Rabu, 31 Oktober 2012

Pembalakan

Gambar Hiasan

Menurut  Kamus Dewan Edisi Keempat Hal. 114, ‘pembalakan’ membawa maksud kerja-kerja (usaha) membalak. Kata ‘pembalakan’ berasal daripada kata ‘balak’ yang bermaksud kayu, iaitu batang pokok-pokok besar yang sudah dipotong. Kata ‘balak’ boleh dikembangkan menjadi beberapa kata baharu melalui proses penerbitan, iaitu imbuhan. Misalnya, membalak, iaitu menghasilkan kayu balak (menebang pokok besar, memotong dahan-dahannya), terbalak-balak, iaitu menurut dialek Perak bermaksud terapung-apung (di atas permukaan air), pembalakan, iaitu kerja-kerja (usaha) membalak, dan pembalak, iaitu orang yang mengusahakan pembalakan. Jadi, secara kesimpulannya, pembalakan membawa maksud kerja-kerja (usaha) menebang dan memotong pokok-pokok besar untuk menghasilkan kayu balak.
      Pembalakan haram merujuk kepada apa yang dalam perhutanan digelar ‘pencuri balak’. Ia juga boleh merujuk kepada penuaian, pengangkutan, pembelian, atau penjualan balak yang menyalahi undang-undang. Prosedur penuaian itu sendiri mungkin haram, termasuk menggunakan cara yang salah untuk memasuki hutan, pengeluaran tanpa kebenaran atau dari kawasan dilindungi, penebangan spesies dilindungi atau pengeluaran balak melampau had yang dipersetujui.

Penguatkuasaan Undang-undang

Terdapat banyak akta dan undang-undang telah digubal untuk mengawal kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar. Antaranya termasuklah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Akta Kawalan Pencemaran Air 1979, Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Perikanan 1985, Akta Perhutanan Negara 1984, dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.
       Agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, bertanggungjawab menguatkuasakan akta dan undang-undang tersebut. Jika pihak berkuasa berkaitan mendapati terdapat pihak-pihak yang melanggar akta dan undang-undang tersebut, maka hukuman seperti denda, penjara, atau menggantung lesen operasi harus dikenakan terhadap pihak yang terbabit. Di samping itu, pihak berkuasa juga harus mewajibkan pihak yang terlibat menanggung kos pemuliharaan atau kos pembersihan sepenuhnya. Hukuman yang lebih berat ini mungkin akan dapat mencegah aktiviti yang memudaratkan alam sekitar dengan lebih berkesan.
      Pihak kerajaan melalui penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang juga mewajibkan pengusaha-pengusaha kilang memasang alat-alat pencegah dan rawatan pencemaran seperti alat penapis asap, sistem pembetungan air kumbahan, dan loji pelupusan bahan toksik bersepadu.
       Jabatan Perhutanan juga mengetatkan kawalan dan pemantauan terhadap kegiatan pembalakan. Renjer-renjer hutan kerap melakukan rondaan dan tinjauan untuk memastikan aktiviti pembalakan berjalan mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan. Langkah mengehadkan pengeluaran lesen pembalakan dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pihak yang terlibat yang melakukan pembalakan haram juga penting dalam mengawal pembalakan secara berleluasa. 

Bersambung....

Sumber :
Kamus Dewan Edisi Keempat.