Isnin, 28 November 2011

1Malaysia : Slogan jangan tinggal Slogan

Selepas YAB Datuk Seri Najib Tun Razak diangkat menjadi Perdana Menteri yang ke-6 Malaysia menggantikan pengasas Islam Hadari, iaitu Tun Abdullah Badawi, beliau terus memperkenalkan konsep 1Malaysia sebagai slogan baru negara dalam memacu dan membangunkan nusa yang terdiri daripada multietnik. Dengan itu, berbagailah sektor kerajaan mahupun sektor swasta telah dikerah untuk mempromosikan gagasan baru pemimpin Malaysia ini, iaitu 1Malaysia. Banyaklah sektor ini menggunakan nama 1Malaysia antaranya Klinik 1Malaysia, Restoran 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Facebook 1Malaysia dan sebagainya. Banyak medium telah digunakan dalam menyampaikan semboyang baru ini, antaranya media elektronik ( Radio, TV, Internet, ), media massa ( Akhbar, majalah, buku, risalah ), pertandingan menulis lagu 1Malaysia, dan sebagainya. Tujuannya adalah satu, iaitu PM mahukan semua lapisan rakyat ( Pihak atasan hingga bawahan ) mengetahui dan memahami konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya dan mencapai objektif "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
      Penulis juga tidak ketinggalan mendapat tempias daripada slogan 1Malaysia ini, walaupun penulis tinggal jauh di ceruk pedalaman yang tidak pernah dilawat dan dikunjungi oleh Perdana Menteri sebelum ini. Penulis percaya dan yakin, mereka tidak pernah mendengar dan mengetahui tentang geografi tempat penulis. Sebagai rakyat Malaysia, gagasan atau slogan yang dibawa oleh pemerintah mesti diikuti oleh masyarakat jika ia tidak bertentangan dengan agama dan membawa kebaikan kepada manusia serta dilaksanakan dengan telus. Bagi penulis, penulis bersetuju dengan slogan yang dibawa di dalam konsep 1Malaysia, iaitu "Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Di bawah konsep ini, kerajaan mementingkan kebajikan rakyat dalam segala hal, tetapi dalam masa yang sama ia turut mementingkan pembangunan negara. Namun begitu, konsep itu sudah wujud dan selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat, kini menjadi persoalannya, bagaimanankah perlaksanaannya? Adakah perlaksanaanya sama dengan slogan yang dibawa di dalamnya. Kita tidak mahu slogan yang diperkenalkan oleh pemimpin untuk menarik minat rakyat untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka dan slogan yang diperkenalkan itu hanya semata-mata senjata untuk mengaburkan mata rakyat.
       Penulis tidak mahu slogan diperkenalkan oleh pemerintah hanya tinggal slogan tanpa memberikan keuntungan kepada rakyat, malah memboroikan perut pemerintah dan kroni-kroninya sahaja. Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya dan menjadi mangsa kepada pemerintah yang zalim terhadap kuasa yang dipegang. Dulu masa Tun Mahathir, Kita disogok dengan Dasar Pandang Ke Timur, menjenguk kemajuan teknologi Jepun, dan pada zaman Tun Abdullah Badawi, kita diwawarkan dengan Konsep Islam Hadari yang masih mengelirukan rakyat. Dan selepas kedua-dua PM ini jatuh, konsep-konsep itu tidak lagi disambung dan diwarisi oleh pengganti mereka selepas itu. Malah, konsep baharu pula diperkenalkan samalah dengan konsep 1Malaysia ini. Adakah konsep 1Malaysia ini akan kekal jika PM baru memerintah negara?. Sama-samalah kita lihat nanti. Penulis percaya apabila kita belajar daripada pengalaman, nescaya kita boleh menilai perkara-perkara berlaku di sekeliling kita, samalah dengan slogan-slogan yang baharu ini, jadi Tepuk dada, tapi bukan tanya selera... ( masing-masing mempunyai jawapan sendiri ).
      Sebelum penulis mengundurkan diri, penulis ingin menyampaikan sebuah sajak 1Malaysia yang penulis sendiri karang sebagai tanda sokongan terhadap slogan baharu, 1Malaysia. Penulis mengarang sajak ini berdasarkan isi-isi yang digariskan dalam mencapai hasrat dan cita-cita pemimpin bukan direka-reka sendiri oleh penulis. Segala komen atau pendapat yang diutarakan di dalam penulisan ini, datang daripada pendapat dan analisis sendiri penulis dan tiada kaitan dengan parti-parti politik, dan desakan pihak-pihak tertentu dan penulisan ini hanya sekadar curahan ketidakpuasan penulis semata-mata.

 


KAMI  WARGA 1MALAYSIA
SATU MALAYSIA!
Semboyan baharu pemimpin kita,
Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,
Mendukung satu cita-cita bersama,
Melestarikan perpaduan warga nusa,
Memelihara satu cara hidup yang demokratik.
SATU MALAYSIA!
Merintis satu warga yang adil,
Segala kenikmatan nusa  dirasai dinikmati bersama-sama,
Menghayati kepelbagaian kebudayaan bangsa Malaysia,
Yang kaya, dan bermacam-macam ragam dan corak.
SATU MALAYSIA!
Kami warga Malaysia bersumpah,
Akan menumpukan seluruh kudrat dan ikhtiar kami,
Untuk menggapai hasrat dan cita-cita murni,
Kepada Rukun Negara kami patuhi dan hayati,
Kepercayaan kepada Tuhan,
Kesetiaan kepada Raja dan Negara,
Keluhuran Perlembagaan,
Kedaulatan undang-undang, dan..
Kesopanan dan kesusilaan.
SATU MALAYSIA!
Hadirmu untuk meningkatkan perpaduan bangsa,
Yang selama ini menjadi tunjang kekuatan warga dan nusa,
Ianya menjadi bekalan berharga untuk menghadapi segala macam cabaran.
SATU MALAYSIA!
Pemimpin yang bijak dan bertanggungjawab amat ditagih,
Miliki kebolehan yang tinggi, mentaati masa, sedia berbakti kepada warga,
Berdedikasi dengan hati yang tulus,
Dan... disokong dan dihormati semua lapisan warganegara.
SATU MALAYSIA!
Hadirmu untuk melahirkan warganegara yang berintegriti,
Miliki sifat  yang jujur, berbakat, Al-amin, ikhlas, dan amanah,
Mahukan semua warga yang patuh dan taat kepada nusa,
Tanpa pedulikan kaum, agama, budaya, dan fahaman siasah,
Kita semua adalah bangsa Malaysia,
Kita semua adalah Anak-anak Malaysia,
Segala kenikmatan nusa perlu dirasai dan dinikmati bersama,
Yang daif dibantu, semoga sama-sama menikmati pembangunan nusa.
SATU MALAYSIA!
Perintis kepada kelahiran negara bangsa,
Melahirkan warganegara yang sama rata dan kekitaan,
Berkongsi nilai-nilai integriti, kebolehan, dedikasi, dan kesetiaan.
SATU MALAYSIA!
Nilai-nilaimu perlu dihayati difahami pemimpin dan marhaen,
Mudah-mudahan tercapai hasrat dan cita-cita nusa,
Tahu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati,
Penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan, dan integriti. 
SATU MALAYSIA!
Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,
Perpaduan kaum kita kukuhkan bersama,
Kita semaikan benih-benih patriotisma bersama,
Kebudayaan pelbagai kita suburkan bersama, dan...
Kita berganding bahu dan keringat membangunkan nusa bersama.
( Mohd Kodri Bin Ab. Malik, 20 Oktober 2011 )


I.S.A. Neraka Dunia

Apa itu Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA )?
ISA merupakan suatu akta yang mempunyai kuasa penangkapan dan penahanan yang dikenakan kepada seseorang warga yang melakukan kesalahan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.
         Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
           Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah hanya boleh melihat semula perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
       Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad. 
         ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai "keganasan putih" (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka. Akta ini merupakan satu alatan yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.
          Pada tahun 1989, pindaan terhadap akta tersebut telah menggariskan bahawa keputusan serta kuasa Menteri di bawah akta tersebut adalah bebas dari kajian semula kehakiman. Sebelum akta ISA diperkenalkan di Malaysia, Ordinan Darurat 1948-1960 telah diisytiharkan oleh pihak British bagi menangani keganasan komunis.
Bilakah sejarah ISA bermula di Malaysia ?
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menahan sesiapa pun tanpa merujuk kepada mahkamah. Sebaliknya tahanan mempunyai hak representasi di hadapan Lembaga Penasihat yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
     Kerajaan Malaya telah menggubal ISA bagi menyambung Ordianan Darurat 1948 hanya untuk menentang ancaman komunis. Setelah diperkenalkan pada tahun 1960 ( berkuatkuasa pada 1 Ogos 1960 ), Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, telah memberi jaminan di Parlimen bahawa akta tersebut akan digunakan secara bertanggungjawab dan hanya kepada komunis, pengganas, dan anasir subversif. Pemberontakan komunis berakhir secara rasmi pada tahun 1989 apabila Perjanjian Keamanan Haadyai ditandatangani.
        Akta tersebut merupakan senjata yang dikekalkan oleh pihak pemerintah meskipun selepas namanya ditukarkan kepada dua lagi undang-undang lain selepas, ianya akan dimansuhkan pada sidang Parlimen Oktober 2011 ketika ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 15 September 2011 yang lepas. Jelas PM lagi, dua akta baru yang akan menggantikan ISA lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih efektif dalam mengatasi masalah keganasan.
Seksyen kehakiman manakah yang digunakan untuk menahan individu di bawah ISA?
Seksyen-seksyen berkaitan Akta ini adalah seperti berikut:
Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: "Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya."
    Seksyen 8. Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang "(1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun"
Di manakah tempat tahanan ISA dan berapa tempoh penahanan yang dikenakan kepada mereka?
Seseorang individu yang dikenakan ISA, biasanya akan dipenjarakan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kamunting.

        Pada 60 hari pertama, seseorang yang ditahan di bawah ISA tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.

      Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka. 
      Pembebasan. Kendatipun kerajaan boleh membebaskan tahanan tanpa bersyarat, dalam sesetengah kes, ia telah menuntut mereka yang dibebaskan untuk menbuat pengakuan umum di televisyen dan radio.
Berapa jumlah tahanan yang ditahan di bawah ISA sejak akta ini diperkenalkan pada 1 Ogos 1960?
Sejak diperkenalkan pada Ogos 1960, seramai 10,662 orang telah ditahan di bawah pelbagai undang-undang pencegahan. Seramai 4,139 orang telah ditahan di bawah ISA. Seramai 2,066 orang telah dikenakan sekatan terhadap kawasan bermastautin serta aktiviti harian mereka dan seramai 12 orang telah dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan di bawah ISA antara tahun 1984-1993.
        Pada 17 November 2007, seramai 74 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak di bawah akta ISA. Berikut adalah bilangan tahanan ISA dari tahun 2004-2009 :
Punca/Kesalahan
Bilangan
Catatan
Jemaah Islamiah
18 orang
Mereka dikaitkan dengan Al-Qaeda.
Daulah Islamiyah/ Daulah Islam Sabah
17 orang
Beroperasi di Tawau, Sabah keturunan Filifina.
Pemalsuan
17 orang
Wang syiling dihapuskan
Pemalsuan pasport rakyat China
29 orang

Penyeludupan PATI


Gerakan Militan Selatan Filifina, Pejuang Pemisah Selatan Thailand.
7 orang

Agen perisik asing
7 orang

Ahad, 2 Oktober 2011

Sekitar Catatan Tentang Dialek

Kamus Dialek Kuak Hulu
1.0 Setelah penulis membuat kajian mengenai dialek Kuak Hulu (DKH), penulis telah membukukan DKH sebanyak 420 aksara (perkataan). Penuls telah mencerakinkan kesemua aksara-aksara tersebut mengikut abjad, iaitu bermula dengan abjad A hingga abjad Z. Berikut merupakan susunan abjad dan jumlah aksara dalam DKH :

A=6 aksara
B=54 aksara
C=28 aksara
D=10 aksara
E=44 aksara
F=
G=44 aksara
H=22 aksara
I=
J=18 aksara
K=51 aksara
L=34 aksara
M=29 aksara
N=3 aksara
O=1 aksara
P=31 aksara
Q=
R=3 aksara
S=38 aksara
T=43 aksara
U=3 aksara
V=
W=1 aksara
X=
Y=1 aksara
Z=

1.1 Statistik  jumlah bilangan perkataan mengikut abjad dalam Dialek Kuak Hulu adalah seperti berikut :
I) Abjad yang banyak menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad B (54), abjad K (51), abjad E dan G (44), dan abjad T (43).
II) Abjad yang sederhana banyak menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad S (38), abjad L (34), abjad P (31), abjad C (28), abjad H (22), dan abjad M (29).
III) Abjad yang sedikit menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad D (10), abjad J (18), abjad N (3), abjad O (1), abjad R (3), abjad U (3), abjad W (1), dan abjad Y (1).
IV) Abjad yang tidak menghasilkan aksara dalam DKH ialah abjad F, I, Q, V, X dan Z.
P/s : Kamus ini masih dalam proses penyuntingan oleh penulis. Penulis beranggapan masih ada lagi beberapa aksara dalam DKH yang masih belum dijumpai, terutama akasara-akasara lama yang tidak lagi digunakan oleh generasi baru Kuak Hulu. Penulis akan melakukan kajian yang berterusan.

Note : Penulis telah memperolehi semua maklumat tentang aksara-aksara DKH melalui beberapa warga kampung menerusi kumpulan laman sosial Facebook, Mari Belajar Dialek Kuak Hulu. Terima kasih kepada mereka yang membantu penulis dalam menulis dan membukukan kamus DKH ini.Tujuan penulis adalah untuk memelihara keaslian dan fungsi DKH daripada terhapus dan menjadi rujukan dan panduan kepada sesiapa yang hendak mempelajarinya.

Sabtu, 1 Oktober 2011

Penulis belajar tiruan bunyi.

Nama : Mohd Kodri Bin AB. Malik
No. Matrik : D20091034249
Kod dan Nama Khusus : BMK3043 Seni Mengarang
Kumpulan : B
Tajuk : Tiruan Bunyi

Bunyi  Manusia
1.  Alaaah
- Bunyi yang merujuk kepada perasaaan seronok dan gembira seseorang.
“Alaaah, Sudin oi. Ada engkau balik. Dah besar kau nak. Karim di mana, nak?
( Novel ‘Anak Titiwangsa’, Keris Mas ). 
2. Berderuan
- Bunyi yang merujuk kepada siulan yang dihasilkan oleh seseorang.
Sekali-sekala pula berderuan siul anak-anak muda yang lalu kencang dengan basikal, pulang dari menonton wayang atau bermain terup…
( Novel ‘Korban Kesucian’, Keris Mas ). 
3. Eeee
- Bunyi yang merujuk perasaan geli seseorang terhadap sesuatu benda atau binatang.
Eeee...suara kecilnya menggerutu. Api masih malas-malas seolah-olah mengacah-acah.
( Cerpen ‘Batu lapan’, Sukinah Supar ). 
4. Emm
- Bunyi yang merujuk kepada sesuatu yang tidak pasti.
“Emm, aku akan berangkat esok.”
( Cerpen ‘Penantian’, Norulashikin Jamain ).

5. Er
- Bunyi yang merujuk kepada seseorang yang sukar membuat keputusan atau berasa gementar.
“Tapi..., tentu ada sebabnya!...er...”
( Cerpen ‘Tuhan, bagaimana kan kupinta padamu’, Johar Buang ). 
6. Heh
- Bunyi yang merujuk kepada perasaan marah.
“Heh! Abang ingat dengan melonggokkan wang setiap bulan, anak-anak abang boleh sempurna, begitu?
( Cerpen ‘Terminal terakhir’, Nazirah Matunus ). 
7. Hi...hi...hi
- Bunyi yang merujuk kepada seseorang yang ketawa.
“Hi...hi...hi...!” Wak Saman tergelak-gelak besar. “Betul tak takut?”
( Cerpen ‘Hadiah seorang ayah’, Mohd Isa Hassan ). 
8. Hmm
- Bunyi untuk menyatakan rasa tidak puas hati.
...hmm, Man, sayang apa erti itu jubah, atau songkok, atau sejadah, apa ertinya itu semua kalau hanya kelihatan cantik pada zahir saja,...
( Cerpen ‘Ironi Terakhir’, Abdul Rahman Basrun ). 
9. Mmm
- Bunyi yang merujuk kepada sesuatu yang tidak pasti.
“Mmm, tiga tahun.
( Cerpen ‘Penantian’, Norulashikin Jamain ). 
10. O
- Bunyi untuk menyatakan seseorang faham sesuatu perkara.
O ya, tangan kanannya tergantung dalam baldi, tangan yang dah berwarna biru, ada semacam luka di pergelangan tangan itu, kuagak dilakukan dengan menggunakan pisau cukur...
( Cepen ‘Ironi Terakhir’, Abdul Rahman Basrun ).
11. Oh
- Bunyi untuk menunjukkan seseorang itu kagum dengan seseorang lain.
“Anakku...oh anakku...Mak tetap sayang padamu,” kata Mak Haji Munah tersedu-sedu.
( Cerpen ‘Hadiah seorang ayah’, Mohd Isa Hassan ). 
12. Ohh
- Bunyi untuk menyatakan perasaan sedih.
Ohh...tak ada peluang baginya.Mana isterinya? Mana anak-anaknya?
( Cerpen ‘Harapan terakhir’, Rosmala ). 
13. Termengah-mengah
- Bunyi nafas yang dikeluarkan oleh seseorang apabila dalam keadaan letih.
Nafasnya termengah-mengah seperti pelari yang baru menghabiskan lariannya sejauh sebatu.
( Cerpen ‘Hadiah seorang ayah’, Mohd Isa Hassan ).

Bunyi Binatang
1.  Aaaak
- Bunyi yang dikeluarkan oleh burung gagak.
“Aaaa! aaak!aaak!” “Wak Sahya! Kampeitai perintah wak buat kerja tu.”
( Cerpen ‘Gagak’, Isa Kamari ). 
2. Berkelip
- Bunyi yang merujuk kepada pergerakan mata.
Matanya berkelip memandang Jaguh. Jaguh terfana dalam kebodohan sendiri.
( Cerpen ‘Terbang helang terbang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
3. Dengus
- Bunyi yang dikeluarkan oleh seekor babi.
Tiba-tiba pecahlah kesunyian itu oleh semacam dengus yang menggerunkan. Tidak syak lagi tentu dengus babi.
( Novel ‘Rimba Harapan’, Keris Mas ). 
4. Hei
- Bunyi yang digunakan untuk menunjukkan perasaan marah atau menarik perhatian.
“Hei Putih!...Putih! Kau dah nak mati, ye?” jerit Jaguh yang sedang mendekati Putih.
( Cerpen ‘Terbang helang terbang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
5. Hai
- Bunyi yang dikeluarkan untuk memulakan perbicaraan.
“Hai...Raja Rimba akhirnya masuk ke Taman Binatang juga,” kata Rusa melihat Sang Singa Tua menjadi penghuni baru di kawasan itu.
( Cepen ‘Mahkotanya yang hilang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
6. Kicauan
- Bunyi yang dikeluarkan oleh burung-burung.
Kicauan burung-burung yang menjadi penghuni tetap pohon-pohon besar berdaun lebat di merata kawasan itu memecah kesunyian pagi.
( Cepen ‘Mahkotanya yang hilang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
7. Mengaum
- Bunyi yang dikeluarkan oleh singa.
…Sang Singa Turut merasakan kehangatan suria pagi.Ia hanya mendengus saja, tidak lagi mengaum seperti pagi-pagi yang telah lama berlalu.
( Cepen ‘Mahkotanya yang hilang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ).
  
Bunyi Benda/ Objek
1. Degupan
- Bunyi degupan jantung manusia.
Degupan jantung yang tadi memukul kencang kian mereda dalam dada masing-masing.
( Cerpen ‘Terbang helang terbang’, Wan Jumaiah Mohd. Jubri ). 
2. Kerlipan
- Bunyi untuk menyatakan cahaya yang dikeluarkan oleh bintang.
Sayup menghiasi malam, menjadikan malam itu indah dengan kebesaran Tuhan, meskipun tanpa kerlipan bintang-bintang di awan.
( Cerpen ‘Batu lapan’, Sukinah Supar ). 
3. Kreok-kreok
- Bunyi yang merujuk pusingan roda beca.
Kreok-kreok, roda beca Wak Mat menyakitkan gegendang telinga perempuan gemuk yang
( Cerpen, ‘Kreok-kreok’, Othman Ismail ). 
4. Mengetuk-ngetuk
- Bunyi yang dikeluarkan apabila kita memukul sesuatu.
Dia mengetuk-ngetuk belakang alat itu dengan telapak tangannya.Barulah berus itu berputar. Sufian tersenyum.
( Cerpen ‘Keputusan’, Zulaiha Yusuf  ). 
5. Rintik-rintik
- Merujuk bunyi air hujan yang menitis.
Dan malam itu ada hujan rintik-rintik.
( Novel ‘Sutan Baginda’, Shahnon Ahmad ).
6. Ring…ring…ring
- Merujuk bunyi telefon yang berbunyi.
Ring…ring…ring…ring…Syarifah secepat kilat mencapai gagang telefon. “Ha…hello…abang ya?
( Novel ‘Yang Sebenarnya’, Keris Mas ). 
7. Syyy
- Merujuk bunyi untuk menyatakan zip seluar yang dibuka atau ditutup.
Syyy...zip! Pintu dibuka.Berpusu-pusu penumpang keluar menuju ke pintu-pintu berpalang.
( Cerpen ‘Keputusan’, Zulaiha Yusuf ). 
8. Tut-tut
- Merujuk bunyi yang dikeluarkan oleh alat pernafasan di hospital.
Tut-tut-tut-tut-tut alat pembantu pernafasan itu berbunyi patuh.
( Cerpen ‘Jamilah’, Amat Dholah ).
9. Titik-titik
- Merujuk bunyi titisan air hujan yang jatuh ke tanah.
Dan bila ruang itu dibasahi oleh titik-titik hujan yang semakin lebat, tahulah aku bahawa naked power yang didekati dengan cara tirani…
( Novel ‘Sutan Baginda’, Shahnon Ahmad ). 
10. Tit, tit, tit
- Merujuk bunyi telefon.
Tit, tit, tit...telefon di pinggang Sufian berbunyi. Alat yang seakan-akan radio kecil itu didekatkan ke mulutnya.
( Cerpen ‘Keputusan’, Zulaiha Yusuf  ).