Jumaat, 27 Januari 2012

Pantun Peribahasa

Gambar Hiasan

Peribahasa Sindiran : Siapa yang makan cili, dia terasa pedasnya
1. Hilang Pisau berganti Parang ; Peribahasa menjelaskan bahawa sesuatu benda yang hilang akan ada penggantinya, malah kadang-kadang pengganti benda yang hilang itu lebih bermanfaat dan lebih baik daripada benda yang hilang itu sendiri. Oleh itu, kita diseru supaya tidak menyesali kehilangan sesuatu benda kerana yang hilang itu ada gantinya.

P/s : Yang lelaki, kalau ada isteri hilang jangan cuba kahwin lagi, nanti bukan parang saja yang datang, kapak pun boleh datang.

2. Kerbau mandul banyak lemak ; Peribahasa ini seolah-olah membawa satu sindiran, tetapi di sebalik kemandulannya itu ada kebaikannya. Walaupun, tidak dapat melanjutkan keturunannya, namun kerbau ini masih berguna kepada masyarakat kerana ia mengandungi banyak lemak. Oleh itu, kita dikehendaki tidak berputus asa dengan kekurangan itu, malah ada kelebihan di sebaliknya.

P/s : Kalau manusia yang mandul pula, adakah ia mempunyai banyak lemak? Kalau ya, jangan risau si polan itu mesti banyak kelebihan.

3. Bercakap bohong, lama-lama mencuri ; Peribahasa ini seolah-olah menyindir masyarakat  yang suka berbohong ketika bercakap. Bercakap bohong adalah satu dosa dan dosa itu menjadi lebih besar keranan ia akan membuat kepada sesuatu perbuatan lain, iaitu mencuri. Mencuri itu lebih besar dosanya. Dengan kata lain, setiap kejahatan yang dilakukan, walaupun kecil akan memungkinkan seseorang itu melakukan kejahatan yang lebih besar kerana telah menjadi biasa.

P/s : Orang sekarang cakap “Bercakap bohong , lama-lama jadi menteri.” Bila jadi menteri songlap duit rakyat pula, tipu sana, tipu sini, rasuah sana, rasuah sini. Dah besar mana dosa mereka itu?..ooopppps minta maaf tersasul.

4. Kerbau kurus banyak tulang ; Peribahasa ini menyindir kerbau yang kurus. Ia menggambarkan masyarakat lama yang menggunakan kerbau sebagai pembantu kerja di sawah ladang. Kerbau yang kurus tentulah tidak kuat bekerja, berbanding kerbau gemuk. Harga kerbau kurus juga murah kalau dijual kerana nilai tulang lebih rendah berbanding isi atau dagingnya. Peribahasa ini secara tidak langsung menyindir manusia yang kurus dan kurang bertenaga melakukan sesuatu pekerjaan, mereka ini tidak menguntungkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

P/s : Boleh percaya ka? Selalu penulis tengok orang yang kurus kuat bekerja walau tenaga kurang, tapi orang gemuk malas bekerja walaupun tenaganya banyak. Kalau dekat Somalia sana ramai yang kurus sampai nampak tulang, mereka bertenaga dan kuat bekerja, tetapi makan dan minum ja tidak cukup berbanding dekat negara kita tercinta ini, MALAYSIA.

5. Lain orang, lain hatinya ; Peribahasa ini menggambarkan sifat manusia yang berbeza-beza. Setiap orang pada zahirnya Nampak sama, tetapi hati masing-masing berbeza, sama ada daripada segi sikap, pandangan, dan caranya.

6. Lain dulu, lain sekarang ; Peribahasa ini menjelaskan tentang jarak waktu yang selalunya merubah seseorang, sama ada daripada segi fizikal, sikap, atau watak.

P/s : Kalau dulu mana ada Internet, mana Facebook, Twitter dll macam sekarang, hanya ada burung Merpati saja untuk berhubung.

7. Awas ! Harap jangan berkecil hati dan tersinggung jika peribahasa di atas ada di dalam diri tuan /puan sekalian. Ini sekadar renungan dan perkongsian ilmu penulis dengan tuan/puan sekalian tidak ada niat membuka aib dan menjatuhkan maruah sesiapa.

8. Wallahua’lam.

Sabtu, 21 Januari 2012

Sabar

Gambar Hiasan
1. Dunia akhir zaman. PENYELEWENGAN, PENINDASAN, KETIDAKADILAN, KEKEJAMAN, perkara-perkara luar biasa, tapi menjadi biasa. PELIK, tapi BENAR. Kita perlu mengakui semua ini.

Ahad, 15 Januari 2012

Cerita Baucer Buku RM200, jadi Bersiar-siar di Kuala Lumpur.

Gambar Hiasan
1. Hari ini ( 140112 ), penulis dan bersama dengan rakan berjalan-jalan ke Kuala Lumpur, bandaraya Metropolitan, semua benda ada di sini. Rakan-rakan yang lain sudah pulang ke kampung halaman masing-masing, kami saja yang masih setia di Bumi Ilmu Tanjong Malim. Rasa semua sudah berjumpa dengan ibu bapa dan orang tersayang di rumah. Yala, lama tidak bersua, hanya SMS dan panggilan telefon menjadi medium untuk berhubung sebelum ini. Tapi, tidak mengapa baki cuti masih panjang ( lebih kurang 4 minggu ), masih ada masa untuk penulis pulang ke kampung. Lagi pula, aku jarang turun ke KL selama aku belajar hampir 3 bulan setengah di UPSI. Pada hal jarak TM-KL tidak jauh sangat ( dalam 45 minit ), kalau menaiki motorsikal atau Kereta Api Tanah Melayu (KTM).

2. Menaiki KTM di Hentian Sg. Buloh-KL Centre dengan bayaran RM2.20 pergi dan balik ( RM4.40 ). Boleh dikira dengan jari penulis menaiki KTM dalam hidup. Seingat penulis ini kali kedua, ( mula-mula naik masa hendak balik ke kampung pada semester 1 dulu TM-Butterworth ). Itu sahaja, selepas itu dah tak pernah naik, hanya selalu lihat KTM yang sering melintas ketika penulis bersembahyang Jumaat di masjid TM. Biasa la, selalu naik bas saja balik ke kampung, jadi luar biasa sedikit kalu naik KTM ni. Perkhidmatan disediakan oleh KTM ni bagus juga keranan mengasingkan 'coach' antara lelaki dengan perempuan ( tapi tak semua penumpang yang ikut peraturan ditetapkan ). Alhamdulillah, akhirnya penulis sampai juga di bandaraya Yap Ah Loi ini.

3. Semasa dalam perjalanan penulis dari Hentian Sg. Buloh-Kl, penulis sempat melihat seorang kelibat seorang sami, memakai pakaian suci mereka berwarna keemasan ( tapi sudah pudar ), bertongkat, dan memegang buah tasbih mereka. Sepanjang perjalanan, dia asyik menggerakkan buah tasbih yang dipegannya berkali-kali, sambil mata terpejam, dan mulutnya bisu. Penulis tidak tahu benda apa yang disebutnya, mungkin bertasbih ( dalam agama mereka ). Sudah berumur sami ini, penulis tengok rambutnya ada uban-uban putih, dan berkaca mata. Dia beredar daripada tempat duduknya, apabila tren KTM berhenti di hentian Rawang.

4. Dalam menuju ke KL, masuk pula seorang ibu muda dengan keadaannya mengandung, kira-kira dalam 6 bulan usia kandungannya. Ruang tempat duduknya diberikan oleh pengguna KTM yang lain disebabkan dengan keadaannya. Penulis berfikir dalam hati ”masih ada lagi orang yang berhati mulia dekat negara Malaysia ini, walaupun hubungan sosialnya dalam radar yang membahayakan.”

5. Sampai sahaja di KL Central, ramai berebut-rebut untuk menaiki KTM, tidak sabar-sabar mengejar masa untuk menuju ke destinasi yang dituju. Belum habis penulis dan pengguna yang lain hendak turun, penumpang-penumpang yang berada di situ terus meredah masuk tanpa segan silu dan rasa hormat. Nasib baik, mereka tidak melanggar ibu muda yang sarat mengandung tersebut. Sikap rakyat Malaysia masih teruk dalam etika beratur, tidak seperti masyarakat Jepun. Tidak sabar, kejar masa, dan tidak menghormati perasaan orang lain. Papan tanda yang menulis ‘sila beratur’ tidak dipandang dan diambil perhatian oleh mereka. Mungkin sekadar menjadi penghias dinding di situ.
....

6. Sampai di KL Centre, penulis membeli tiket untuk ke KLCC. Tiada tiket dijual di kaunter, kena beli melalui mesin elektronik yang disediakan. Penulis lihat, hanya seorang sahaja yang menjaga kaunter tiket, letih ‘brother’ tu, nak uruskan semua, kiri kanan, depan belakang manusia berpusu-pusu datang, banyak soalan hendak dijawab. Yang tak terjawab pun ada, bercampur baur. Jadi, penulis akur, terpaksa menggunakan mesin automatik  tersebut untuk mendapatkan tiket bagi ke destinasi seterusnya, KLCC dengan bayaran RM1.60. Pada mulanya, agak takut nak guna mesin tersebut, maklumlah penulis sebelum ni tak pernah menyentuhnya, malah menggunakannya jauh lagi. Pada hal, mudah saja nak menggunakannya, ikut saja panduan yang tertulis pada badan mesin tersebut. Ikut arahan yang diberikan. Tidak berapa lama kemudian, tiket (token) diperolehi. Mudahnya.

7. Di Suria KLCC, ramai lautan manusia, berpusu-pusu, dan sesak. Pergi dengan hanya satu tujuan, membeli buku dengan menggunakan ‘baucer buku RM200’ yang diberikan oleh kerajaan dalam Bajet 2012 lalu. Penulis sempat bertanya di mana kedai buku di situ kepada seorang pelayan wanita di situ?. ‘Di tingkat empat katanya,’sambil melemparkan senyuman manis kepada penulis. Sampai saja di situ, ramai sudah orang beratur panjang di kaunter bayaran dengan beberapa jenis buku, mungkin sedang bejoli dengan baucer buku yang diberikan. Betul anggapan penulis, sempat juga melihat seorang budak lelaki Cina sedang memegang baucer tersebut, dan beberapa jenis buku di tangan kirinya.

8. Di Suria KLCC, jumlah bukunya banyak sekali, terdiri daripada pelbagai jenis genre, cerita ja, semuanya ada. Macam-macam ASTRO. Penulis ke bahagian ‘education’ (pendidikan). Hendak mencari ibu segala bahasa, Kamus Dewan. Banyak dengan kamus pelbagai bahasa, susah juga nak cari. Tapi, tak jumpa kamus tersebut, mungkin dah habis dijoli oleh pelanggan atau pelajar lain, apabila sahaja baucer buku itu diterbitkan. Sedih juga melihat buku-buku yang dijual di sini, semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris, boleh kata 100%. Semua genre pula tu, baik bahasa, kesusasteraan, politik, ekonomi, sosial, agama, hiburan, iklan, sains, matematik, dan sebagainya. Di mana buku Melayu?, tapi di satu sudut, di sebelah bahagian bahasa, ada dijual buku-buku dalam bahasa Cina, semua buku di dalamnya ditulis dalam bahasa Cina. Hairan bin ajaib.

9. Harga buku-buku ini boleh tahan juga harganya, mahal la senang penulis beritahu. Paling mahal RM116 buku ekonomi ‘Capitalis’, tidak la tebal sangat, paling murah RM9.90 buku Sastera Inggeris, ‘Hamlet’. Mungkin ada yang lebih mahal daripada ni, kedua-dua harga buku ini yang sempat penulis melihatnya. Jadi, masuk tangan kosong, keluar pon tangan kosong, tak beli buku langsung la tu. Cuba tempat lain pula. Baki Baucer Buku masih kekal, RM200, tidak kurang, tidak lebih. Ingat nak pergi ke Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), mungkin tak sempat, jam di tangan penulis menunjukkan pukul 5 petang.

10. Low Yat. Tujuan seterusnya, ke gedung bahan-bahan eletronik, digital, di Kuala Lumpur, Low Yat. Bersebelahan dengan Times Square. Penulis dan rakan berjalan jauh juga untuk sampai di sini dari Suria KLCC. Kali pertama datang sini, suasana seperti di Suria KLCC tadi, lautan manusia. Penulis datang ke sini untuk mencari kelengkapan kamera, iaitu ‘filter lens kit’ dan ‘camera protection’ untuk kamera DSLR, Nikon D90 yang baru sahaja dibeli penulis. Melayang RM90 hanya dua alat itu sahaja. Tapi, penulis puas hati, di sini banyak pilihan, kita boleh membandingkan harga, dan penjual-penjualnya juga bersaing sengit menjual produk mereka kepada pelanggan. Kena pandai-pandai pilih.

11. Surau. Begitu susah nak cari surau di kawasan Low Yat tersebut. Puas penulis berjalan mencarinya. Masuk kedai, masuk pasar raya, tak ada juga. Yang mudah ada, di mana-mana sahaja, tandas. Di Times Square, baru ada surau. Boleh juga beribadat. Lokasinya di tingkat 7 (surau perempuan) dan tingkat 8 (surau lelaki). Dekat kawasan surau ni pelik sikit, kurang sikit laluan manusia, tidak sesak seperti di tingkat-tingkat lain. Pada hal, ramai sahaja orang Melayu Islam penulis jumpa dan lalu lalang di setiap tingkat gedung besar ini.

12. Lupa pula nak cerita, sebelum sembahyang, penulis beradu sebentar untuk minum dan makan. Banyak pilihan dan harga makanan dan minuman di sini, agak mahal berbanding di tempat-tempat biasa, di kedai-kedai biasa di tepi-tepi jalan. Penulis hanya menikmati sepinggan Nasi Goreng Kampung (RM5 + RM1 nasi lebih) dan secawan Sirap Laici (sebiji ja laici, kedekutnya) dengan RM2. Semua sekali RM8. Baru satu kepala. Tapi puas hati, sedap, dan lebih penting perut kenyang.

13. Pulang. Dari pagi sampai ke malam, seharian berjalan di KL, sampai lenguh-lenguh segala urat di kaki dan betis. Dari TQ berjalan pula ke Hentian Hang Tuah untuk membeli tiket ke KL Centre. RM1.20. Turun di KL Centre, berpusu-pusu orang yang sudah tunggu di sana. Apa lagi, berebut-rebut la naik Monorail, takut tak boleh naik. Baik yang muda, baik yang tua, sama saja berebut-rebut termasuklah penulis sendiri. Sampai sempit penumpang dalam monorail tersebut, macam-macam bau keluar, bunyi bising, dan panas pun terasa walaupun, ada penghawa dingin. Sampai di Hentian Sg. Buloh kurang sikit penumpang, tak da la sesaknya, penulis boleh keluar dengan selesa.

14. Tanjong Malim. Selepas itu, penulis membonceng motosikal bersama kawan dari Sg. Buloh –Tanjong Malim, selama sejam. Boleh tahan juga jaraknya, sampai hangat punggung, boleh tahan sakit pinggang, dengan muka berminyak, peluh jangan kata la kering basah di tubuh, rasa bergetah. Memang sangat letih perjalanan hari ini Tanjong Malim-Sg. Buloh-KL Centre-KLCC-Low Yat-Times Squaere-Hentian Hang Tuah- KL Centre-Sg. Buloh-Tanjong Malim. Akhirnya, di rumah sewa, Taman Bernam Baru.

15. Tamatlah  Al-kisahku. Wallahua’lam.


Khamis, 12 Januari 2012

Aku Juga Punyai Impian, Punya Cita-cita

Lagu : Impian Anak Jalanan
Kumpulan : Kembara
Kau mampu patahkan sayapku,
Kau mampu tambatkan kedua kakiku,
Tapi kau tak akan dapat,
Mematahkan semangatku untuk hidup.        
Gambar Hiasan

Lampu neon digedung indah,
Hanya pemikat mata yang tergoda,
Tapi aku kan tetap berjalan,
Menuju tujuanku di sana.

Berdendang anak jalanan,
Berdendang dengan rentak kehidupan,
Ku mohon perlindunganmu,
Yang Esa.

Aku dan mereka sama,
Punya hati dan punya cita-cita,
Kota ini tempatku belajar,
Erti hidup.     

Ku tinggalkan kampung halaman,
Ku tinggalkan semua yang tersayang,
Demi masa depan yang cemerlang,
 Semoga aku diberi pedoman.

P/s : Kenapa aku menjadi pelarian di negara sendiri, sedangkan aku lahir, dibesarkan, dan kemungkinan mati di nusa tercinta, Malaysia. Apa salah dan dosaku? 

Di Mana KEADILAN?

Lagu : Sabar
Penyanyi : P. Ramlee
Beginikah derita hai orang yang sabar,
Dituduh berdusta walaupun bercakap benar,
Namaku dicemar manaku pergi orang tak gemar,
Imanku takkan bertukar dari menipu biar terlantar.

Gambar hiasan
Mengapakah dunia hai penuh tipu daya,
Dosa dan maksiat itulah yang diutama,
Si jujur menjadi mangsa, pandai menipu lekas berharta,
Biarlah aku merana aku tak rela hidup berdusta.

Di mana keadilan yang aku harap-harapkan,
Mengapa kezaliman menjadi balasan,
Yang lemah ditekan, yang berharta jadi sanjungan,
Padamu oh tuhan aku serahkan tetapkan iman.

P/s : Aku masih menunggu pintu KEADILAN dibuka, Allah S.W.T. Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Mungkin pada masa ini, pintu KEKEJAMAN dibuka begitu luas. Tapi aku meminjam kata-kata DSAI, Reformasi-reformasi…dan aku percaya ia akan muncul yang penting bukan sekarang, hanya masa akan menentukannya. 

Isnin, 9 Januari 2012

Nikon D90

Foto 1 : Nikon D90
Hari ini tanggal 9 Januari 2012 merupakan hari kebahagiaan kepada diri penulis, bukan kerana pembebasan Datuk Seri Anuar Ibrahim (DSAI) yang dibebaskan daripada tuduhan liwat, dan penggangtungan Adam Adeli di bawah Akta AUKU kerana menurunkan bendera Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak 18 Disember 2011alu. Tapi penulis hendak ceritakan impian penulis selama ini untuk memiliki kamera DSLR telah ditunaikan dan menjadi kenyataan. Kamera DSLR model Nikon D90 menjadi menarik minat dan cita rasa penulis untuk memilikinya lagi pula ramai penggemar fotografi ramai menggunakannya. Selain itu, penulis telah bertanya kepada seorang teman berkaitan dengan jenis kamera DSLSR yang dijual di pasaran serta pakej, kualiti, dan senarai harga sebelum membelinya.
    Kamera DSLR Nikon D90 yang dibeli oleh penulis merupakan model yang sudah tiada stok jualan di pasaran. Kamera yang berharga RM3290 ini merupakan model yang terakhir yang dibeli oleh penulis di Kedai Kamera tunggal di Daerah Tanjong Malim. Menurut tauke kedai, sebelum model kamera DSLR Nikon D90 telah dibeli oleh seorang pelanggan dan hanya tinggal satu sahaja lagi. Kebetulan pada hari sabtu lepas, penulis pergi ke kedai tersebut untuk meninjau harga kamera tersebut. Nasib penulis baik kerana, kamera yang diingini penulis selama ini ada di dalam cermin  kedai kamera tersebut. Harga yang ditawarkan juga agak mahal, iaitu RM 3290. Harga ini jauh daripada bajet penulis yang hanya sekitar RM3000.
  Oleh itu, penulis terpaksa meminta kebenaran daripada tauke kedai tersebut untuk menyimpan kamera tersebut selama tiga hari, iaitu mulai sabtu hingga isnin kerana pada waktu tersebut penulis tidak mempunyai wang yang mengcukupi serta pada hari tersebut abang penulis tidak dapat memasukkan wang ke dalam akaun penulis kerana bank tutup pada hari tersebut. Jika penulis tidak datang dalam tempoh tiga hari itu, kamera tersebut akan jatuh ke tangan orang lai (burn).
Foto 2
 Jadi, wang dapat dimasukkan ke akaun penulis pada hari isnin, iaitu pada hari ini. Wang sebanyak RM3000 telah dikeluarkan oleh penulis daripada mesin ARM Maybank. Masalah berlaku semasa penulis mengelurakan wang daripada mesin ATM. Ini kerana, wang yang dikeluarkan daripada mesin ATM hanya RM 1000 sahaja dibenarkan untuk sehari ( 3 hari baru dapat RM 3000). Tempoh pembelian kamera, hari ini tamat.
  Namun, masalah dapat diatasi atas bantuan pekerja keselamatan di bank (Maybank) tersebut. Had pengeluaran wang dapat diubah kepada RM5000 maksimun dengan menukar maklumat pada skrin mesin ATM tersebut dengan memasukkan nombor kad pengenalan. Suatu benda baru yang penulis dapat hari ini. Terima kasih kepada abang keselamatan. Sekarang di tangan aku mempunyai wang tunai RM3000, jumlah yang besar bagi penulis (sebelum ni paling banyak pegang RM2000 saja). 
  Penulis terus menyimpan wang tersebut di dalam kocek seluar untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang buruk. Tanpa membuang masa, penulis bersama rakan bergegas ke kedai kamera tersebut. Selang beberapa minit, proses pembelian kamera DSLR Nikon D90 penulis selesai. Akhirnya, tercapai  jua impian penulis ingin memiliki kamera DSLR sendiri yang mana sebelum ini hanya meminjam daripada rakan.
Foto 3

   Ucapan terima kasih penulis ucapkan kepada ibu penulis yang sanggup memberi pinjaman RM1000  (duit insurans arwah abang penulis), RM950 telah digunakan oleh penulis, abang penulis menyumbang sebanyak RM3000 (RM1000 adalah hutang) dan juga tidak lupa kepada rakan penulis, Mohd Hafizuddin bin Mohd Zainuddin atau Budin Pekan yang bersama penulis semasa dan sebelum membeli kamera DSLR ini. Sebagai imbalan, penulis belanja dia makan 'cendol pulut' di sebuah gerai sebelah KFC di Pekan Tanjong Malim.
        

Wajah Suci Tidak Berdosa

Gambar Hiasan
Lagu : Wajah Suci
Kumpulan : Mestica

Wajah suci itu tidak berdosa
Mengapa dia dibiar begitu saja
Sedih pilu menatap rupanya
Kaku terdampar di lembah hina
Apa dosanya si kecil itu
Belum sempat dia memanggil ibu
Sampai hati engkau dizalimi
Oleh mereka yang tiada simpati
Tubuh kecil itu mahu dihargai dihormati
Dimakamkan dia bukan dibuang sesuka hati
Dimanakah nilai ehsan insani
                                                                              Apa dosanya si kecil itu
                                                                              Kerana kasih tersasar tujuan hidup
                                                                              Hingga lahir zuriat yang bukan pilihan
                                                                              Buntu tiada jalan penyelesaian
                                                                              Lalu si anak dibuang di jalanan
                                                                             (Mengapa tiada simpati dan kasihan)
                                                                             Sayu hati melihat nasib dirimu
                                                                             Bagai tiada nilainya di sisi
                                                                             Wajah sucimu telah dinodai
                                                                             Namun lahirnya ada nilainya
                                                                             Di sisi Allah engkau mulia
                                                                             bagai kain putih kau tiada dosa
                                                                             Bertaubatlah mereka yang hina..


Hanya lirik lagu dan foto dapat menceritakan apa yang penulis hendak sampaikan tentang 'pembuangan bayi ' yang berleluasa di negara ini, MALAYSIA tanah airku tercinta. Penulis tengok sudah banyak media-media di negara ini sama ada media massa atau elektronik kerap memutarkan isu ini, tapi tidak membantu menangani atau mengurangkan jumlah pembuangan bayi ini, malah memberi galakkan untuk menyuburkan budaya yang dilarang di dalam ajaran Islam ini dan bedosa besar hukumnya, dan neraka tempat terbaik bagi insan yang melakukannya. 
    Lagi pula, isu yang dianggap berat di dalam hukum hakam agama Islam ini tidak begitu dihiraukan oleh pemerintah, malah dalam masyarakat itu sendiri. Isu sebegini dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Isu-isu yang berkaitan dengan kuasa, materialistik dan mengumpul harta selagi mana boleh, lebih diutamakan daripada menangani isu ini. Fitnah-mengfitnah sudah menjadi amalan atau ritual dalam masyarakat moden pada hari ini dan pintu keadilan sudah tiada bagi manusia untuk membela dan mempertahankan diri.
    Bagaimana keadilan kepada bayi yang suci ini dilahirkan tanpa hubungan yang sah antara lelaki dengan perempuan ini?. Adakah ada keadilan untuknya apabila dewasa kelak? Penulis berasa bayi yang  tidak berdosa ini akan menjadi mangsa kepada kerakusan manusia yang zalim dan menjadi mangsa fitnah oleh masyarakat sekeliling akibat daripada dosa besar (zina) yang dilakukan oleh ibu bapanya dahulu. Wallahua'lam.

(Penulisan ini daripada idea dan pendapat diri penulis sendiri dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak tertentu ).
    

Ahad, 8 Januari 2012

Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat

Adat Resam Melayu : Menilik atau Merisik dalam perkahwinan orang Melayu dan  pengamalannya.

Gambar Hiasan
Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan mereka seharian dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Perkara sebegini telah menjadi amalan turun-temurun sejak zaman nenek moyang mereka dahulu lagi. Bak kata peribahasa Melayu lama “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara ini.
  Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu, amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, manakala amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah dibuang serta tidak diamalkan lagi. Amalan inilah yang dipanggil sebagai adat.
   Pepatah Melayu “Biar mati anak, jangan mati adat”, merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat Melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakan adat adalah merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-hari, yang dikenali ritual.
  Berikut merupakan bebarapa adat resam Melayu yang pernah diamalkan dan ada yang masih diamalkan hingga ke hari ini. Adat Melenggang perut, berinai di pelamin, menyambut kelahiran, bersanding, berendoi, bercukur jambul, bertindik dan sebagainya. Dalam penulisan ini, penulis menumpukan adat resam Melayu : ‘Menilik atau merisik’ dalam perkahwinan orang Melayu dan pengamalannya.

Menilik atau merisik
Tilik atau menilik menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, memberikan maksud melihat dengan sungguh-sungguh, memperhatikan, dan meneliti nasib seseorang, manakala merisik bermaksud menyelidiki atau menyiasat dengan sembunyi-sembunyi; mengirim orang menyiasat Berjaya atau tidak pinangan, atau mengirim orang untuk meminang (Kamus Dewan Edisi Empat).
   Menilik atau merisik secara mudahnya, iaitu memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Tujuan menilik atau merisik ini dilakukan adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak khilaf memilih dan dapat mencari bakal menantu mereka yang terbaik untuk anak lelaki mereka seperti mana yang diariskan oleh ajaran agama Islam.

Bila masa sesuai dilakukan upacara menilik atau merisik?
Apabila ibu bapa pihak lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumah tangga dan patut dikahwinkan, maka mereka akan menacari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang dikenali oleh mereka. Kemudian, mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan calon menantu.

Faktor pemilihan ‘anak dara’ untuk dijadikan menantu?
Para ibu bapa akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu.
   Istilah sudah ditebuk tupai’ bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah dalam kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap ‘dayus’ sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tiada dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya, jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui ‘malam pertama’. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
   Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.
    Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah (i)khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai (ii)sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.

Rombongan datang merisik oleh pihak lelaki
Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil daripada pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya, rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan, di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum.
  Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
 Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat.
   Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut.
  Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.

Bagaimana dengan majlis pertunangan?
Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.

( Dipetik dan diubah suai daripada www.ashtech.com.my/adat/ )



Balasan Anak Derhaka

Gambar Hiasan

” Hairan saya melihat beberapa orang kampung berkumpul di kedai pada tengah hari itu. 1 September 1994. Serius mereka berbual hingga dahi berkerut-kerut. Lepas seorang bercerita yang lain menggeleng-gelengkan kepala. Pasti ada sesuatu yang ‘besar’ sedang mereka bincangkan, kata saya di dalam hati. Setelah enjin motosikal dimatikan, saya berjalan ke arah mereka.

  " Bincang apa tu? Serius aku tengok,” saya menyapa.
  ” Haaa…Din, kau tak pergi tengok budak perempuan tak boleh keluar dari kubur emak dia? ” kata Jaimi, kawan saya. ” Budak perempuan? Tak boleh keluar dari kubur? Aku tak faham bah,” jawab saya. Memang saya tak faham kerana lain benar apa yang mereka katakan itu.
     ” Macam ni,” kata Jaimi, lalu menyambung, ” di kubur kat kampung Batu 10 tu, ada seorang budak perempuan tolong kebumikan emak dia, tapi lepas itu dia pula yang tak boleh keluar dari kubur tu. Sekarang ni orang tengah nak keluarkan dia… tapi belum boleh lagi “. ” Kenapa jadi macam tu? ” saya bertanya supaya Jaimi bercerita lebih mendalam. Patutlah serius sangat mereka berbual..
       Jaimi memulakan ceritanya. Kata beliau, memandangkan semalam adalah hari kelepasan semperna Hari Kebangsaan, budak perempaun berumur belasan tahun itu meminta wang daripada ibunya untuk keluar bersama kawan-kawan ke Bandar Sandakan. Bagaimana pun, ibunya yang sudah berusia dan sakit pula enggan memberikannya wang.
    ” Bukannya banyak, RM 20 aja mak! ” gadis itu membentak. 
    ” Mana emak ada duit. Mintak dengan bapa kamu,” jawab ibunya perlahan.
Sambil itu dia mengurut kakinya yang sengal. Sudah bertahun-tahun dia mengidap darah tinggi,lemah jantung dan kencing manis.
   ” Maaak… kawan-kawan semuanya keluar. Saya pun nak jalan jugak,” kata gadis itu. 
   ” Yalah, mak tau… tapi mak tak ada duit,” balas ibunya. 
   ” RM 20 aja! ” si gadis berkata.
   ” Tak ada,” jawab ibunya. 

   ” Emak memang kedekut! ” si gadis mula mengeluarkan kata-kata keras.
   ” Bukan macam tu ta…” belum pun habis ibunya menerangkan, gadis tersebut menyanggah, katanya, ” Ahhh…sudahlah emak! Saya tak mau dengar!  "Kalau emak ada du… ” ibunya menyambung , tapi belum pun habis kata-katanya, si gadis memintas lagi, katanya ; ” kalau abang, boleh, tapi kalau saya minta duit, mesti tak ada! “ Serentak dengan itu, gadis tersebut menyepak ibunya dan menolaknya ke pintu. Si ibu jatuh ke lantai.

   ” Saida.. Sai.. dddaaa..” katanya perlahan sambil mengurut dada. Wajahnya berkerut menahan sakit. Gadis tersebut tidak menghiraukan ibunya yang terkulai di lantai. Dia sebaliknya masuk ke bilik dan berkurung tanda protes. Di dalam bilik, dibalingnya bantal dan selimut ke dinding. Dan sementara di luar,suasana sunyi sepi. Hampir sejam kemudian, barulah gadis tersebut keluar. Alangkah terkejutnya dia kerana ibunya tidak bergerak lagi. Bila dipegang ke pergelangan tangan dan bawah leher, tidak ada lagi nadi berdenyut.
     Si gadis panik. Dia meraung dan menangis memanggil ibunya,tapi tidak bersahut. Meraung si gadis melihat mayat ibunya itu. Melalui jiran-jiran, kematian wanita itu diberitahu kepada bapa gadis yang
bekerja di luar. Jaimi menyambung ceritanya; ” Mak cik tu dibawa ke kubur pukul 12.30 tadi. Pada mulanya tak ada apa-apa yang pelik, tapi bila mayatnya nak dimasukkan ke dalam kubur, ia jadi berat sampai dekat 10 orang pun tak terdaya nak masukkannya ke dalam kubur. Suaminya sendiri pun tak dapat bantu.”
   ” Tapi bila budak perempuan tu tolong, mayat ibunya serta-merta jadi ringan. Dia seorang pun boleh angkat dan letak mayat ibunya di tepi kubur.” Kemudian gadis berkenaan masuk ke dalam kubur untuk menyambut jenazah ibunya. Sekali lagi beramai-ramai penduduk kampung mengangkat mayat tersebut dan menyerahkannya kepada gadis berkenaan. Tanpa bersusah payah, gadis itu memasukkan mayat ibunya ke dalam lahad. Namun apabila dia hendak memanjat keluar dari kubur tersebut, tiba-tiba kakinya tidak boleh diangkat. Ia seperti dipaku ke tanah. Si gadis mula cemas.
     ” Kenapa ni ayah? ” kata si gadis. Wajahnya serta-merta pucat lesi.
    ” Apa pasal,” Si ayah bertanya.
    ” Kaki Saida ni.. tak boleh angkat! ” balas si gadis yang kian cemas. Orang ramai yang berada di sekeliling kubur mula riuh. Seorang demi seorang menjenguk untuk melihat apa yang sedang berlaku.

   ” Ayah, tarik tangan saya ni. Kaki saya terlekat…….tak boleh nak naik,” gadis tersebut menghulurkan tangan ke arah bapanya. Si bapa menarik tangan anaknya itu, tetapi gagal. Kaki gadis tersebut melekat kuat ke tanah. Beberapa orang lagi dipanggil untuk menariknya keluar, juga tidak berhasil.
  ” Ayah…kenapa ni??!! Tolonglah Saida, ayah..” si gadis menangis memandang ayah dan adik beradiknya yang bertinggung di pinggir kubur. Semakin ramai orang berpusu ke pinggir kubur. Mereka cubamenariknya beramai-ramai namun sudah ketentuan Allah, kaki si gadis tetap terpasak di tanah. Tangisannya bertambah kuat.
   ” Tolong saya ayah, tolong saya…….kenapa jadi macam ni ayah? ” kata si
gadis sambil meratap. ” Itulah, kamu yang buat emak sampai dia meninggal. Sekarang, ayah pun tak tau nak buat macam mana,” jawab si ayah selepas gagal mengeluarkan anaknya itu. Dia menarik lagi tangan gadis yang berada di dalam kubur tapi tidak berganjak walau seinci pun. Kakinya tetap terpahat ke tanah.
  ” Emak…ampunkan Saida emak, ampunkan Saida…” gadis itu menangis. Sambil itu dipeluk dan dicium jenazah kiblat. Air matanya sudah tidak boleh diempang lagi.
   ” Maafkan Saida emak, maafkan , Saida bersalah, Saida menyesal… Saida menyesal…… Ampunkan Saida emak,” dia menangis lagi sambil memeluk jenazah ibunya yang telah kaku. Kemudian gadis itu menghulurkan lagi tangannya supaya boleh di tarik keluar. Beramai-ramai orang cubamengeluarkannya namun kecewa. Apabila terlalu lama mencuba tetapi gagal, imam membuat keputusan bahawa kubur tersebut perlu dikambus.
    ” Kita kambus sedikit saja, sampai mayat ibunya tak dapat dilihat lagi. Kita tak boleh biarkan mayatnya macam tu aja… kalau hujan macam mana? “kata imam kepada bapa gadis berkenaan.
   ” Habis anak saya ?” tanya si bapa.
   ” Kita akan terus cuba tarik dia keluar. Kita buat dua-dua sekali, mayat isteri awak disempurnakan, anak awak kita selamatkan,” balas imam. Lelaki berkenaan bersetuju. Lalu seperti yang diputuskan,upacara pengebumian terpaksa diteruskan sehingga selesai, termasuk talkinnya. Bagaimana pun kubur dikambus separas lutut gadis saja, cukup untuk menimbus keseluruhan jenazah ibunya. Yang menyedihkan, ketika itu si gadis masih di dalam kubur. Bila talkin dibaca, dia menangis dan meraung kesedihan. Sambil itu dia meminta ampun kepada ibunya dengan linangan air mata. Selesai upacara itu, orang ramai berusaha lagi menariknya keluar. Tapi tidak berhasil.
  ” Bila dah lama sangat, aku balik kejap untuk makan. Dah lapar sangat. Lepas itulah aku singgah ke kedai ni. Lepas ni aku nak ke kubur lagi. Nak tengok apa yang terjadi,” kata Jaimi. ” Aku pun nak pergilah,” kata saya. Lalu kami semua menunggang motosikal masing-masing menuju ke kubur. Kami lihat orang ramai sudah berpusu-pusu di sana . Beberapa buah kereta polis juga kelihatan di situ. Saya terus berjalan pantas menuju kubur yang dimaksudkan dan berusaha menyusup ke celah-celah orang ramai yang sedang bersesak-sesak.
  Setelah penat berusaha, akhirnya saya berjaya sampai kebarisan paling hadapan. Malangnya saya tidak dapat melihat gadis tersebut kerana di depan kami telah dibuat kepungan tali. Kubur itu pula beberapa puluh meter daripada kami dan terlindung oleh kubur serta pokok-pokok rimbun. Di dalam kepungan itu, anggota-anggota polis berkawal dengan senjata masing-masing. Nasib saya memang baik hari itu. Dua tiga orang daripada polis berkenaan adalah kenalan saya.   
  ” Pssstt…Raie. …Raie..Psstt, ” saya memanggil, Raie yang perasan saya memanggilnya mengangkat tangan. 
   ” Boleh aku tengok budak tu? ” saya bertanya sebaik saja diadatang ke arah saya.
   ” Mana boleh. Keluarga dia aja yang boleh,” jawabnya perlahan-lahan seperti berbisik. Sambil itu dia menjeling ke kiri dan kanan, khuatir ada orang yang tahu.
 ” Sekejap aja. Bolehlah…” saya memujuk….. Alhamdulillah, setelah puas dipujuk dia mengalah. Tanpa berlengah, saya menyusup perlahan-lahan dan berjalan beriringan dengan Raie, seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan. Namun demikian dada saya berdebar kencang. Pertama, risau dan takut dihalau keluar. Kedua, tidak sabar hendak melihat apa yang sedang berlaku kepada gadis berkenaan.
  Selepas meredah kubur-kubur yang bertebaran, akhirnya saya sampai ke pusara yang dimaksudkan. Di pinggir kubur itu berdiri dua tiga orang polis memerhatikan kedatangan saya. Raie mendekati mereka dan berbisik-bisik. Mungkin dia merayu supaya saya tidak dihalau. Alhamdulillah, saya lihat seorang polis yang berpangkat mengangguk-angguk. Raie terus memanggil saya lalu memuncungkan bibirnya ke arah sebuah kubur.
   Bila dijenguk kedalam, dada saya serta-merta terasa sebak. Saya lihat gadis berkenaan sedang duduk di atas tanah kubur sambil menangis teresak-esak. Sebentar kemudian dia memegang tanah berhampiran lahad dan merintih; 
   “Emak… ampunkanlah Saida, Saida sedar, saida derhaka pada emak, Saida menyesal, Saida menyesal……”
  Selepas mengesat air jernih yang terus berjejeran daripada mata yang bengkak, gadis tersebut menangis lagi memohon keampunan daripada arwah ibunya. ”Emak…lepaskanlah kaki saya ni. Ampunkan saya, lepaskan saya,” Ditarik-tariknya kaki yang melekat di tanah namun tidak berhasil juga. Saya lihat bapa dan adik-beradiknya menangis, di pinggir kubur. Nyata mereka sendiri tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat untuk menyelamatkan gadis berkenaan.
  ” Sudahlah tu Saida…makanlah sikit nak ,” rayu bapanya sambil menghulurkan sepinggan nasi juga segelas air. Si gadis tersebut langsung tidak mengendahkan. Malah memandang ke atas pun tidak. Dia sebaliknya terus meratap meminta ampun daripada arwah ibunya. Hampir menitis air mata saya melihat Saida. Tidak saya sangka, cerita datuk dan nenek tentang anak derhaka kini berlaku di depan mata.
    Begitu besar kekuasaan Allah. Memang betullah kata para alim ulama, dosa menderhakai ibu bapa akan di balas ‘tunai’. Malangnya saya tidak dapat lama di sana . *****a 10 – 15 minit saja kerana Raie memberitahu, pegawainya mahu saya berbuat demikian. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya meninggalkan kubur tersebut. Sambil berjalan kedengaran lagi Saida menangis dan meratap ” Ampunkan saya emak, ampunkan saya, Ya Allah, lepaskanlah kakiku ini, aku bertaubat, aku insaf…” Lantas saya menoleh buat kali terakhir. Saya lihat bapa Saida dan adik beradiknya sedang menarik tangan gadis itu untuk dibawa keluar, tapi seperti tadi, tidak berhasil. Saya lihat seorang polis mengesatkan air matanya.
   Semakin lama semakin ramai orang berhimpun mengelilingi perkuburan itu. Beberapa kereta polis datang dan anggotanya berkawal di dalam kepungan lengkap dengan senjata masing-masing. Wartawan dan jurugambar berkerumun datang untuk membuat liputan tetapi tidak dibenarkan.Mereka merayu bermacam-macam cara, namun demi kebaikan keluarga gadis, permintaan itu terpaksa ditolak.
Matahari kian terbenam, akhirnya tenggelam dan malam merangkak tiba. Saida masih begitu. Kaki terlekat di dalam kubur ibunya sementara dia tidak henti-henti meratap meminta keampunan. Saya pulang ke rumah dan malam itu tidak dapat melelapkan mata. Suara tangisannya terngiang-ngiang di telinga saya.
    Saya diberitahu, sejak siang, tidak ada secebis makanan mahupun minuman masuk ke tekaknya. Seleranya sudah mati. Bapa dan adik beradiknya masih tetap di sisi kubur membaca al-Quran, Yassin dan berdoa. Namun telah disebutkan Allah, menderhaka terhadap ibu bapa adalah dosa yang sangat besar. Saida tetap tidak dapat dikeluarkan. Embun mula menitis. Saida kesejukan pula. Dengan selimut yang diberi oleh bapanya dia berkelubung. Namun dia tidak dapat tidur. Saida menangis dan merayu kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Begitulah yang berlaku keesokannya. Orang ramai pula tidak susut mengerumuni perkuburan itu. Walaupun tidak dapat melihat gadis berkenaan, tapi mereka puas jika dapat bersesak-sesak dan mendengar orang-orang bercerita.
   Setelah empat atau lima hari terperangkap, akhirnya Saida meninggal dunia. Mungkin kerana terlalu lemah dan tidak tahan di bakar kepanasan matahari pada waktu siang dan kesejukan di malam hari. Mungkin juga kerana tidak makan dan minum. Atau mungkin juga kerana terlalu sedih sangat dengan apa yang dilakukannya. Allah Maha Agung…sebaik Saida menghembuskan nafas terakhir, barulah tubuhnya dapat di keluarkan. Mayat gadis itu kemudian disempurnakan seperti mayat-mayat lain. Kuburnya kini di penuhi lalang. Di bawah redup daun kelapa yang melambai-lambai, tiada siapa tahu di situ bersemadi seorang gadis yang derhaka.

(Dipetik dan diubahsuai daripada http://sillaturahim.wordpress.com.)

Selasa, 3 Januari 2012

Ambang 1112

Sudah dua kali penulis menyambut kedatangan tahun baharu di tempat kelahiran penulis, iaitu di Mukim Pengkalan Hulu, Perak DR sama seperti menyambut tahun 2010 lalu. Acaranya tetap sama seperti tahun-tahun yang lalu, iaitu penduduk Pengkalan Hulu disajikan dengan percikan bunga api yang disediakan oleh penganjur pada kemuncak mengira detik kedatangan 01.Januari pada setiap tahun. Pada tahun ini, terdapat beberapa acara diadakan selain menyambut kedatangan tahun baru 2012. Antara acara yang turut dimuatkan ialah pertandingan akhir bola sepak Piala Antara Jabatan-jabatan Kerajaan antara Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) menentang Majlis Daerah Pengkalan Hulu ( MDPH ) yang berakhir dengan kemenangan ATM 3-1, pertandingan bowling antara Jabatan-jabatan Kerajaan, pertandingan bubur Asyura, dan cabutan bertuah.
    Pada malam menunggu detik kedatangan 2012, ramai warga PH datang berpusu-pusu menyerbu padang bola sepak MDPH. Daripada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa, suami isteri, dan golongan veteran tidak kira lelaki atau perempuan sanggup datang untuk sama-sama menyambut kedatangan ambang tahun baru yang datang hanya sekali dalam setahun. Ambang 2012 turut menarik minat pelbagai kaum yang berada di Mukim PH untuk sama-sama menikmati kedatangan tahun baharu ini. Penulis melihat selain kaum Melayu, terdapat juga kaum lain seperti kaum Cina, India, Asli, dan lain-lain yang turut mewarnai suasana ambang 2012.  Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan ikatan perpaduan di antara kepelbagaian kaum yang terdapat di sini ( PH ) selaras dengan slogan pemimpin kita 'Gagasan 1Malaysia'.
      Selain itu, terdapat juga peniaga-peniaga menjual pelbagai aneka makanan kepada warga PH yang datang pada malam tersebut. Makanan yang paling popular setiap kali upacara yang diadakan di sini ( PH ) makana n ringan seperti burger, hot dog, sosej, dan air minuman yang terdiri daripada pelbagai perisa. Pada acara-acara sebegini amat menguntungkan para peniaga kerana hasil jualan mereka amat menguntungkan berbanding hari-hari biasa. Pada malam tersebut, penulis sempat membeli beberapa jenis maruku untuk dijadikan pembuka selera berserta dengan sebotol air mineral. Sungguh sedap dan meyelerakan.
      Jam penulis menunjukkan 11.30 pm, lagi 30 minit untuk menanti kedatangan tahun baru 2012. Tidak sabar menunggu detik-detik yang mendebarkan ini. Penulis sempat melihat upacara penyampaian hadiah oleh penganjur kepada pemenang bagi setiap acara yang dianjurkan. Cabutan bertuah masih lagi dicabut dan masih memanggil para pemenangnya. Kemudian, upacara bacaan doa sempena kedatangan tahun baru 2012 oleh ustaz yang dilantik dan disusuli ucapan oleh VIP ( kedua-dua penulis tidak kenal dan tidak ingat namanya, sekadar menyebut ). Pukul 11.59 pm, detik yang ditunggu-tunggu oleh semua warga PH telah tiba, kiraan tahun 2012 pun bermula 10......1. Semua warga PH mula menghitung dan selepas hitungan terakhir, iaitu pada no 1, percikan bunga api pun bermula selama lebih kurang 3 minit. Dengan bermulanya kiraan detik dan percikan bunga api dengan ini rasmilah sudah kedatangan tahun baru 2012 bersamaan dengan 7 Safar 1433 H. Kemudian, semua warga PH pulang meninggalkan padang utama MPDH dengan penuh keriangan dan kegembiraan di hati apabila dapat merakam detik-detik indah mereka ketika menyambut kedatangan tahun baru 2012. Begitu juga dengan penulis, sempat merakam percikan bunga api sebagai tanda kenang-kenangan.

SELAMAT TAHUN BARU 2012 KEPADA SELURUH WARGA PH & SELURUH RAKYAT MALAYSIA. 

video