Isnin, 16 April 2012

Daulat Tuanku

YDPA ke-14

1. Pada 11 April 2012 (Rabu) yang lalu bersamaan dengan 19 Jamadil Awal 1433 H telah berlangsung pertabalan Yang di-petuan Agong (YDPA) Malaysia ke-14, iaitu Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Sultan Kedah) yang dijalankan dengan penuh adat istiadat di Istana Negara tepat pada jam 10 pagi.  

2. Surat pengistiharaan pertabalan itu telah dibacakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang turut dihadiri oleh Raja-raja Melayu yang lain.

3. Ini merupakan pertabalan baginda yang kedua sebagai yang di-Pertuan Agong setelah ditabalkan untuk kali pertama pada tahun 1970 dan berkhidmat selama lima tahun selaku Yang di-Pertuan Agong yang kelima. Ini adalah kali pertama, seorang sultan ditabalkan untuk kali yang kedua dalam sejarah negara Malaysia sejak sistem ketua negara ini diperkenalkan pada tahun 1957.

4. Uniknya, pertabalan YDPA ke-14, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, semasa baginda menjadi YDPA kali pertama pada tahun 1970, Perdana Menteri ketika itu ialah Allahyarham Tun Razak, bapa kepada YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (PM Malaysia sekarang).

5. Manakala, pertabalan YDPA pada hari rabu lalu, baginda menjadi ketua negara kali kedua (2012) di bawah pemerintahan anak Allahyarham Tun Razak pula, iaitu  YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Ini merupakan sejarah kali pertama tercipta bagi sistem pemerintah Raja Berperlembagaan di Malaysia.

6. Daulat Tuanku.

Isnin, 2 April 2012

Membongkar Sejarah Di Sebalik 1 April


Gambar Hiasan

Sudah lama Waris TB, tidak menulis dalam ruangan blog Pabila Anak Kuak Menulis. Sebulan lamanya. Kekangan masa yang agak padat untuk menyelesaikan beberapa tugasan penting yang lain menyebabkan penulis jarang menulis entri blog. Memandangkan semalam kita berada di bulan baru, iaitu 1 April 2012. Jadi, di sini penulis ingin menceritakan sejarah hitam yang dialami oleh Umat Islam Sepanyol yang dizalimi dan dibunuh kejam oleh tentera salib pada zaman  kejatuhan Empayar Islam Sepanyol dahulu. Sejarah hitam itu dikenali sebagai April Fool atau The April’s Fool Day atau April Mop. Perayaan ini disambut setiap tahun oleh masyarakat Kristian seluruh dunia. Sebagai Umat Islam, kita dilarang untuk menyambutnya sama seperti sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day (14 Februari). Semoga titipan daripada penulis ini, dapat dihayati dan dijadikan panduan kepada pembaca terutama kepada mereka yang masih jahil tentang perayaan (April Fool) ini.

Sejarah April Fool

1. April Fool atau April Mop merupakan sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera Salib. Pembunuhan ini dilakukan melalui cara yang licik, iaitu penipuan. Oleh hal yang demikian, mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.
2. Kebayakan orang akan mengatakan bahawa sambutan April Fool pada 1 April setiap tahun adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara, dan sesiapa sahaja di sekeliling. Ada pula syaratnya, iaitu mangsa gurauan itu tidak boleh marah atau beremosi apabila dirinya ditipu (April Fool).
3. Meskipun, sambutan April Fool tidak sehebat sambutan Hari Kekasih (Valentine Day), tetapi dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, sambutan 1 April telah merasuk ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Tambahan pula, remaja pada zaman sekarang sering terpengaruh dengan kebudayaan Barat.

Kronologi April Fool

1. Sambutan April Fool bermula daripada suatu peristiwa besar yang sangat menyedihkan dan memilukan.
2. Perayaan April Fool atau The April’s Fool Day, bermula daripada satu episod sedih yang menimpa kaum Muslimim di Sepanyol (Andalusia) pada tahun 1487 M /892 H. Al-Fatihah untuk mereka.
3. Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur membangun sebagai negeri yang aman. Tentera-tentera Islam bukan sahaja berhenti di Sepanyol, malah turut membebaskan tanah jajahan di bawah penguasaan Perancis. Perancis Selatan mudah ditewaskan. Islam telah membebaskan kawasan seperti Kota Carcassone, Nimes, Bordoeaux, Poitou, dan Tours.
4. Kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol telah memeluk Islam dengan penuh ikhlas. Tambahan pula , mereka mempraktikkan kehidupan secara Islam dalam segala aspek kehidupan seharian. Mereka sentiasa mengatakan tidak kepada arak, pergaulan bebas, dan semua perkara mungkar. Keadaan ini berlaku selama hampir 6 abad.

Pihak Kafir

1. Pihak kuffar yang masih ada di dalam Sepanyol tanpa kenal lelah dan putus asa berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sering menemui kegagalan. Maka, mereka menghantar sejumlah pengintip untuk memerhati kelemahan Islam di Sepanyol.
2. Akhirnya, pihak kuffar ini telah menemui cara untuk menghancurkan Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Dengan niat jahat, mereka telah menyeludup masuk arak dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Hiburan seperti muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi daripada membaca Al-Quran. Mereka juga telah menghantar beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha mereka membuahkan hasil.

Kejatuhan Empayar Islam Andalusia

1. Akhirnya, Kerajaan Islam Sepanyol jatuh dan diambil alih oleh tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan tentera Islam sahaja dibunuh, malah masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua turut menjadi mangsa kekejaman tentera salib. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditawan oleh tentera salib.
2. Granada adalah daerah terakhir yang ditakhluk. Penduduk Islam yang dikenali orang Moor terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera salib terus memburu mereka.
3. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi di dalam rumah masing-masing. Dengan lantang, tentera-tentera salib meneriak mengumumkan bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.
4. Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.
5. Esoknya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.
6. Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.
7. Dengan satu teriakan arahan daripada pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.
8. Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April.

1 April satu penghinaan kepada umat Islam

1. Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain.
2. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.
3. Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Kesimpulan
1. Jadi umat Islam sekalian apakah kita turut terikut ikut dengan 1 April ini dengan mengenakan orang lain dan tertawa. Kemudian menyebut dengan bangga dan gembira "APRIL FOOOOL" di sebalik saudara kita yang tertipu oleh golongan penipu lagi memang tidak ada dalam kehidupan mereka melainkan PENIPUAN. Kepercayaan tertipu dan menipu orang seperti Konspirasi Illuminati.

Rujukan



Isnin, 20 Februari 2012

Kita Serumpun

Kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia dan Pusat Bahasa Indonesia :
Serupa Tapi bebeza
1. Perkembangan bahasa Melayu bermula pada Zaman Srivijaya yang wujud pada abad ke-7 hingga abad ke-11, pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, dan Aceh pada abad ke-14 hingga abad ke-16 dan pada Zaman Johor-Riau-Pahang dari abad ke-17 hingga abad ke-19.

2. Bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia mempunyai sejarah awal yang sama, iaitu bermula dengan kerajaan Melayu yang pertama, iaitu Kerajaan Srivijaya yang menguasai hampir seluruh Nusantara.

3. Pada zaman ini, bahasa Melayu bukan sahaja digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan, malah sebagai bahasa perdagangan dan bahasa penyebaran agama, iaitu agama Hindu dan Buddha.

4. Bukti menunjukkan bahawa bahasa Melayu digunakan dalam pentadbiran Srivijaya boleh dilihat melalui prasasti-prasasti yang ditemui oleh para pengkaji bahasa di Sumatera, seperti prasasti Kota Kapur, Kedudukan Bukit, Karang Berahi, dan Talang Tuwo. Tulisan yang digunakan dalam prasasti tersebut  menggunakan aksara Pallava.

5. Prasasti berbahasa Melayu turut ditemui di luar wilayah penggunaan bahasa Melayu, iaitu Prasasti Gandasuli di Jawa Tengah. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu di Malaysia dan di Indonesia merupakan bahasa yang satu pada ketika itu yang dikatakan oleh ahli bahasa sebagai bahasa Melayu Kuno.

6. Perkembangan bahasa Melayu Kuno dipengaruhi oleh bahsa Sanskrit yang berasal dari India disebabkan oleh pengaruh agama Hindu yang kuat ketika itu. Namun, dengan kemasukan agama Islam ke Nusantara pada abad ke-14, agama Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Agama Islam yang berasal dari negara Arab membawa pengaruh bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Banyak istilah dalam bahasa Arab diserap ke dalam bahasa Melayu setelah diubah suai bunyinya mengikut sebutan dalam bahasa Melayu.

7. Perbezaan bahasa Melayu Kuno daripada bahasa Melayu Klasik ialah BMK dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit, manakala, bahasa Arab dipengaruhi bahasa Melayu Klasik. Bahasa Melayu Moden dipengaruhi oleh bahasa Inggeris di Tanah Melayu dan pengaruh bahasa Belanda di Indonesia.

8. Kedatangan penjajah Inggeris dan Belanda pada awal abad ke-17 menyebabkan bahasa Melayu Klasik akhirnya mencapah kepada dua bahasa yang agak berbeza perkembangannya. Bahasa Melayu di Tanah Melayu yang dijajah oleh Inggeris mengalami perkembangan yang agak perlahan, manakala bahasa Indonesia di Indonesia yang dijajah Belanda mengalami perkembangan yang amat pesat. Hal ini demikian kerana, keadaan persekitaran (ekologi bahasa) kedua-dua bahasa ini yang amat berbeza sekali.

9. Ekologi bahasa Melayu yang merupakan bahasa tunggal di Semenanjung Tanah Melayu, (hanya mengandungi pelbagai dialek dan juga bahasa Mandarin dan Tamil yang minoriti) menyebabkan perubahan yang dialami oleh bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau Malaysia agak kecil dan perlahan.

10. Di Indonesia, bahasa Melayu mempunyai ekologi bahasa yang agak rancu dengan jumlah bahasa daerah yang agak banyak  (seperti bahasa Jawa, Minangkabau, Sunda, Madura, Ambon, dan Bugia) mempengaruhi perkembangan kosa kata dan peribahasa bahasa Melayu di Indonesia. Perbezaan antara bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia menjadi lebih ketara apabila bahasa Melayu di Indonesia dikenali sebagai bahasa Indonesia pada tahun 1928.

“Perkembangan bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia selepas kemerdekaan juga mengalami perbezaan”.

1. Bahasa Melayu di Malaysia diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi negara setelah diperjuangkan oleh para pejuang bahasa melalui Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) dalam forum yang berupa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang membawa kepada penubuhan DBP pada tahun 1956 dan kewujudan Akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1963.

2. Di Indonesia, pengangkatan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan berlaku jauh lebih dahulu sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, iaitu dalam Kongres Pemuda pada tahun 1926 dan tahun 1928. Kekuatan dan semangat pejuangan bahasanya terpancar dalam Sumpah Pemuda tahun 1928 yang menjadi tonggak kesatuan dan semangat cinta akan bangsa, tanah air, dan bahasa Indonesia.

3. Meskipun, di Malaysia prasarana yang disediakan untuk memperjuangkan bahasa kebangsaan lengkap dan mantap melalui penubuhan DBP yang tugas utamanya bertunjangkan bahasa dan sastera serta penerbitan, namun sokongan daripada pentadbir negara dan masyarakat agak lemah.

4. Akibatnya, kini martabat bahasa kebangsaan telah dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu. Pihak pentadbir kerajaan seolah-olah boleh berlepas tangan dengan memberikan segala tanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan kepada DBP sahaja.

5. Hasilnya, kini bahasa Melayu tidak lagi digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, malah penggunaan bahasa Melayu di IPT juga semakin meruncing. Begitu juga dengan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat-tempat awam, semakin janggal.

6. Berbanding bahasa Melayu di Indonesia, melalui Sumpah Pemuda yang dinobatkan sebagai tonggak semangat rakyat Indonesia, penggunaan bahasa Indonesia menjadi lebih kuat dan dominan. Walaupun, pada mulanya Pusat Bahasa yang ditubuhkan pada tahun 1948 serba kekurangan. Namun, dengan semangat pemerintah dan rakyatnya, bahasa Indonesia dapat diletakkan pada tempatnya.

7. Pemerintah Indonesia semenjak tahun 1980 telah menjadikan bulan Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Pemuda dan Sumpah Pemuda yang diisi dengan pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang disebut Bulan Bahasa dan sastera.

8. Walaupun, di Malaysia ada Bulan Bahasa dan Sastera Negara, kegiatan ini hanya ditonjolkan oleh DBP dengan sokongan daripada beberapa kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan. Pada hakikatnya, kegiatan ini tidak mendapat sokongan padu daripada kerajaan dan masyarakat umum.

“Perbandingan struktur dan fungsi DBP dengan Pusat Bahasa “.

1. Jika tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada DBP oleh kerajaan Malaysia amat berat kerana tidak mendapat sokongan padu daripada pentadbir negara.

2. Lain pula di Indonesia, Pusat Bahasa di Indonesia mendapat sokongan padu daripada pentadbir kerajaan. Oleh hal yang demikian, sikap positif Berjaya diwujudkan dalam kalangan rakyatnya.

3. Adakah perjuangan bahasa di Malaysia akan sentiasa seperti anjing menyalak bukit? Sama-samalah kita fikirkan dan renungkan.

4. Wallahua’lam.

( Dipetik dan diubahsuai daripada, Dewan Bahasa Mac 2007 ).

Rabu, 1 Februari 2012

Jangan Jadi Hamba Duit

Gambar Hiasan

"Duit Bukan Segala-galanya"

Duit boleh beli BANTAL & TILAM, tapi tidak boleh beli TIDUR,
Duit boleh beli UBAT, tapi tidak boleh beli KESIHATAN,
Duit boleh beli BUKU, tapi tidak boleh beli KEBIJAKSANAAN,
Duit boleh beli INTAN PERMATA, tapi tidak boleh beli KECANTIKAN.

Duit boleh beli MAKANAN, tapi tidak boleh beli SELERA,
Duit boleh beli RUMAH, tapi tidak boleh beli KELUARGA,
Duit boleh beli BARANGAN MEWAH, tapi tidak boleh beli PELAJARAN,
Duit boleh beli HIBURAN, tapi tidak boleh beli KEBAHAGIAAN.

Duit boleh beli PERNIAGAAN, tapi tidak boleh beli KEBERKATAN,
Duit boleh beli CINTA, tapi tidak boleh beli KESETIAAN,
Duit boleh beli ORGAN BADAN, tapi tidak boleh beli NYAWA,
Duit boleh beli PANGKAT & KEDUDUKAN, tapi tidak boleh beli IMAN.

~Renung-renugkan & Fikir-fikirkan~

Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada Islam Iman Ihsan

Jumaat, 27 Januari 2012

Pantun Peribahasa

Gambar Hiasan

Peribahasa Sindiran : Siapa yang makan cili, dia terasa pedasnya
1. Hilang Pisau berganti Parang ; Peribahasa menjelaskan bahawa sesuatu benda yang hilang akan ada penggantinya, malah kadang-kadang pengganti benda yang hilang itu lebih bermanfaat dan lebih baik daripada benda yang hilang itu sendiri. Oleh itu, kita diseru supaya tidak menyesali kehilangan sesuatu benda kerana yang hilang itu ada gantinya.

P/s : Yang lelaki, kalau ada isteri hilang jangan cuba kahwin lagi, nanti bukan parang saja yang datang, kapak pun boleh datang.

2. Kerbau mandul banyak lemak ; Peribahasa ini seolah-olah membawa satu sindiran, tetapi di sebalik kemandulannya itu ada kebaikannya. Walaupun, tidak dapat melanjutkan keturunannya, namun kerbau ini masih berguna kepada masyarakat kerana ia mengandungi banyak lemak. Oleh itu, kita dikehendaki tidak berputus asa dengan kekurangan itu, malah ada kelebihan di sebaliknya.

P/s : Kalau manusia yang mandul pula, adakah ia mempunyai banyak lemak? Kalau ya, jangan risau si polan itu mesti banyak kelebihan.

3. Bercakap bohong, lama-lama mencuri ; Peribahasa ini seolah-olah menyindir masyarakat  yang suka berbohong ketika bercakap. Bercakap bohong adalah satu dosa dan dosa itu menjadi lebih besar keranan ia akan membuat kepada sesuatu perbuatan lain, iaitu mencuri. Mencuri itu lebih besar dosanya. Dengan kata lain, setiap kejahatan yang dilakukan, walaupun kecil akan memungkinkan seseorang itu melakukan kejahatan yang lebih besar kerana telah menjadi biasa.

P/s : Orang sekarang cakap “Bercakap bohong , lama-lama jadi menteri.” Bila jadi menteri songlap duit rakyat pula, tipu sana, tipu sini, rasuah sana, rasuah sini. Dah besar mana dosa mereka itu?..ooopppps minta maaf tersasul.

4. Kerbau kurus banyak tulang ; Peribahasa ini menyindir kerbau yang kurus. Ia menggambarkan masyarakat lama yang menggunakan kerbau sebagai pembantu kerja di sawah ladang. Kerbau yang kurus tentulah tidak kuat bekerja, berbanding kerbau gemuk. Harga kerbau kurus juga murah kalau dijual kerana nilai tulang lebih rendah berbanding isi atau dagingnya. Peribahasa ini secara tidak langsung menyindir manusia yang kurus dan kurang bertenaga melakukan sesuatu pekerjaan, mereka ini tidak menguntungkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

P/s : Boleh percaya ka? Selalu penulis tengok orang yang kurus kuat bekerja walau tenaga kurang, tapi orang gemuk malas bekerja walaupun tenaganya banyak. Kalau dekat Somalia sana ramai yang kurus sampai nampak tulang, mereka bertenaga dan kuat bekerja, tetapi makan dan minum ja tidak cukup berbanding dekat negara kita tercinta ini, MALAYSIA.

5. Lain orang, lain hatinya ; Peribahasa ini menggambarkan sifat manusia yang berbeza-beza. Setiap orang pada zahirnya Nampak sama, tetapi hati masing-masing berbeza, sama ada daripada segi sikap, pandangan, dan caranya.

6. Lain dulu, lain sekarang ; Peribahasa ini menjelaskan tentang jarak waktu yang selalunya merubah seseorang, sama ada daripada segi fizikal, sikap, atau watak.

P/s : Kalau dulu mana ada Internet, mana Facebook, Twitter dll macam sekarang, hanya ada burung Merpati saja untuk berhubung.

7. Awas ! Harap jangan berkecil hati dan tersinggung jika peribahasa di atas ada di dalam diri tuan /puan sekalian. Ini sekadar renungan dan perkongsian ilmu penulis dengan tuan/puan sekalian tidak ada niat membuka aib dan menjatuhkan maruah sesiapa.

8. Wallahua’lam.

Sabtu, 21 Januari 2012

Sabar

Gambar Hiasan
1. Dunia akhir zaman. PENYELEWENGAN, PENINDASAN, KETIDAKADILAN, KEKEJAMAN, perkara-perkara luar biasa, tapi menjadi biasa. PELIK, tapi BENAR. Kita perlu mengakui semua ini.

Ahad, 15 Januari 2012

Cerita Baucer Buku RM200, jadi Bersiar-siar di Kuala Lumpur.

Gambar Hiasan
1. Hari ini ( 140112 ), penulis dan bersama dengan rakan berjalan-jalan ke Kuala Lumpur, bandaraya Metropolitan, semua benda ada di sini. Rakan-rakan yang lain sudah pulang ke kampung halaman masing-masing, kami saja yang masih setia di Bumi Ilmu Tanjong Malim. Rasa semua sudah berjumpa dengan ibu bapa dan orang tersayang di rumah. Yala, lama tidak bersua, hanya SMS dan panggilan telefon menjadi medium untuk berhubung sebelum ini. Tapi, tidak mengapa baki cuti masih panjang ( lebih kurang 4 minggu ), masih ada masa untuk penulis pulang ke kampung. Lagi pula, aku jarang turun ke KL selama aku belajar hampir 3 bulan setengah di UPSI. Pada hal jarak TM-KL tidak jauh sangat ( dalam 45 minit ), kalau menaiki motorsikal atau Kereta Api Tanah Melayu (KTM).

2. Menaiki KTM di Hentian Sg. Buloh-KL Centre dengan bayaran RM2.20 pergi dan balik ( RM4.40 ). Boleh dikira dengan jari penulis menaiki KTM dalam hidup. Seingat penulis ini kali kedua, ( mula-mula naik masa hendak balik ke kampung pada semester 1 dulu TM-Butterworth ). Itu sahaja, selepas itu dah tak pernah naik, hanya selalu lihat KTM yang sering melintas ketika penulis bersembahyang Jumaat di masjid TM. Biasa la, selalu naik bas saja balik ke kampung, jadi luar biasa sedikit kalu naik KTM ni. Perkhidmatan disediakan oleh KTM ni bagus juga keranan mengasingkan 'coach' antara lelaki dengan perempuan ( tapi tak semua penumpang yang ikut peraturan ditetapkan ). Alhamdulillah, akhirnya penulis sampai juga di bandaraya Yap Ah Loi ini.

3. Semasa dalam perjalanan penulis dari Hentian Sg. Buloh-Kl, penulis sempat melihat seorang kelibat seorang sami, memakai pakaian suci mereka berwarna keemasan ( tapi sudah pudar ), bertongkat, dan memegang buah tasbih mereka. Sepanjang perjalanan, dia asyik menggerakkan buah tasbih yang dipegannya berkali-kali, sambil mata terpejam, dan mulutnya bisu. Penulis tidak tahu benda apa yang disebutnya, mungkin bertasbih ( dalam agama mereka ). Sudah berumur sami ini, penulis tengok rambutnya ada uban-uban putih, dan berkaca mata. Dia beredar daripada tempat duduknya, apabila tren KTM berhenti di hentian Rawang.

4. Dalam menuju ke KL, masuk pula seorang ibu muda dengan keadaannya mengandung, kira-kira dalam 6 bulan usia kandungannya. Ruang tempat duduknya diberikan oleh pengguna KTM yang lain disebabkan dengan keadaannya. Penulis berfikir dalam hati ”masih ada lagi orang yang berhati mulia dekat negara Malaysia ini, walaupun hubungan sosialnya dalam radar yang membahayakan.”

5. Sampai sahaja di KL Central, ramai berebut-rebut untuk menaiki KTM, tidak sabar-sabar mengejar masa untuk menuju ke destinasi yang dituju. Belum habis penulis dan pengguna yang lain hendak turun, penumpang-penumpang yang berada di situ terus meredah masuk tanpa segan silu dan rasa hormat. Nasib baik, mereka tidak melanggar ibu muda yang sarat mengandung tersebut. Sikap rakyat Malaysia masih teruk dalam etika beratur, tidak seperti masyarakat Jepun. Tidak sabar, kejar masa, dan tidak menghormati perasaan orang lain. Papan tanda yang menulis ‘sila beratur’ tidak dipandang dan diambil perhatian oleh mereka. Mungkin sekadar menjadi penghias dinding di situ.
....

6. Sampai di KL Centre, penulis membeli tiket untuk ke KLCC. Tiada tiket dijual di kaunter, kena beli melalui mesin elektronik yang disediakan. Penulis lihat, hanya seorang sahaja yang menjaga kaunter tiket, letih ‘brother’ tu, nak uruskan semua, kiri kanan, depan belakang manusia berpusu-pusu datang, banyak soalan hendak dijawab. Yang tak terjawab pun ada, bercampur baur. Jadi, penulis akur, terpaksa menggunakan mesin automatik  tersebut untuk mendapatkan tiket bagi ke destinasi seterusnya, KLCC dengan bayaran RM1.60. Pada mulanya, agak takut nak guna mesin tersebut, maklumlah penulis sebelum ni tak pernah menyentuhnya, malah menggunakannya jauh lagi. Pada hal, mudah saja nak menggunakannya, ikut saja panduan yang tertulis pada badan mesin tersebut. Ikut arahan yang diberikan. Tidak berapa lama kemudian, tiket (token) diperolehi. Mudahnya.

7. Di Suria KLCC, ramai lautan manusia, berpusu-pusu, dan sesak. Pergi dengan hanya satu tujuan, membeli buku dengan menggunakan ‘baucer buku RM200’ yang diberikan oleh kerajaan dalam Bajet 2012 lalu. Penulis sempat bertanya di mana kedai buku di situ kepada seorang pelayan wanita di situ?. ‘Di tingkat empat katanya,’sambil melemparkan senyuman manis kepada penulis. Sampai saja di situ, ramai sudah orang beratur panjang di kaunter bayaran dengan beberapa jenis buku, mungkin sedang bejoli dengan baucer buku yang diberikan. Betul anggapan penulis, sempat juga melihat seorang budak lelaki Cina sedang memegang baucer tersebut, dan beberapa jenis buku di tangan kirinya.

8. Di Suria KLCC, jumlah bukunya banyak sekali, terdiri daripada pelbagai jenis genre, cerita ja, semuanya ada. Macam-macam ASTRO. Penulis ke bahagian ‘education’ (pendidikan). Hendak mencari ibu segala bahasa, Kamus Dewan. Banyak dengan kamus pelbagai bahasa, susah juga nak cari. Tapi, tak jumpa kamus tersebut, mungkin dah habis dijoli oleh pelanggan atau pelajar lain, apabila sahaja baucer buku itu diterbitkan. Sedih juga melihat buku-buku yang dijual di sini, semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris, boleh kata 100%. Semua genre pula tu, baik bahasa, kesusasteraan, politik, ekonomi, sosial, agama, hiburan, iklan, sains, matematik, dan sebagainya. Di mana buku Melayu?, tapi di satu sudut, di sebelah bahagian bahasa, ada dijual buku-buku dalam bahasa Cina, semua buku di dalamnya ditulis dalam bahasa Cina. Hairan bin ajaib.

9. Harga buku-buku ini boleh tahan juga harganya, mahal la senang penulis beritahu. Paling mahal RM116 buku ekonomi ‘Capitalis’, tidak la tebal sangat, paling murah RM9.90 buku Sastera Inggeris, ‘Hamlet’. Mungkin ada yang lebih mahal daripada ni, kedua-dua harga buku ini yang sempat penulis melihatnya. Jadi, masuk tangan kosong, keluar pon tangan kosong, tak beli buku langsung la tu. Cuba tempat lain pula. Baki Baucer Buku masih kekal, RM200, tidak kurang, tidak lebih. Ingat nak pergi ke Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), mungkin tak sempat, jam di tangan penulis menunjukkan pukul 5 petang.

10. Low Yat. Tujuan seterusnya, ke gedung bahan-bahan eletronik, digital, di Kuala Lumpur, Low Yat. Bersebelahan dengan Times Square. Penulis dan rakan berjalan jauh juga untuk sampai di sini dari Suria KLCC. Kali pertama datang sini, suasana seperti di Suria KLCC tadi, lautan manusia. Penulis datang ke sini untuk mencari kelengkapan kamera, iaitu ‘filter lens kit’ dan ‘camera protection’ untuk kamera DSLR, Nikon D90 yang baru sahaja dibeli penulis. Melayang RM90 hanya dua alat itu sahaja. Tapi, penulis puas hati, di sini banyak pilihan, kita boleh membandingkan harga, dan penjual-penjualnya juga bersaing sengit menjual produk mereka kepada pelanggan. Kena pandai-pandai pilih.

11. Surau. Begitu susah nak cari surau di kawasan Low Yat tersebut. Puas penulis berjalan mencarinya. Masuk kedai, masuk pasar raya, tak ada juga. Yang mudah ada, di mana-mana sahaja, tandas. Di Times Square, baru ada surau. Boleh juga beribadat. Lokasinya di tingkat 7 (surau perempuan) dan tingkat 8 (surau lelaki). Dekat kawasan surau ni pelik sikit, kurang sikit laluan manusia, tidak sesak seperti di tingkat-tingkat lain. Pada hal, ramai sahaja orang Melayu Islam penulis jumpa dan lalu lalang di setiap tingkat gedung besar ini.

12. Lupa pula nak cerita, sebelum sembahyang, penulis beradu sebentar untuk minum dan makan. Banyak pilihan dan harga makanan dan minuman di sini, agak mahal berbanding di tempat-tempat biasa, di kedai-kedai biasa di tepi-tepi jalan. Penulis hanya menikmati sepinggan Nasi Goreng Kampung (RM5 + RM1 nasi lebih) dan secawan Sirap Laici (sebiji ja laici, kedekutnya) dengan RM2. Semua sekali RM8. Baru satu kepala. Tapi puas hati, sedap, dan lebih penting perut kenyang.

13. Pulang. Dari pagi sampai ke malam, seharian berjalan di KL, sampai lenguh-lenguh segala urat di kaki dan betis. Dari TQ berjalan pula ke Hentian Hang Tuah untuk membeli tiket ke KL Centre. RM1.20. Turun di KL Centre, berpusu-pusu orang yang sudah tunggu di sana. Apa lagi, berebut-rebut la naik Monorail, takut tak boleh naik. Baik yang muda, baik yang tua, sama saja berebut-rebut termasuklah penulis sendiri. Sampai sempit penumpang dalam monorail tersebut, macam-macam bau keluar, bunyi bising, dan panas pun terasa walaupun, ada penghawa dingin. Sampai di Hentian Sg. Buloh kurang sikit penumpang, tak da la sesaknya, penulis boleh keluar dengan selesa.

14. Tanjong Malim. Selepas itu, penulis membonceng motosikal bersama kawan dari Sg. Buloh –Tanjong Malim, selama sejam. Boleh tahan juga jaraknya, sampai hangat punggung, boleh tahan sakit pinggang, dengan muka berminyak, peluh jangan kata la kering basah di tubuh, rasa bergetah. Memang sangat letih perjalanan hari ini Tanjong Malim-Sg. Buloh-KL Centre-KLCC-Low Yat-Times Squaere-Hentian Hang Tuah- KL Centre-Sg. Buloh-Tanjong Malim. Akhirnya, di rumah sewa, Taman Bernam Baru.

15. Tamatlah  Al-kisahku. Wallahua’lam.