Rabu, 5 Jun 2013

Gerimis

-Dengan Nama Allah Yan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang-

Hujan turun dengan lebatnya pada hari ini. Di Bumi Tanjong Malim 05 Jun 2013.Tidak tahu mengapa ia bercucuran turun. Sebelum ini (hari-hari lepas) hati kecilku mengeluh tahap 'kepanasan' bumi' seperti terkena tempias haba nyalaan api yang marak - Lalu Allah S.W.T. menurunkan hujan membasahi bumi, hari ini. Mungkin Allah mendengar keluhan daripada seorang hamba terhadap KhalikNya. Syukur, Alhamdulillah!

Terasa dalam diriku mahu meraikan kedukaan dan kelukaan di hati bersama titisan air hujan yang menitis ke bumi Allah S.W.T. Kalau bisa, kumahu merasakan setiap titisan air yang tercurah daripada mulut awan. Mahu rasa kesejukan dan kedinginan. DAN kalau bisa, boleh dijadikan penawar terbaik mengurangkan kepanasan di dalam hati yang semakin memuncak - darjah dan ketekalannya. 

Kata kebanyakan marhaen termasuk pesan ibuku. Masa kecil dahulu telingaku sering dibisikkan dengan kata-kata keramat - "jangan sesekali main hujan!". Nanti demam dan selsema. Esok tak boleh pergi sekolah".  Tapi, aku berkeras jua, tidak mahu mendengar cakap dan nasihat emak. Aku mahu juga bermain bersama hujan demi menghabiskan sisa-sisa zaman keanak-anakanku. 

Apabila menjejak dewasa, jiwaku tidak lagi 'dibayangi' wajah hujan. Maklumlah - sudah berakal dan matang. Sudah boleh membedakan perkara yang baik dan perkara yang mungkar. Bahu juga dibebani dengan pelbagai masalah dan tanggungjawab dan tidak ada lagi perkataan 'bermain' terlintas di dalam ruang minda/akal/akal budi. ( bisikan hatiku) Zaman kanak-kanak sudah berlalu, kini zaman remaja dan sedikit lagi masuk alam dewasa dan sedikit lagi ke jinjang pelamin dan mula membina keluarga....( hanya masa yang menentukan).

Ketika warkah ini ditulis, hujan yang tadinya lebat dan menusuk pada wajah bumi telah pun reda. Bumi yang kepanasan mula menjadi dingin buat seketika. Aku tidak tahu kapan lagi hujan mahu turun ke bumi Allah S.W.T ini. Malam ini, esok, lusa, tulat, minggu depan, bulan depan, atau tahun depan. Atau adakah ini merupakan hari terakhir aku merasai nikmat hujan? (Walllahua'lam). Kalau hujan itu datang IZINKAN! Aku  bermain dan bermanja dengannya, kemudian berjalan dan meronta-ronta di dalam percikan air dinginnya. Biar diriku rasa sepuas-puasnya. Kalau bisa sampai hujan itu terhenti. Biar diriku dibebani rasa demam dan selsema!!

Kenapa aku berbuat demikian? Kerana... orang di sekelilingku tidak mengetahui dan nampak aku menangis di dalam hujan. Meratapi perasaan duka dan lara yang sedang 'membenih' dan 'membiak' di dalam batinku.  Dari luaranku tampak senyum kegembiraan dan kesenangan, namun di dalam hati kalbuku tersimpan 1001 masalah yang menerobos. Dan bisa menusuk jiwa dan ragaku. Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat. Wassalam


Gambar Hiasan



Sabtu, 1 Jun 2013

Kembali Pada-NYA



-Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang-

Kembara ke hujung dunia,
Tiada kutemui jawapannya,
Apa yang dicari sekian lama,
Ternyata ada di hadapan mata,

Lalu kukembali kepada-Nya,
Lalu kepadaNya juga aku besembah,
Lalu kepadaNya juga aku bersujud.


Gambar Hiasan

Kisah Wali

-Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang-

Kisah 2 orang manusia yang dimasukkan ke dalam penjara mengikut kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Seorang lelaki separuh tua dan seorang lelaki muda

Kesalahan :

Lelaki Separuh Tua : Ditangkap oleh polis kerana mencuri seekor kucing daripada sebuah kedai haiwan peliharaan.

Lelaki Muda : Seorang pemuda yang ditangkap oleh polis atas tuduhan mencuri basikal.
Hendak dijadikan cerita, kedua-dua mereka bertemu, ditahan dan dipenjarakan di tempat yang sama dan tinggal dalam sel yang sama. Ketika dimasukkan ke dalam penjara, lelaki muda melihat lelaki separuh tua itu sedang sembahyang dan dia seperti kenal dengan lelaki tua tersebut. Usai menunaikan sembahyang, lelaki muda itu menegur lelaki separuh tua itu. Lalu terjadilah perbualan ringkas antara mereka berdua :

Lelaki Muda : Saya macam kenal pak cik. Tapi, bagaimana pak cik boleh berada di sini (dalam penjara)?
Lelaki Separuh tua : Aku kan ‘wali’. Di mana saja aku boleh duduk dan tinggal.
Lelaki Muda : Tapi kenapa pak cik memilih masuk penjara?
Lelaki Separuh Tua : Pak cik suka tinggal di sini. Di sini tenang untuk melakukan ibadah, tidak ada sebarang gangguan, tak macam di luar sana, ramai manusia sibuk mengejar dunia.
Lelaki Muda : Memang dekat luar sana tidak boleh sembahyang ke pak cik?
Lelaki Separuh tua : Aku dah 30 tahun tidak sembahyang.
Lelaki Muda : (terkejut)… kata ‘wali’, tapi tak pernah sembahyang 30 tahun.
Perbualan terhenti apabila seorang anggota polis memanggil “Wali Bin Samad” --- dan pak cik itu beredar dari situ (penjara)…

Ibrah Cerita:

1.      Kita perlulah mengenali diri seseorang dahulu sebelum diajak berbicara atau berbual.
2.      Kita perlu ingat (beribadat) dan taat kepada pencipta, Allah S.W.T walau di mana sahaja berada dan dalam apa jua keadaan (walaupun di dalam penjara).
3.      Kita jangan terlalu mengejar hal-hal keduniaan dan mengabaikan hala-hal akhirat. Perlu seimbang antara kedua-duanya.
4.      Pintu taubat Allah S.W.T. sentiasa terbuka kepada manusia yang melakukan dosa dan Allah S.W.T amat suka kepada manusia yang ingin bertaubat.





Khamis, 30 Mei 2013

Talkin

1. Utusan Melayu tulisan JAWI mencipta sejarah sebagai akhbar MELAYU pertama menggesa RAJA-RAJA MELAYU tidak menandatangani perjanjian MALAYAN UNION.

2. Namun begitu,

3. Utusan Melayu tulisan JAWI yang mengembleng NASIONALISME MELAYU menentang dan menggagalkan MALAYAN UNION akhirnya melabuhkan tirainya pada tahun 2003.

4. Komentar sedih daripada salah seorang daripada bekas wartawannya, Subky Latif  :

"Tanggal Rabu, 1 Januari 2003, harian Utusan Melayu, 63 tahun selamat ditalkinkan. Mendian
ini dijelmakan pula sebagai akhbar mingguan menggantikan Utusan Melayu. Bermula
sebagai harian dan berakhir mungkin buat sementara sebagai mingguan. 
Utusan Melayu Mingguan akhirnya juga gulung tikar".

5. Kini, suara ORANG MELAYU itu telah beralih kepada akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Ini seiring dengan meluasnya penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan melalui tulisan rumi yang diterima pakai baik oleh kaum Cina dan India.

6. Abadi dalam kenangan adalah khidmat dan juga Utusan Melayu yang terbit mulai 29 Mei 1939, di Singapura dengan modal RM12,290 sumbangan rakyat jelata Melayu - Pekebun kecil getah, penanam padi, pemandu teksi, peniaga kecil dan peon pejabat.


Utusan Melayu Tulisan Jawi



Sekatan Jalan Raya

Isnin beberapa hari lepas, hamba sempat berbual kosong dengan seorang anggota polis di jalan Proton City (nama Melayu Jalan Bandar Proton), Tanjong Malim. Pada masa itu ada sekatan jalan raya. Perbualan ringkas :

Anggota Polis : Awak asal mana?
Hamba : Pengkalan Hulu 
Anggota Polis : oooo, Pengkalan Hulu, tempat orang kuat agama dekat sana. Beberapa orang agama yang saya kenal.
Hamba : Mengangguk tanda mengiyakan jawapannya. 
Anggota Polis : Awak dekat Pengkalan Hulu tinggal dekat mana?
Hamba : Dekat Kg Kuak Hulu 
Anggota Polis : (pening) terdiam seketika!
Hamba : Lalu hamba kata dekat sempadan Betong, Thailand, 
Anggota Polis : ooooo, saya pernah masuk dalam.
Hamba : ???. Diam (sudah mengjangkakan jawapan tersebut)

Perbualan terhenti di situ apabila sebuah motorsikal dan kereta ditahan oleh rakannya....

Pengajaran daripada perbualan tadi :
1. Ada perasaan bangga apabila ada orang mengatakan Pengkalan Hulu mempunyai orang kuat beragama. Walaupun tidak ramai, itu sudah mengcukupi.
2. Ini kali pertama hamba berjumpa dengan manusia yang kenal nama Pengkalan Hulu atau Kuak Hulu. Kebanyakan orang yang hamba jumpa sebelum ini di Tanjong Malim hanya mengenali Grik (jawapan selamat bagi hamba menceritakan lokasi Pengkalan Hulu)

Tapi.....agak pelik Pengkalan Hulu atau Kroh mereka tidak kenal, malah lebih buruk tidak pernah dengan langsung nama itu. Tapi....Betong, Thailand mereka kenal sangat dan pernah masuk ke sana, pada hal jalan ke sana salah satunya melalui Pengkalan Hulu.

Menongkat dagu, memicit kepala dan mula berfikir....




Ahad, 26 Mei 2013

Kata-kata Seorang Pejuan Kemerdekaan Negara

Pada 2 Oktober 2007, Shamsiah diwawancara oleh wartawan daripada majalah Mastika. Terus terang beliau berkata kepada wartawan itu, 

 "Tiada apa yang aku kesalkan".
"Beribu-ribu pejuang terkorban semasa berjuang demi mendapatkan KEMERDEKAAN.
Mereka juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan ataupun kemewahan
daripada perjuangan mereka".
"Masa depan bangsa dan negara dimiliki oleh GENERASI akan datang. Kamu yang dapat
melihat peristiwa yang sebenar dalam sejarah pasti dapat menemui
arah tuju demi masa hadapan".


Sebuah Novel Sejarah SHAMSIAH FAKEH
"Pejuang, Pemimpin, dan Perempuan"
- Azzah AR-

Ahad, 24 Mac 2013

Kaki Teater

Putera Cahaya Bulan
Usai pulang daripada menonton teater tradisional : Kembara Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' yang diadakan di Panggung Budaya UPSI. Teater ini diadakan dua hari bermula Jumaat dan Sabtu (22 dan 23 Mac 2013). Teater ini bermula pada pukul 08:30 malam. Tempat duduk dalam panggung budaya sudah penuh. Mungkin teater ini menarik-menyebabkan penonton berduyung-duyung datang menyaksikannya buat kali kedua. Hamba juga tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya, setelah tidak berbuat demikian semalam (jumaat) kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan. Pada malam ini (sabtu) baru berkesempatan datang menyaksikannya. Lagi pula, masuk adalah percuma. Tiada diminta bayaran satu sen pun. Ini mungkin merupakan salah satu faktor orang datang menonton. Firasat hamba!

Awang-orang suruhan Putera Cahaya Bulan
        Pementasan teater ini selama 2 Jam 30 minit ternyata tidak membosankan para penonton. Terlalu banyak 'humour' digunakan oleh pemegang watak. Tidak lupa juga aksi 'spontan' di atas pentas ternyata memukau para penonton. Tidak kering gusi penonton tergelak 'terkekeh-kekeh' menyaksikan unsur spontan dan jenaka yang dilakonkan oleh watak dalam teater ini. Hamba tertarik dengan skrip teater ini, bahasa yang digunakan bukan bahasa Melayu Standard, tetapi keseluruhan skripnya menggunakan dialek Kedah dan ada juga menggunakan beberapa perkataan dalam bahasa Thailand

Ahli Nujum
        

   Dengan dialek Kedah yang 'pure' dibantu dengan watak yang dapat menyampaikannya dengan petah dan bernada menaikkan lagi 'kualiti' teater Kembara Mek Mulung ini. Meskipun, dialek Kedah sepenuhnya digunakan dalam teater ini, para penonton seolah-olah dapat menangkap dan memahami percakapan yang diucapkan oleh watak serta diiringi dengan gelak tawa yang lama. Mungkin terdapat beberapa 'term' perkataan dalam dialek Kedah yang kurang difahami oleh penonton. Secara keseluruhannya, penonton 'enjoy' dan mereka terus berada di kerusi empuk panggung budaya dari awal hingga akhir pementasan teater Mek Mulung ini.



Sinopsis Teater Kembara Mek Mulung : 'Putera Cahaya Bulan'

1. Mek Mulung Cahaya Bulan mengisahkan Putera Cahaya Bulan, Raja negeri Selindungan Bulan yang mendapat firasat bahawa permaisuri baginda, Puteri Nang Mara yang rupawan dan mempunyai kesaktian akan dilarikan oleh Raja Gergasi yang memerintah Benua Pakkian.
                      
2. Raja gergasi berharap sekiranya beliau dapat menguasai dan menakhluki Puteri Nang Mara, ini bermakna beliau berjaya meluaskan kuasa pemerintahannya tanpa ada saingan kerana selama ini Puteri Nang Mara merupakan penghalang utama kejayaannya.

3. Putera Cahaya Bulan menitahkan agar seluruh rakyat berjaga selama 7 hari 7 malam bagi menggagalkan niat jahat Raja Gergasi. Raja Gergasi bersama pengasuhnya Amat dan Sena berjaya memasuki pintu kota Selindungan Bulan apabila semua rakyat tertidur hasil permainan sakti Raja Gergasi. Mimpi Puteri Nan Mara menjadi kenyataan apabila Putera Cahaya Bulan dibunuh dengan panah. Senat dan Amat ditugaskan memujuk dan membawa Puteri Nang Mara ke Benua Pakkian.

4. Putera Cahaya Bulan yang dihanyutkan ke sungai dijumpai oleh Epong dan Edeng. Mereka merawat Putera Cahaya Bulan dengan air mawar sehingga berjaya memulihkan kembali kecederaan baginda.

5. Di Benua Pakkian, Puteri Nang Mara diseksa kerana enggan berkahwin dengan Raja Gergasi. Akhirnya, Putera Cahaya Bulan berjaya menyelamatkan Puteri Nang Mara.


Puteri Nang Mara
Raja Gergasi, Aman dan Sena
Pertarungan Putera Cahaya Bulan dan Raja Gergasi di
Benua  Pakkian
Rakyat negeri Selindungan Bulan
Epong dan Enden
Pemuzik Iringan
Para pelakon yang menjayakan Teater Mek Mulung
Putera Cahaya Bulan


Wallahua'lam
-------------------------------------------------------


Jumaat, 22 Mac 2013

Asam Garam

Gambar Hiasan
Hari ini baru dapat menukarkan kad Bank Islam yang baharu. Warna biru pula, warna kontra! Sebelum ini hanya menggunakan Kad Pelajar (Kad Matrik) untuk mengeluarkan duit daripada Mesin ATM bukan Angkatan Tentera Malaysia.  Lama tidak berurusan di kaunter bank. Kad Bank punya cerita, berkorban juga untuk tunggu lama di kerusi empuk, sambil melihat karenah manusia berurusan dengan bank. Macam-macam hal karenah pelanggan yang perlu dieselesaikan oleh kakitangan bank. Beberapa minit kemudian, nama hamba dipanggil oleh pekerja kaunter. Setelah membuat beberapa urusan di kaunter, siap jua akhirnya kad Bank Islam yang baharu dan masih bersinar. Nasib warna biru muda, bukan biru tua.

    Dua hari lepas, hamba pergi ke cawangan bank Islam yang disediakan oleh pihak universiti. Kertas pada dinding cerminnya tertulis 'BUKA', tapi tiada kakitangan yang menunggu kehadiran pelanggan. Hanya tinggal kerusi meja dan beberapa dokumen di atas meja. Paling mengejutkan jadual di luar menunjukkan jadual operasi bermula jam 02.30 pm -06.00 pm. Tetapi, setengah jam menunggu, tiada sebatang hidung pun kakitangan bank menjalankan tugas. Agak mengecewakan pelanggan yang menunggu dan berulang kali datang ke situ, tetapi masih hampa. Bank masih belum beroperasi. Hati hamba mulai rasa  marah dan mulut celupar mengeluarkan kata-kata cacian dan makian. Sebelum sesuatu menjadi lebih teruk, hamba beredar untuk pergi bergambar bersama teman-teman. Sejukkan hati dan emosi yang tengah 'panas'.

-------------------------------------------------------------

Amalan bantu membantu sesama muslim sungguh mulia di sisi Allah SWT. Kebaikan yang akan diperolehi bukan sahaja kebaikan di dunia malahan kebaikan itu akan diperolehi semasa berada di hari akhirat. Ketika di hari akhirat hanya amal-amal soleh yang dilakukan semasa di dunia sahaja akan dapat membantu.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. 

------------------------------------------------------------



Khamis, 21 Mac 2013

Ya Hanana


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, keluarga Baginda dan para sahabat Baginda.

Kali pertama mendengar alunan Qasidah Ya Hanana di stesen TV berunsur Islam, TV Al-Hijrah bersempena sambutan Maulidul Rasul lepas, hamba tertarik dengan bait-bait liriknya. Keseluruhannya menceritakan keangungan junjungan besar Nabi Akhir Zaman, Muhammad Bin Abdullah (Ahmad) atau lebih dikenali dengan Muhammad S.A.W. Segala puji untukmu Muhammad SAW, kami beruntung menjadi umatMu. Semoga qasidah ini akan menjadi pedoman dan pengajaran kepada generasi yang sudah mulai lupa siapa sebenarnya empunya nama Muhammad S.A.W. terutamanya kepada generasi muda pada zaman sekarang yang mulai ternoda dengan kepalsuan 'material' dunia. 


Qasidah Ya Hanana - Syech  Habib

       Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah bosan melupakan UMMATNYA. Namun begitu, kita sebagai UMMAT baginda yang selalu leka dan alpa mengingatinya. Di masa detik kewafatan, baginda mengucapkan kalimah UMMATI sebanyak 3 kali :

Ali kembali mendekatkan telinganya ke
bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.”Ummatii, ummatii, ummatiii?” 

“Umatku, umatku, umatku” Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi
sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli ‘ala
Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
-------------------------------------------------------------


Penangan Cinta

Terlalu indah memori tercipta;

Bagi mereka - asyik rindukan cinta.




















Di sini aku mula termenung...DAN mengimbau rasa rindu dan cinta itu.
Dan aku berdoa. Semoga ikatan Cinta yang diikat selama ini akan terus berpaut.
Biar jauh di mata, asal dekat di hati!

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Balada ANJKH

Di sini aku mula berfikir sejenak.......









Hampir empat tahun bertapak di perantaun. Mengcedok dan mengaut ilmu di sebuah lubuk bernama menara gading. Tersimpan pelbagai onar dan duri dalam menempuh arus tintanya. Berbekal iman dan kesabaran jalan yang ditempuh semakin hampir ke destinasi yang dituju. Tinggal beberapa hari sahaja lagi akan berada di dalam lubuk menara gading ini. Mengutip saki baki ilmu yang tertinggal. Insya-allah, dengan rezeki Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, akan membawa hasilnya tidak lama lagi, DAN akan diberikan kepada anak-anak yang sedang menanti dengan penuh sabar di darat. Iringan doa akan mengiringi aku ke sana dan segera menamatkan perjalanan ini dengan sempurna, TANPA ada jerung di hadapan.

Isnin, 18 Mac 2013

Teknologi

Pencawang Kuak Hulu
Syukur teramat sangat ke hadrat ILLAHI. Telah lama warga Kuak Hulu menunggu saat sebegini. Akhirnya dengan ketentuan Allah S.W.T, warga Kuak Hulu dapat jua menikmati sebuah pencawang telekomunikasi sendiri tidak lama lagi (dalam proses menyiapkan). Kehadiran pencawang telekomunikasi ini dapat memberi liputan dengan lebih baik berbanding sebelum ini kepada pemegang telefon mudah alih di kampung. Selepas ini tidak ada lagi 'handphone' digantung pada dinding rumah. Semoga warga Kuak Hulu dapat menggunakan kemudahan yang diberikan ini dengan baik dan berpuas hati.

*Ketika artikel ini ditulis, proses pembinaan pencawang masih dijalankan oleh pemaju. 

Cuit-cuit


Kalu suka omong nista,Jangan kecek pasal dosa.




RM10

Nilai RM10 pada zaman sekarang hanya untuk mengenyangkan perut. Makan nasi goreng kampung satu pinggan, bersama telur bungkus dan segelas air teh ais. Cukup RM9. 50. Baki RM0.50 boleh masuk ke dalam tabung. Tiada benda boleh dibeli dengan nilai 50 sen. Gula-gula yang dibungkus pun sudah bernilai RM1 satu.