini satu nilai yang perlu dibanggakan oleh generasi muda dan kanak-kanak?

4. Adakah perbuatan media arus perdana menabur fitnah terhadap pemimpin politik tertentu, lebih-lebih lagi jika pemimpin itu tidak diberi ruang dan peluang untuk menjawab fitnah itu atau membela dirinya?  Tidakkah etika profesion dalam dunia kewartawanan mengharuskan hak menjawab bagi pihak yang merasakan dirinya dicemuh atau dikritik?

5. Adakah Perbuatan memberi burger kepada Ambiga ketika umum tahu bahawa daging lembu adalah "haram" bagi seorang penganut Hindu?  Tidakkah ini mirip perbuatan memberi daging khinzir kepada seorang Muslim?

6. Adakah perbuatan membaling benda yang merbahaya seperti batu ke dalam satu kawasan ceramah politik atau mengasari orang yang menghadiri ceramah hingga menyebabkan kecederaan satu tindakan yang berhemah tinggi warga timur?  Tidakkah lebih bertamadun jika perbezaan pendapat itu diadakan dalam bentuk debat dan ceramah secara aman?

7. Perbuatan seorang menteri besar pada suatu ketika dahulu yang menunjukkan isyarat tangan lucah semata-mata kerana dia tidak setuju dengan pendirian pihak lawannya?  Adakah ini satu tabiat yang mencerminkan "kehalusan" budaya timur?

Renungan kita bersama

1. Tidak berapa lama dahulu, apabila suatu perhimpunan diadakan di Kuala Lumpur, ada pihak yang merungut bahawa demonstrasi jalanan adalah "budaya barat".  Hal ini demikian kerana, kata mereka yang tidak bersetuju dengan perhimpunan itu, demonstrasi lazimnya ada elemen kekasaran yang tidak secucuk dengan "budaya timur" kita yang kononnya halus sifatnya itu.

2. Sekurang-kurangnya amalan berdebat dan berbincang boleh menaikkan taraf keintelektualan dalam arena politik khususnya dan masyarakat amnya.

3. Insiden yang dialami oleh masyarakat Malaysia masa kini dan lalu menunjukkan wujudnya faktor kuasa yang bermain dalam kancah politik dan budaya.  Dengan kata lain, budaya lazimnya ditakrif oleh mereka yang mempunyai kedudukan kuasa (politik) dalam masyarakat yang akhirnya menentukan apa yang "positif" dan apa yang "sebaliknya" dalam "budaya timur" kita ini.

4. Penakrifan sesuatu amalan dan ciri budaya sepatutnya berlandaskan nilai dan prinsip yang universal dan bukannya dalam ruang lingkup sempit yang hanya melayani kehendak dan kepentingan politik golongan berkenaan.  Keadilan sudah tentunya salah satu nilai yang perlu disanjungi.

5. Apakah perlu kita berasa terkejut apabila, contohnya, tarian poco-poco diharamkan dengan begitu pantas, manakala pemimpin agama berpeluk tubuh apabila berhadapan dengan gejala rasuah yang merasuk masyarakat kita masa kini?  Atau, apabila mereka berdiam diri terhadap dakwaan BERSIH 3.0 bahawa wujudnya ketidak telusan dalam proses pilihanraya?.

(Dipetik dan diubah suai daripada Dr Mustafa K Anuar, Buntut timur, demonstrasi barat?,  28 Mei, 2012 : Merdekareview.)


Sabtu, 2 Jun 2012

Catatan Mukadimah Jun 2012


Apa yang dikatakan Fitnah?

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, fitnah membawa maksud tuduhan (Khabar, kisah dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dll. Perkataan fitnah ini pula dapat menerbitkan beberapa perkataan lain seperti menfitnah, menfitnahkan, fitnah-menfitnah, pemfitnahan, dan penfitnah dan setiap perkataan-perkatan tersebut memberikan makna yang berbeza-beza pula.

            Fitnah merupakan komunikasi kepada satu orang atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas suatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain berdasarkan atas fakta palsu yang dapat memengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang, manakala dalam bahasa Arab kata ‘fitnah’ diserap dari bahasa Arab, dan pengertian aslinya adalah ‘cubaan’ atau ‘ujian’.

      Kesimpulannya, fitnah membawa maksud tuduhan yang diada-adakan oleh sesetengah pihak kepada seseorang dengan tujuan memberikan tuduhan negatif berdasarkan fakta palsu yang dapat meruntuhkan penghormatan (maruah), wibawa, dan reputasi seseorang secara terbuka kepada masyarakat umum.

Gejala fitnah yang berlarutan kini
            Apa yang hendak penulis kongsikan dalam blog edisi Jun adalah mengenai isu “Fitnah”. Dewasa ini terlalu banyak fitnah yang kita lihat dan yang kita dengar saban hari. Setiap hari di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen kita sering dimomokkan dengan cerita-cerita fitnah seolah-olah ianya sudah menjadi budaya dan permainan. Ramai antara kita asyik membuka mulut untuk menabur fitnah. Nauzubillah. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

            Elok juga kita muhasabah diri kita mengenai perkara ini. Ketahuilah bahawa penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.

Pandangan Islam tentang fitnah

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud :

 Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan.
(al-Baqarah: 191)
Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah.
(al-Qalam: 29)
            Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berbual atau bergaul, iaitu input dan output. Pada kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima. Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun, iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita peroleh. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(al-Hujurat: 6)
            Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang. Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu memastikan kebenarannya atau memahami maklumat tersebut.
         Banyak pihak yang turut terlibat dalam menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan (Nauzubillah), banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu (Astagfirullah). Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan ataupun syarikat. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Fitnah yang berlaku dalam sejarah Islam

Dalam sejarah Islam terkenal sebuah kisah besar tentang fitnah yang menimpa ‘Aisyah RA isteri Rasulullah S.A.W. yang telah difitnah berbuat selingkuh atau melakukan perkara sumbang dengan salah seorang sahabat bernama Shafwan bin Mu’aththal. Orang-orang munafiq menghembuskan fitnah itu dalam rangka mengaibkan keluarga Rasulullah S.A.W.

            Dengan menyebarkan fitnah itu mereka berharap bahawa Rasulullah S.A.W. beserta keluarganya akan kehilangan kepercayaan daripada kaum muslimin. Maka untuk menggagalkan kepercayaan yang baik daripada kaum muslimin, orang-orang munafiq menyebarkan fitnah untuk menghilangkan kepercayaan kaum muslimin kepada Rasulullah S.A.W. dan keluarganya. Begitu besarnya bahaya fitnah tersebut terhadap kegiatan dakwah Rasulullah S.A.W. maka Allah merasa perlu membersihkan nama ‘Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat-Nya, yang bermaksud :

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.“
(Surah An-Nuur: 12)
“Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan.”
(Surah An-Nuur : 15-16)
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.“
(Surah Al-Baqarah ayat 191)
Fitnah menurut Imam Ghazali rahmatullahalih

Imam Ghazali rahmatullahalih dalam buku Ihya Ulumuddin, menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud :

“Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?
Sahabat menjawab : Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Lalu Baginda Sallallahu’alaihi Wassalam meneruskan sabdanya :
Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat : Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut : “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.”
(Hadis riwayat Abu Hurairah)
Penyebaran fitnah dilarang oleh Allah S.W.T

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujraat, ayat 12)
            Oleh itu, setiap kita umat Islam perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah. Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

            Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Belajar daripada kesan fitnah

1. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman bin Affan RA, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

2. Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

3. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Kesimpulan

Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.

            Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Ya Allah jauhkan kami daripada sifat ini Ya Allah! dan amalkan doa ini :

“Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari seksa neraka Jahannam. Aku berlindung kepadaMu dari seksa kubur. Aku berlindung kepadaMu dari fitnah Dajjal yang pembohong. Aku berlindung kepadaMu dari fitnah hidup dan fitnah mati. Aku berlindung kepadaMu dari banyaknya dosa dan hutang. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan fitnah kaya dan kejelekan fitnah miskin. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan pendengaran, penglihatan, lisan dan hatiku. Aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan kepada umur yang terlalu tua. Dan Aku berlindung kepadaMu dari mati dalam keadaan engkar kepada agamaMu.“

Rujukan
Kamus Dewan Edisi Keempat.