Ahad, 3 April 2011

1001 KENANGAN.

Pada hari jumaat yang lalu, aku berpeluang pergi ke Rumah Penulis Nasional ( PENA ) bagi menjayakan satu pedeklamasian puisi di sana bersama rakan-rakan sekuliah. Kami pergi ke sana bagi memeriahkan majlis bacaan puisi yang diadakan pada setiap hari jumaat minggu pertama setiap bulan. Tetamu yang hadir bukan sahaja kami, tetapi turut dihadiri beberapa tokoh sastera di Malaysia serta tokoh sasterawan ke-10  Dato' Dr Anwar Ridwan. Mereka juga turut mendeklamasikan sajak masing-masing. Rombongan kami dengan sebuah bas dari UPSI seramai 40 orang di bawah pensyarah Puisi Melayu, Prof. Madya Dato' Paduka Dr Rosli Saludin.

        Sampai sahaja di rumah PENA, segala kelengkapan untuk persembahan pada malam itu sudah disiapkan oleh beberapa orang teknikal. Rumah PENA ini berbentuk rumah biasa, aku ingat rumah PENA ini seperti Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ). Rumah PENA mempunyai dua tingkat, ruang tamunya agak sederhana besar, tetapi lengkap dengan kemudahan asasnya seperti ruangan solat, tandas, pejabat, dan sebagainya. Kami juga dihidangkan dengan beraneka jenis makanan seperti mee goreng, nasi lemak, kuih-muih, dan air tiga rasa. Kami dijemput makan oleh kakitangan rumah PENA sebelum persembahan bacaan puisi bermula. Makanan yang disediakan memang sedap dan meyelerakan walaupun agak ringkas penyediaannya. Aku memang tabik spring kepada catering yang menyediakan makanan tersebut. Selepas menikmati makan malam, kami mencari air untuk berwuduk bagi menunaikan solat maghrib. Mungkin pertama kali datang ke rumah PENA, kami agak sukar untuk mencari kemudahan tersebut dan terpaksa bertanya kepada kakitangan rumah tersebut. Selepas selesai solat maghrib, kami bersiap untuk persembahan bacaan puisi pada malam tersebut.
        
        Persembahan pada malam itu bermula pada pukul 9.00 malam walaupun, tetamu pada waktu tersebut masih ada yang datang. Bacaan puisi dimulai dengan tokoh-tokoh sasterawan tanah air seperti Dato' Kemala, hanya seorang saja yang aku ingat. Selepas itu, kami mahasiswa UPSI pula tampil untuk membuat persembahan bacaan puisi. Kami terdiri daripada 9 kumpulan yang membuat persembahan pada malam tersebut dengan pelbagai jenis pendeklamasian puisi seperti pantun, nyayian, seloka, gurindam, syair, dan mantera. Kumpulanku membuat persembahan kedua dengan sajak 'cheghok desa' ( seloka dan sajak ) pada malam tersebut. Ini merupakan kali pertama aku membuat persembahan bacaan puisi di hadapan umum serta di hadapan sasterawan negara. Aku Rasa gugup dan berdebar. Selesai persembahan kami, pelajar-pelajar dari Universiti Malaya ( UM ) pula membuat persembahan bacaan puisi di bawah bimbingan, Victor Pogadaev, iaitu penyajak dari Rusia. Mereka mempersembahkan sajak-sajak dari Rusia yang terkarang oleh Victor Pogadaev.

         Sebelum berangkat pulang ke UPSI, kami bergambar kenangan di rumah PENA bersama dengan bekas pensyarah, En. Ariff Mohamad sebagai kenang-kenangan. Setiap sudut di dalam rumah PENA kami bergambar kenangan dengan pelbagai gaya dan rentak. Gambar-gambar lukisan di dalam rumah tersebut turut diambil untuk dijadikan kenangan yang abadi dalam diriku. Di pintu masuk rumah PENA turut menjual pelbagai genra buku seperti akademik, sastera, motivasi, dan sebagainya yang dijual oleh pengarah teater terkenal, Khalid Salleh. Di laman rumah PENA, kami turut berkesempatan bergambar kenangan dengan seorang tokoh sastera tanah air, Dato' Kemala. Beliau merupakan seorang yang baik dan peramah dan tidak kedekut menceritakan kehidupannya menjadi pelajar di MPSI dahulu kepada kami. Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada kami supaya belajar bersungguh-sungguh.
         
         Tepat pukul 11 malam kami bertolak pulang ke UPSI dengan membawa 1001 kenangan semasa berada di rumah PENA. Aku menganggap itu kenangan yang tidak dilupakan walaupun tidak sampai sehari aku berada di sana, banyak pengalaman dan pengetahuan dapat aku perolehi di sana. Kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan ialah ketika membuat persembahan bacaan puisi di hadapan sasterawan negara dan tokoh-tokoh sastera tanah air, dan paling manis sajak itu merupakan ciptaan aku sendiri. Berada di rumah Pena dapat melepaskan kepenatan, tekanan, dan kesibukan jalan raya di bandar metropolitan Kuala Lumpur " Kataku di dalam hati". Di rumah PENA aku turut melihat bangunan Time Square, yang gagah berdiri dengan dihiasi lampu neon yang menyerikan badannya. Sebelum aku berangkat pulang dari rumah PENA, aku memasang niat dan impian akan ke sini lagi di lain waktu bagi menambah pengalaman dan penegetahuan aku dalam dunia sastera. Bak kata Dato' Kelana " Setipa hari jumaat minggu pertama setiap bulan, mahasiswa datanglah ke Rumah Pena untuk melihat sasterawan negara bepuisi." INSYALLAH...
Gambar kenangan bersama Dato' Kelana.
Dari kanan Dato' Kemala, SN 10 Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan Dato' Paduka
Dr. Rosli Saludin.
Dari kanan SN 10 Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan Dr. Viktor Pogadaev.
Pelajar Minor Puisi Melayu bergambar kenangan di Rumah PENA.
Penulis dengan En. Ariff Mohamad, salah seorang
kakitangan rumah PENA.
Lukisan Ilustrasi Rumah PENA.

Persatuan Penulis Nasional ( PENA ).
Persembahan Kumpulan Penulis "Cheghok Desa ".
                                                                      

Selasa, 29 Mac 2011

TRAGEDI 28 MAC 2011

Hari ini 28 Mac 2011 ( Isnin ) merupakan hari penuh bersejarah dalam hidupku semasa belajar hampir setahun setengah di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ). Kenapa aku kata sedih ? mari aku hendaj cerita satu persatu dan langkah-demi langkah bak kata dalam bahasa Inggeris. Pada tarikh keramat itu ( 28 Mac 2011 ) adalah merupakan hari keluarnya keputusan untuk menduduki kolej bagi semester pengajian tahun 2011/2012. Senarai pelajar akan dilekat pada papan kenyataan di hadapan lif blok paling bawah, iaitu di pejabat kolej. Alangkah teruja bercampur kerisauan pada diri setiap orang mengenangkan nasib mereka pada semester hadapan untuk tinggal terus di kolej. Penghuni-penghuni kolej berpusu-pusu datang ke papan kenyataan untuk mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak memperolehi slot terakhir bagi menduduki kolej pada semester hadapan. Di situ aku dapat melihat pelbagai reaksi dan karenah mereka setelah melihat notis kolej tersebut. Ada yang tersenyum riang, ada yang ketawa, ada yang melompat-lompat, dan ada yang sedih dan muram. Melihat reaksi daripada mereka, aku menyimpulkan bagi pelajar yang menunjukkan reaksi riang gembira itu telah diterima untuk menduduki kolej pada semester akan datang, manakala yang reaksi sedih itu, menunjukkan diri mereka digugurkan dalam senarai untuk menduduki kolej pada semester hadapan. Pada papan kenyataan tersebut, pihak kolej mengeluarkan dua borang berlainan warna. iatu satu borang berwarna kuning, satu borang berwarna merah dan satu borang berwarna putih. Borang kuning ialah senarai nama pelajar yang berjaya menduduki kolej, borang merah merupakan senarai pelajar yang gagal, dan borang putih merupakan senarai pelajar yang berhutang dengan pihak kolej.
      Pengambilan pelajar untuk menetap di kolej pada semester ini jauh lebih berbeza dengan pengambilan pada semester lepas. Hal ini demikian kerana, pada semester lepas kebanyakan pelajar-pelajar lelaki yang memohon untuk menduduki kolej semuanya diluluskan walaupun tidak aktif semasa program-program yang dianjurkan oleh kolej. Namun begitu, berlainan pula pada pengambilan kolej pada semester ini di mana ramai lelaki yang memohon kolej terpaksa dibuang termasuk yang aktif dalam kolej. Ini berikutan UPSI akan mengambil ramai pelajar baharu pada semester depan akibat pembukaan open market yang baru diperkenalkan pada awal semester ini. Pengambilan pelajar baharu yang diambil pada sesi September 2011/2012 dianggar 5,000 orang yang bukan terdiri daripada kursus pendidikan, tetapi pasaran terbuka atau open market. Kesimpulannya, pelajar yang gagal untuk menduduki kolej pada semester hadapan terpaksa akur dengan pihak kolej dan terpaksa mencari rumah sewa atau membuat rayuan. Ini bagi memberi laluan kepada pelajar-pelajar baharu untuk merasai nikmat hidup di kolej yang serba serbi lengkap dari segi fasilitinya, bak kata orang kampungku lengkap dari A sampai Z.
        Satu perkara yang masih bermain di benak fikiran penulis berkaitan dengan pemilihan pelajar untuk menduduki kolej. Siapa yang sebenarnya menjadi panel atau juri untuk memilih pelajar yang akan menduduki kolej sebenarnya? Aku mendengar khabar-khabar angin mengatakan panel yang memilih pelajar-pelajar tersebut ialah Yang dipertuan kolej dan REXCO kolej sendiri bukan pengetua. Persoalan ini timbul kerana sesetengah pelajar yang berjaya menduduki kolej dikenalpasti tidak aktif lansung dalam program-program kolej dan ada yang tidak menghantar borang permohonan serta buku sticker. Bagaimana mereka ini boleh lolos daripada perkara-perkara tersebut yang dianggap wajib semasa memohon kolej. Adakah di sini wujud 'kabel' atau dengan perkataan mudah menolong kroni? Tapi aku pun berfikir sedemikian pada awal semasa aku beremosi. Namun, setelah berfikir itu adalah rezeki setiap orang, kita tidak boleh melawan takdir Tuhan. Mungkin mereka yang tidak boleh tinggal di kolej mempunyai hikmah di sebaliknya. Redha sahaja lah.
            Akhir kalam, itu perkara yang hendak diceritakan penulis kepada anda sekalian. Itulah dikatakan hari bersejarah dalam hidupku. Penulis sendiri pun tidak diterima lagi sebagai warga Kolej Harun Aminurrashid ( KHA ) yang cantik dan besar ini. Penulis hanya mampu bertahan setahun ( semester 1 - semester 4 ) sahaja di kolej ini dan dalam tempoh setahun itu banyak pengalaman pahit manis dilalui penulis. Mendengar sahaja khabar daripada kawan bahawa aku tidak berjaya menduduki kolej pada semester hadapan, hatiku berasa bimbang dan gusar untuk mencari rumah untuk meneruskan pengajian pada semester akan datang. Namun, masalah tersebut berjaya diatasi kerana penulis berjaya memperolehi sebuah rumah sewa atas bantuan seorang kawan. Setelah berjaya mendapat persetujuan daripada rakan-rakan lain untuk tinggal bersama di luar telah menyelesaikan masalah yang dihadapi penulis. Selepas ini penulis akan menikmati kehidupan di luar kolej yang dianggap bebas berbanding di dalam kolej yang terlalu straight. Semoga kehidupan di luar lebih mematangkan diriku, dan mendewasakan diriku lebih baik berbanding di kolej. Akhir kata, SELAMAT TINGGAL KHA SEMOGA KITA BERJUMPA LAGI DI LAIN WAKTU. Penulis menyusun jari sepuluh memohon maaf dari hujung rambut hingga ke tapak kaki jika terdapat sebarang kesilapan dan kesalahan sepanjang setahun tinggal di kolej ini. Penulis berharap semua kakitangan dan penghuni kolej berada dalam keadaan aman dan sihat walalfiat serta dirahmati oleh Allah S.W.T.

Rajah 1.1 Kolej Harun Aminurrashid, UPSI

Selasa, 15 Mac 2011

Kajian Novel Kabus Di Perbukitan ( Tingkatan 5 )

1.0 Tema dan Persoalan
Tema adalah idea atau persoalan pokok dalam sesebuah cereka. Dengan kata lain tema menjadi panduan bagi seseorang pengarang memilih bahan dalam cerita itu dan menyusunnya ( Glosari Istilah Sastera; DBP, 1988 ). Tema dalam sesebuah cerita tidak dapat dilihat. Pembaca hanya akan mengetahui sesuatu tema apabila habis membaca karya berkenaan.
       Berdasarkan defenisi tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa tema merupakan idea atau persoalan utama yang mendasari sesebuah karya, lazimnya membawa gagasan atau fikiran pengarang dan hanya dapat dikesan setelah karya berkenaan selesai dibaca. Sementara persoalan pula ialah permasalahan lain yang turut dipaparkan oleh penulis dan permasalahan itu berkaitan dengan tema.
1.1 Tema Novel Kabus di Perbukitan
Novel karya Mohamad Kholid Hamzah membawa tema jati diri orang Melayu. Tema ini diserlahkan melalui watak utama Faridah yang merantau ke New Zealand selama 25 tahun. Jati diri bangsa dan kekuatan pegangan agama menjadikan wanita Melayu dan penganut agama yang setia. Kekuatan ini membentuknya menjadi wanita glokal yang masih sedar akan asal usul diri. Walau bagaimanapun, akhirnya Faridah mengambil keputusan untuk kembali tinggal di Malaysia bersama keluarganya serta membina kehidupan yang bermakna di sana.
         Terdapat beberapa ciri yang ada pada watak utama dalam novel ini, iaitu Faridah yang jelas menunjukkan jati dirinya sebagai orang Melayu.Pertama, Faridah yang bermastautin di Rosewood, New Zealand tidak pernah melupai tanah tumpah darahnya, iaitu Malaysia walaupun sudah 25 tahun menetap di Rosewood.
Faridah teringat kampungnya di Parit Tiga, Sungai Besar. Dia teringat pada tanah kubur ibunya yang telah 25 tahun tidak dijenguknya, kubur Ayu dan Ghazali juga. Pada kehangatan matahari khatulistiwa semestinya. Ketika umur setengah abad, dia terasa ingin kembali ke tanah air tetapi keluarganya di sini, anak-anak, suami dan hartanya juga.
                                                                             ( Halaman 123 )
Siapa tidak terkenang akan tanah air yang menjadi tempat bermain, tempat membesar dan bersemadinya kasih yang berpanjangan.
                                                                              ( Halaman 124 )
          Kedua, Faridah masih lagi menggemari masakan orang Melayu, iaitu kari yang merupakan masakan kegemaran anaknya, Anne.
“Sudah mama. Hujung minggu ini kita masak kari kegemaran mama, boleh? Sudah lama Anne tidak merasai kari ayam mama itu,” pinta Anne.
      Faridah senang dengan permintaan anaknya walaupun bahan-bahan untuk masakan agak mahal. Cita rasa Melayu tidakkan hilang ditelan masa, asal tangannya harus rajin meladeni kehendak anak-anak.
                                                                          ( Halaman 121 )
         Ketiga, Faridah masih mengekalkan panggilan namanya dengan nama Melayu, iaitu Idah. Biasanya, apabila seseorang perempuan yang berkahwin dengan lelaki kristian, mereka akan menggunakan nama pangkal suami mereka. Namun begitu, ini berbeza dengan Faridah yang masih mengekalkan adat dan budaya orang Melayu Islam, iaitu tidak mengubah nama asalnya kepada nama suaminya. Hal ini menunjukkan bahawa Faridah merupakan seorang anak Melayu yang kuat jati dirinya walaupun berkahwin dengan lelaki asing dan tinggal di luar negara.
          Keempat, iaitu yang terakhir Faridah masih kuat berpegang kepada ajaran agama Islam yang menjadi pegangan kuat bangsa Melayu. Faridah dan Soleh Johnsons menerapkan ajaran Islam kepada anak-anak mereka, iaitu larangan minum arak. Selain itu, Faridah dan Johsons menghantar anak-anak mereka Anne dan Melina yang terletak 30 km dari rumah mereka di Rosewood.
Melina ketawa kecil. Dia tahu dia dilarang menjamah minuman keras oleh ibu bapanya tetapi di luar pengetahuan mereka dia sesekali mengambil minuman keras.
                                                                            ( Halaman 128 )
Melina berlainan sekali dengan Anne, sungguhpun mereka adik-beradik kembar seiras. Anne begitu taat sejak kecil lagi. Komuniti Islam di Christchurch menubuhkan sebuah sekolah rendah Islam yang beroperasi selepas waktu pejabat. Mereka berdua telah didaftarkan sejak berusia enam tahun lagi.
                                                                           ( Halaman 128 )
1.2 Persoalan Novel Kabus Di Perbukitan
Selain tema, dalam novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah juga memaparkan beberapa persolan yang berhubung kait dengan tema. Persoalan pertama ialah keretakan rumah tangga yang memisahkan kasih sayang anak-anak. Sebelum Kamaruddin berkahwin dengan Hamidah, dia telah mendirikan rumah tangga dengan Salmah, iaitu emak kandung kepada saudara kembar Rahayu dan Faridah. Namun begitu, perkahwinan mereka berdua berakhir dengan penceraian. Rahayu tinggal dengan ayahnya, Kamaruddin dan ibu tirinya, Hamidah, manakala Faridah tinggal dengan ibu kandungnya, Salmah di kampung. Penceraian ibu bapa menyebabkan hubungan mereka terpisah selama 20 tahun dan hanya sempat berjumpa dengan Rahayu sewaktu di hospital.                                        
          Persoalan kedua ialah kasih sayang antara ibu, ayah, dan anak. Kasih sayang antara ibu dan anak dapat dilihat melalui watak Salmah yang tidak pernah pudar walaupun berpisah dengan Rahayu selama 20 tahun. Mejar ( B ) Kamarudin meredah hutan belantara mencari anaknya, Faridah yang hilang di dalam hutan Cameron Highlands walaupun selama 20 tahun dia tidak pernah pernah bersua dengan Faridah setelah berpisah dengan Salmah. Selain itu, Hamidah amat menyayangi Rahayu walaupun hanya anak tirinya yang dibela bagai anak sendiri sejak berusia 7 tahun.
Hamidah mendidik Rahayu seperti anaknya sendiri.
                                                                        ( Halaman 30 )
Kamarudin mengeluh, dia sudah terlalu tua barangkali untuk meredah hutan bagai orang muda. Namun, demi Faridah yang entah di mana , dia rela sekurang-kurangnya dia telah berusaha.
                                                                       ( Halaman 70 )   
Rahayu terkenangkan hari-hari indah bersama-sama emak di kampung, jauh di barat laut Selangor yang begitu terkenal dengan sawah padi dan perkampungan nelayan. Emak rajin membawa mereka ke pantai Sungai Haji Dorani, mengutip lala dan kerang ketika air surut.
                                                                      ( Halaman 39 )
“Belum puas lagi rindu mak, kau sudah pun meninggalkan mak, anakku,” rintih Salmah begitu hiba sekali.
                                                                     ( Halaman 93 )
           Persoalan ketiga ialah perkahwinan campur pelbagai bangsa. Perkahwinan campur dalam novel ini melibatkan Faridah dengan Soleh Johnsons seorang bangsa Inggeris New Zealand, Melina dengan Benny seorang berbangsa Arab, dan Anne dengan Zain yang berbangsa Melayu.
Soleh Johnsons, yang bermata biru dan bertubuh 6 kaki 2 inci itulah yang mengikat kasihnya bertaut abadi di sini.
                                                                     ( Halaman 123 )
“Malam ini kita terus terbang ke Christchurch. Kalau bapamu bersetuju, kita aturkan untuk nikah di Pusat Islam Cristchurch lusa.”
                                                                    ( Halaman 133 )
Kenduri perkahwinan Zain – Anne Johnsons melakarkan sejarah paling manis buat keluarga Datuk Azrul.
                                                                   ( Halaman 235 )
           Persoalan keempat ialah pengamalan agama yang sederhana dan penuh unsur lemah lembut. Melina amat terpesona dan kagum dengan cara pengamalan Islam yang ditunjukkan oleh Ustaz Hassan Syukri ( Imam Masjid Marang ) dan Haji Awang penuh berhemah dan berlembah lembut. Haji Awang tidak agresif apabila bercakap tentang agama Islam.Pendapatnya tidak terburu-buru berbanding Mohd Attar rakan Benny yang sangat agresif, iaitu menggunakan unsur keganasan yang menakutkan.
Orang seperti Ustaz Hassan Syukri dan Haji Awang befikiran sederhana, radikal dan bertindak secara lembut. Mereka tetap berdakwah, mengembangkan syiar Islam secara tertib dan santun. Tidak mendesak seperti Mohamed Attar.
                                                                         ( Halaman 246 )
           Persoalan kelima ialah ketaksuban agama yang keterlaluan atau masalah kumpulan militan Islam. Ketaksuban agama ini dapat dilihat melalui watak Mohd Attar, iaitu sahabat Benny yang memperjuangkan Islam secara agresif. Dia telah ditangkap ketika membawa bom di Singapura.
“Jadi perjuangan perlu digerakkan, demi Iraq dan Palestin. Biar musuh-musuh Islam akan merasai bahananya,” sambung Mohamed Attar lagi. Lebih tegas dengan tekad yang pasti.
                                                                       ( Halaman 199 )
Mohamed Attar ditangkap sebaik sahaja keluar dari stesen MRT. Polis republik menemui sejumlah besar bom yang dikawal dengan alat kawalan jauh dalam beg galasnya. Polis republik percaya Mohamed Attar mempunyai misi meletupkan kasino yang baru dilancarkan minggu lalu di Pulau Sentosa.
                                                                     ( Halaman 210 )
             Persoalan terakhir ialah semangat kental untuk memajukan sektor pertanian. Azrul meneruskan usaha bapanya menjadi usahawan tani dan berjaya membina empayar perniagaannya sehingga mendapat penghargaan ( bergelar Datuk ) kerana usaha gigihnya memajukan industri tani di Sungai Besar. Usahanya diteruskan pula oleh anaknya, Zain yang meneruskan pengajian di bidang pertanian di New Zealand untuk meneruskan legasi pertanian tani ayahnya.
Azrul bercita-cita ingin membuka perniagaan berasaskan pertanian, melihat peluang yang besar dalam industri pertanian yang masih belum lagi diteroka oleh anak bangsa.
                                                                           ( Halaman 52 )
           Selain itu, suami Faridah, iaitu Soleh Johnson mengusahakan industri ternak kambing secara Islam di New Zealand dan usaha ini diteruskan oleh Zain yang berkahwin dengan anaknya, Anne.
Anne dan Zain di New Zealand, mengambil alih perusahaan dan penternakan keluarga Johnson. Mujurlah Zain siswazah pertanian, mampu menguasai selok-belok perniagaan dan pertanian yang rumit untuk diwariskan itu.
                                                                           ( Halaman 249 )

BIBLIOGRAFI
Mohd. Ismail Sarbini, ( 1993 ), Analisis Intensif Kesusasteraan Melayu Mereka yang   
     Tertewas, Petaling Jaya : Eastview Publication Sdn. Bhd.
Saari Abdullah, ( 2005 ), Ulasan Kajian Komsas Julia, Selangor : Eastview Publication Sdn.
    Bhd.
INTERNET





Apabila Orang Asing Berbahasa Melayu

Rasa bangga dan hormat penulis kepada warganegara asing dari seluruh dunia ingin belajar dan bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka bukan sahaja tertarik kepada bahasa Melayu semata-mata, malah tertarik kepada adat, budaya, makanan, pakaian, dan muzik tradisional masyarakat Melayu. Bagi mereka, melalui penguasaan bahasa Melayu yang betul dan fasih, baharulah mereka dapat menguasai kesemua elemen-elemen tersebut dalam diri mereka. Selain itu, keindahan dan signifikan bahasa Melayu meyebabkan semakin banyak universiti luar negara membuka pusat pengajian bahasa dan budaya Melayu. Penulis berasa bangga sekali lagi apabila mendengar ayat tersebut kerana tidak menyangka bahawa bahasa ibunda sendiri menjadi tarikan daripada bangsa lain untuk mempelajarinya. Penulis akui, bahawa bahasa Melayu yang kita tuturkan pada hari ini pernah menjadi 'lingua franca' sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada watu itu, kesemua urusan dijalankan dalam satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu. Kesemua pedagang atau pemerintah asing diwajibkan mempelajari dan menguasai bahasa Melayu. Namun begitu, selepas British menguasai Tanah Melayu, bahasa Melayu digantikan dengan bahasa Inggeris sesuai dengan penjajah. Perkara ini berlakulah sampai sekarang, iaitu zaman millenia atau dunia tanpa sempadan.

      Di sini, penulis bukan hendak menceritakan soal mengapa kedudukan bahasa Melayu itu tersisih atau menjadi peminta sedekah di bumi sendiri, tetapi apa yang saya hendak ceritakan ialah mengapa warganegara-warganegara asing yang tidak lahir sebagai darah Melayu, bangsa Melayu, adat dan budaya Melayu, dan penutur natif bahasa Melayu sanggup berkorban masa mereka semata-mata untuk mempelajari bahasa Melayu? dan Apakah tarikan yang mempengaruhi mereka untuk mempelajari bahasa Melayu?. Beberapa penutur asing bahasa Melayu sempat berkongsi pendapat sebab mereka mempelajari bahasa Melayu sempenan pertandingan pidato antarabangsa bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011. Mereka ini terdiri daripada beberapa buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis, dan Britain. Berikut beberapa pendapat yang dikemukakan oleh peserta pidato antarabangsa tentang bahasa Melayu :

1. Daria Kamyshnikova
Beliau berusia 19 tahun dan berasal dari Rusia. Beliau mempelajari bahasa Melayu kerana dia sangat tertarik dengan keindahan bahasa Melayu sehingga menyuntik semangat untuk mempelajari bahasa tersebut. Pada mulanya, dia gemar membaca pelbagai buku dan laman web Asia. Lama-kelamaan saya tertarik dengan bahasa dan budaya Melayu. Selain itu, gaya pertuturan BM yang indah dan mempunyai makna tersendiri telah membuka hatinya untuk mempelajari bahasa tersebut. Tambahnya lagi, dia mempelajari BM untuk mendekati budaya Melayu di Asia Tenggara, terutamanya Malaysia. Baginya, untuk mempelajari sesuatu bahasa atau budaya asing, seseorang itu perlu mempelajari bahasa tersebut daripada penuturnya. Malah, katanya di Rusia, terdapat banyak rujukan seperti buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) bagi memudahkan lagi proses pembelajaran bahasa.

2. Kimberly Twarong
Bagi gadis yang berusia 26 tahun ini pula, dia sangat tertarik dengan kelompok pelbagai etnik yang terdapat di negara-negara Nusantara. Negar-negara tersebut mempunyai kekayaan daripada segi budaya, muzik, teater, hikayat, dan sebagainya yang menjadi tarikannya untuk memahami dan diteroka. Ciri-ciri tersebut yang menyebabkan dia ingin mempelajari dan mendekati bahasa Melayu, katanya yang turut menggemari makanan orang Melayu seperti nasi goreng dan karipap. Tambah beliau lagi, dia ingin menjadi profesor atau penyelidik mengenai negara-negara Nusantara memberitahu dia tidak berdepan dengan masalah sepanjang empat tahun mempelajari BM. Dia juga meminati tarian tradisional yang terdapat di negara-negara Nusantara. Tarian tradisional yang dia minati ialah tarian zapin dan gamelan Jawa.

3. Florian Sarboni
Beliau yang berumur 21 tahun berasal dari Perancis dan menuntut di Universiti De La Rochelle. Dia yang sudah dua tahun mempelajari bahasa Indonesia menyifatkan bahasa Melayu sangat indah dari segi tatabahasa dan struktur penyusunan ayatnya. Tambahnya lagi, walaupun terdapat perbezaan antara bahasa Indonesia dan bahasa Melayu, dia masih boleh memahaminya kerana kedua-dua bahasa adalah serumpun. Selain itu, dia turut membuat ulang kaji untuk memperbaiki bahasa yang dipelajarinya. Dia juga berharap dengan mempelajari bahasa Indonesia dan bahasa Melayu, peluang dia mendaptkan pekerjaan di Asia Tenggara lebih mudah.

4. Guo Zi Tong
Pemidato dari tanah besar China yang berumur 20 tahun mengatakan melalui pembacaan artikel berkaitan dengan keindahan Pulau Langkawi dan Pulau Redang telah membuatkan dia berusaha mendalamai bahasa Melayu. Menurut pelajar Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing ini, dia gemar bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. Selain itu, dia turut mempunyai rakan Melayu yang belajar di negara China dan mereka membantunya memperbaiki dan memantapkan penguasaan bahasa Melayunya. Dia juga meminati lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan sangat menggemari lagu Siti Nurhaliza, iaitu Bukan Cinta Biasa.

5. Jennifer Mary
"Apa khabar", merupakan perkataan bahasa Melayu yang dipelajari oleh Mary, 26 tahun dari Britain. Dia mengatakan, dia banyak melihat persembahan gamelan Indonesia di universitinya dan membuatkannya mempelajari bahasa Melayu. Selain itu, dia turut meminati sajak, pantun dan puisi kerana lenggok bahasanya berirama dan menusuk jiwa apabila dapat memahami maknanya. Pelajar Universiti London ini turut memberitahu dia turut mempunyai rakan-rakan dari Malaysia dan Indonesia melalui laman sosial untuk memantapkan bahasa Melayu. Tambahnya lagi, bahasa Melayu merupakan bahasa yang cukup indah dipelajari.

       Itulah beberapa sebab yang diberikan oleh warganegara asing mengapa mereka bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Melayu. Ada yang mengatakan ingin mengetahui adat dan budaya Melayu, makanan Melayu, muzik dan tarian Melayu, dan peluang pekerjaan di negara ini. Apa-apa pun, penulis berasa bangga walaupun bahasa Melayu disisihkan oleh bangsanya sendiri, tetapi dipelajari dan dihormati oleh bangsa-bangsa dari negara lain. Itu pun sudah cukup dan melegakan hati penulis serta bahasa ibunda kita tidak terhapus seperti yang terjadi kepada bahasa Sanskrit dan bahasa Latin. Bak kata pepatah Melayu "yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa".

Selasa, 15 Februari 2011

RINTIHAN ALAM

CHEROK DESA
Kulihat sungai di desa,
Di atas sebatang titi usang,
Mengalir tak seindah dulu,
Mengalir tak sederas dulu,
Tak dalam seperti dulu,
Pasir-pasirnya menjadi debu,
Batu-batunya menjadi sembilu.


Warga sungai terus dijajah,
Oleh makhluk yang gagah,
Ikannya tidak diberikan generasi,
Udangnya tidak diberikan berkepit,
Katak tidak diberikan berkuak,
Raja udang dicabut sayapnya,
Duduk ia bertenggek di atas batu.


Hiasan sungai terus diceroboh,
Floranya menderita dan merintih,
Apabila diri diseksa dan digilis,
Faunanya mati tidak berteduh,
Menjadi seperti peminta sedekah,
Menangis dan meronta tak sudah-sudah.


Wahai warga sungai, Bangunlah!
Bangkit untuk menjaga maruah,
Ayuh! kita tamatkan pejajahan ini,
Hapuskan penderitaan kita selama ini,
Genggam kembali kuasa dan kerajaan kita,
Daripada makhluk yang rakus itu.




Gambar Hiasan.

RANJAU-RANJAU DESA

DINGIN DESA
Rindu sesegar angin di desa,
Rasa dingin apabila ia bertiup,
Ingin kumerasa detik-detik indah itu,
Walau sesaat sekali pun,
Tika kuberada di perantauan,
Tiupan angin itu membuat aku jadi rindu,
Keindahan desa yang indah nan menghijau,
Keindahan desa yang indah nan permai,
Kuingin pulang merasai tiupan angin itu,
Untuk mengubat luka di hatiku,
Yang tidak letih mengingati tiupan angin di desa itu.


TOK BALAI
Terkenang daku seorang tokoh,
Orangnya alim sungguh,
Tinggal di kampung nan indah,
Balai menjadi tempat ia bermadah,
Orang ramai datang bersembah,
Menimba ilmu yang ia persembah,
Sudah lama ia berserah diri kepada Allah,
Ilmu dan namanya masih disebut ummah,
Terpahat dalam lipatan sejarah,
Itulah empunya nama Tok Balai kupersembah,
Buat generasiku seisi sedarah,
Agar kita tidak lupa salasilah.

NIKMAT
Kuak hulu nan menghijau saban hari,
Kaya dengan alam semulajadi,
Warganya hidup dengan budi pekerti,
ramah mesra dan hormat-menghormati,
Kaya dengan alim ulamak yang berpeti-peti,
Ilmu yang datang tak henti-henti sampai mati,
Besyukurlah dengan apa yang dinikmati,
Apa yang buruk sama-sama kita jauhi.

Isnin, 14 Februari 2011

MARI BELAJAR DIALEK KUAK HULU

Pembendaharaan Kata dalam Dialek Kuak Hulu ( DKH ) dan makna dalam bahasa Baku :

     DKH                            BAHASA BAKU
1. Lomo        -                 Sapu ; menyapu sesuatu pada badan ~ minyak 


2. Temuh     -                Bocor.


3. Ketoh       -                Tanggal ~  cth : pakaian atau seluar


4. Kapok       -               Peluk ~ sama ada pada manusia, binatang, atau pokok.


5. Tekoh       -              i) Sentuh.


                                     ii) Kadang-kadang


6. Barong       -             Khemah besar yang biasa didirikan semasa hari perkahwinan.


7. Peghati        -           Perhati.


8. Hitae            -          Lihat, tengok.


9. Rhopeng      -          Tumpul ~ cth : parang, pisau, golok dan sebagainya.


10. Celuh         -          Muat ~ barang.


11. Pocek         -         Puncak ~ puncak bukit, gunung, pokok dan sebagainya.


12. Tok            -         Buang, campak, baling.

Mari kita hayati dan mencuba sekarang.Tunggu perkataan-perkataan lain DKH dalam edisi yang akan datang.Selamat Mencuba!!