Rabu, 5 Jun 2013

Gerimis

-Dengan Nama Allah Yan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang-

Hujan turun dengan lebatnya pada hari ini. Di Bumi Tanjong Malim 05 Jun 2013.Tidak tahu mengapa ia bercucuran turun. Sebelum ini (hari-hari lepas) hati kecilku mengeluh tahap 'kepanasan' bumi' seperti terkena tempias haba nyalaan api yang marak - Lalu Allah S.W.T. menurunkan hujan membasahi bumi, hari ini. Mungkin Allah mendengar keluhan daripada seorang hamba terhadap KhalikNya. Syukur, Alhamdulillah!

Terasa dalam diriku mahu meraikan kedukaan dan kelukaan di hati bersama titisan air hujan yang menitis ke bumi Allah S.W.T. Kalau bisa, kumahu merasakan setiap titisan air yang tercurah daripada mulut awan. Mahu rasa kesejukan dan kedinginan. DAN kalau bisa, boleh dijadikan penawar terbaik mengurangkan kepanasan di dalam hati yang semakin memuncak - darjah dan ketekalannya. 

Kata kebanyakan marhaen termasuk pesan ibuku. Masa kecil dahulu telingaku sering dibisikkan dengan kata-kata keramat - "jangan sesekali main hujan!". Nanti demam dan selsema. Esok tak boleh pergi sekolah".  Tapi, aku berkeras jua, tidak mahu mendengar cakap dan nasihat emak. Aku mahu juga bermain bersama hujan demi menghabiskan sisa-sisa zaman keanak-anakanku. 

Apabila menjejak dewasa, jiwaku tidak lagi 'dibayangi' wajah hujan. Maklumlah - sudah berakal dan matang. Sudah boleh membedakan perkara yang baik dan perkara yang mungkar. Bahu juga dibebani dengan pelbagai masalah dan tanggungjawab dan tidak ada lagi perkataan 'bermain' terlintas di dalam ruang minda/akal/akal budi. ( bisikan hatiku) Zaman kanak-kanak sudah berlalu, kini zaman remaja dan sedikit lagi masuk alam dewasa dan sedikit lagi ke jinjang pelamin dan mula membina keluarga....( hanya masa yang menentukan).

Ketika warkah ini ditulis, hujan yang tadinya lebat dan menusuk pada wajah bumi telah pun reda. Bumi yang kepanasan mula menjadi dingin buat seketika. Aku tidak tahu kapan lagi hujan mahu turun ke bumi Allah S.W.T ini. Malam ini, esok, lusa, tulat, minggu depan, bulan depan, atau tahun depan. Atau adakah ini merupakan hari terakhir aku merasai nikmat hujan? (Walllahua'lam). Kalau hujan itu datang IZINKAN! Aku  bermain dan bermanja dengannya, kemudian berjalan dan meronta-ronta di dalam percikan air dinginnya. Biar diriku rasa sepuas-puasnya. Kalau bisa sampai hujan itu terhenti. Biar diriku dibebani rasa demam dan selsema!!

Kenapa aku berbuat demikian? Kerana... orang di sekelilingku tidak mengetahui dan nampak aku menangis di dalam hujan. Meratapi perasaan duka dan lara yang sedang 'membenih' dan 'membiak' di dalam batinku.  Dari luaranku tampak senyum kegembiraan dan kesenangan, namun di dalam hati kalbuku tersimpan 1001 masalah yang menerobos. Dan bisa menusuk jiwa dan ragaku. Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat. Wassalam


Gambar Hiasan



Sabtu, 1 Jun 2013

Kembali Pada-NYA



-Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang-

Kembara ke hujung dunia,
Tiada kutemui jawapannya,
Apa yang dicari sekian lama,
Ternyata ada di hadapan mata,

Lalu kukembali kepada-Nya,
Lalu kepadaNya juga aku besembah,
Lalu kepadaNya juga aku bersujud.


Gambar Hiasan

Kisah Wali

-Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang-

Kisah 2 orang manusia yang dimasukkan ke dalam penjara mengikut kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Seorang lelaki separuh tua dan seorang lelaki muda

Kesalahan :

Lelaki Separuh Tua : Ditangkap oleh polis kerana mencuri seekor kucing daripada sebuah kedai haiwan peliharaan.

Lelaki Muda : Seorang pemuda yang ditangkap oleh polis atas tuduhan mencuri basikal.
Hendak dijadikan cerita, kedua-dua mereka bertemu, ditahan dan dipenjarakan di tempat yang sama dan tinggal dalam sel yang sama. Ketika dimasukkan ke dalam penjara, lelaki muda melihat lelaki separuh tua itu sedang sembahyang dan dia seperti kenal dengan lelaki tua tersebut. Usai menunaikan sembahyang, lelaki muda itu menegur lelaki separuh tua itu. Lalu terjadilah perbualan ringkas antara mereka berdua :

Lelaki Muda : Saya macam kenal pak cik. Tapi, bagaimana pak cik boleh berada di sini (dalam penjara)?
Lelaki Separuh tua : Aku kan ‘wali’. Di mana saja aku boleh duduk dan tinggal.
Lelaki Muda : Tapi kenapa pak cik memilih masuk penjara?
Lelaki Separuh Tua : Pak cik suka tinggal di sini. Di sini tenang untuk melakukan ibadah, tidak ada sebarang gangguan, tak macam di luar sana, ramai manusia sibuk mengejar dunia.
Lelaki Muda : Memang dekat luar sana tidak boleh sembahyang ke pak cik?
Lelaki Separuh tua : Aku dah 30 tahun tidak sembahyang.
Lelaki Muda : (terkejut)… kata ‘wali’, tapi tak pernah sembahyang 30 tahun.
Perbualan terhenti apabila seorang anggota polis memanggil “Wali Bin Samad” --- dan pak cik itu beredar dari situ (penjara)…

Ibrah Cerita:

1.      Kita perlulah mengenali diri seseorang dahulu sebelum diajak berbicara atau berbual.
2.      Kita perlu ingat (beribadat) dan taat kepada pencipta, Allah S.W.T walau di mana sahaja berada dan dalam apa jua keadaan (walaupun di dalam penjara).
3.      Kita jangan terlalu mengejar hal-hal keduniaan dan mengabaikan hala-hal akhirat. Perlu seimbang antara kedua-duanya.
4.      Pintu taubat Allah S.W.T. sentiasa terbuka kepada manusia yang melakukan dosa dan Allah S.W.T amat suka kepada manusia yang ingin bertaubat.