Selasa, 29 Mac 2011

TRAGEDI 28 MAC 2011

Hari ini 28 Mac 2011 ( Isnin ) merupakan hari penuh bersejarah dalam hidupku semasa belajar hampir setahun setengah di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ). Kenapa aku kata sedih ? mari aku hendaj cerita satu persatu dan langkah-demi langkah bak kata dalam bahasa Inggeris. Pada tarikh keramat itu ( 28 Mac 2011 ) adalah merupakan hari keluarnya keputusan untuk menduduki kolej bagi semester pengajian tahun 2011/2012. Senarai pelajar akan dilekat pada papan kenyataan di hadapan lif blok paling bawah, iaitu di pejabat kolej. Alangkah teruja bercampur kerisauan pada diri setiap orang mengenangkan nasib mereka pada semester hadapan untuk tinggal terus di kolej. Penghuni-penghuni kolej berpusu-pusu datang ke papan kenyataan untuk mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak memperolehi slot terakhir bagi menduduki kolej pada semester hadapan. Di situ aku dapat melihat pelbagai reaksi dan karenah mereka setelah melihat notis kolej tersebut. Ada yang tersenyum riang, ada yang ketawa, ada yang melompat-lompat, dan ada yang sedih dan muram. Melihat reaksi daripada mereka, aku menyimpulkan bagi pelajar yang menunjukkan reaksi riang gembira itu telah diterima untuk menduduki kolej pada semester akan datang, manakala yang reaksi sedih itu, menunjukkan diri mereka digugurkan dalam senarai untuk menduduki kolej pada semester hadapan. Pada papan kenyataan tersebut, pihak kolej mengeluarkan dua borang berlainan warna. iatu satu borang berwarna kuning, satu borang berwarna merah dan satu borang berwarna putih. Borang kuning ialah senarai nama pelajar yang berjaya menduduki kolej, borang merah merupakan senarai pelajar yang gagal, dan borang putih merupakan senarai pelajar yang berhutang dengan pihak kolej.
      Pengambilan pelajar untuk menetap di kolej pada semester ini jauh lebih berbeza dengan pengambilan pada semester lepas. Hal ini demikian kerana, pada semester lepas kebanyakan pelajar-pelajar lelaki yang memohon untuk menduduki kolej semuanya diluluskan walaupun tidak aktif semasa program-program yang dianjurkan oleh kolej. Namun begitu, berlainan pula pada pengambilan kolej pada semester ini di mana ramai lelaki yang memohon kolej terpaksa dibuang termasuk yang aktif dalam kolej. Ini berikutan UPSI akan mengambil ramai pelajar baharu pada semester depan akibat pembukaan open market yang baru diperkenalkan pada awal semester ini. Pengambilan pelajar baharu yang diambil pada sesi September 2011/2012 dianggar 5,000 orang yang bukan terdiri daripada kursus pendidikan, tetapi pasaran terbuka atau open market. Kesimpulannya, pelajar yang gagal untuk menduduki kolej pada semester hadapan terpaksa akur dengan pihak kolej dan terpaksa mencari rumah sewa atau membuat rayuan. Ini bagi memberi laluan kepada pelajar-pelajar baharu untuk merasai nikmat hidup di kolej yang serba serbi lengkap dari segi fasilitinya, bak kata orang kampungku lengkap dari A sampai Z.
        Satu perkara yang masih bermain di benak fikiran penulis berkaitan dengan pemilihan pelajar untuk menduduki kolej. Siapa yang sebenarnya menjadi panel atau juri untuk memilih pelajar yang akan menduduki kolej sebenarnya? Aku mendengar khabar-khabar angin mengatakan panel yang memilih pelajar-pelajar tersebut ialah Yang dipertuan kolej dan REXCO kolej sendiri bukan pengetua. Persoalan ini timbul kerana sesetengah pelajar yang berjaya menduduki kolej dikenalpasti tidak aktif lansung dalam program-program kolej dan ada yang tidak menghantar borang permohonan serta buku sticker. Bagaimana mereka ini boleh lolos daripada perkara-perkara tersebut yang dianggap wajib semasa memohon kolej. Adakah di sini wujud 'kabel' atau dengan perkataan mudah menolong kroni? Tapi aku pun berfikir sedemikian pada awal semasa aku beremosi. Namun, setelah berfikir itu adalah rezeki setiap orang, kita tidak boleh melawan takdir Tuhan. Mungkin mereka yang tidak boleh tinggal di kolej mempunyai hikmah di sebaliknya. Redha sahaja lah.
            Akhir kalam, itu perkara yang hendak diceritakan penulis kepada anda sekalian. Itulah dikatakan hari bersejarah dalam hidupku. Penulis sendiri pun tidak diterima lagi sebagai warga Kolej Harun Aminurrashid ( KHA ) yang cantik dan besar ini. Penulis hanya mampu bertahan setahun ( semester 1 - semester 4 ) sahaja di kolej ini dan dalam tempoh setahun itu banyak pengalaman pahit manis dilalui penulis. Mendengar sahaja khabar daripada kawan bahawa aku tidak berjaya menduduki kolej pada semester hadapan, hatiku berasa bimbang dan gusar untuk mencari rumah untuk meneruskan pengajian pada semester akan datang. Namun, masalah tersebut berjaya diatasi kerana penulis berjaya memperolehi sebuah rumah sewa atas bantuan seorang kawan. Setelah berjaya mendapat persetujuan daripada rakan-rakan lain untuk tinggal bersama di luar telah menyelesaikan masalah yang dihadapi penulis. Selepas ini penulis akan menikmati kehidupan di luar kolej yang dianggap bebas berbanding di dalam kolej yang terlalu straight. Semoga kehidupan di luar lebih mematangkan diriku, dan mendewasakan diriku lebih baik berbanding di kolej. Akhir kata, SELAMAT TINGGAL KHA SEMOGA KITA BERJUMPA LAGI DI LAIN WAKTU. Penulis menyusun jari sepuluh memohon maaf dari hujung rambut hingga ke tapak kaki jika terdapat sebarang kesilapan dan kesalahan sepanjang setahun tinggal di kolej ini. Penulis berharap semua kakitangan dan penghuni kolej berada dalam keadaan aman dan sihat walalfiat serta dirahmati oleh Allah S.W.T.

Rajah 1.1 Kolej Harun Aminurrashid, UPSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan