Selasa, 3 Januari 2012

Ambang 1112

Sudah dua kali penulis menyambut kedatangan tahun baharu di tempat kelahiran penulis, iaitu di Mukim Pengkalan Hulu, Perak DR sama seperti menyambut tahun 2010 lalu. Acaranya tetap sama seperti tahun-tahun yang lalu, iaitu penduduk Pengkalan Hulu disajikan dengan percikan bunga api yang disediakan oleh penganjur pada kemuncak mengira detik kedatangan 01.Januari pada setiap tahun. Pada tahun ini, terdapat beberapa acara diadakan selain menyambut kedatangan tahun baru 2012. Antara acara yang turut dimuatkan ialah pertandingan akhir bola sepak Piala Antara Jabatan-jabatan Kerajaan antara Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) menentang Majlis Daerah Pengkalan Hulu ( MDPH ) yang berakhir dengan kemenangan ATM 3-1, pertandingan bowling antara Jabatan-jabatan Kerajaan, pertandingan bubur Asyura, dan cabutan bertuah.
    Pada malam menunggu detik kedatangan 2012, ramai warga PH datang berpusu-pusu menyerbu padang bola sepak MDPH. Daripada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa, suami isteri, dan golongan veteran tidak kira lelaki atau perempuan sanggup datang untuk sama-sama menyambut kedatangan ambang tahun baru yang datang hanya sekali dalam setahun. Ambang 2012 turut menarik minat pelbagai kaum yang berada di Mukim PH untuk sama-sama menikmati kedatangan tahun baharu ini. Penulis melihat selain kaum Melayu, terdapat juga kaum lain seperti kaum Cina, India, Asli, dan lain-lain yang turut mewarnai suasana ambang 2012.  Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan ikatan perpaduan di antara kepelbagaian kaum yang terdapat di sini ( PH ) selaras dengan slogan pemimpin kita 'Gagasan 1Malaysia'.
      Selain itu, terdapat juga peniaga-peniaga menjual pelbagai aneka makanan kepada warga PH yang datang pada malam tersebut. Makanan yang paling popular setiap kali upacara yang diadakan di sini ( PH ) makana n ringan seperti burger, hot dog, sosej, dan air minuman yang terdiri daripada pelbagai perisa. Pada acara-acara sebegini amat menguntungkan para peniaga kerana hasil jualan mereka amat menguntungkan berbanding hari-hari biasa. Pada malam tersebut, penulis sempat membeli beberapa jenis maruku untuk dijadikan pembuka selera berserta dengan sebotol air mineral. Sungguh sedap dan meyelerakan.
      Jam penulis menunjukkan 11.30 pm, lagi 30 minit untuk menanti kedatangan tahun baru 2012. Tidak sabar menunggu detik-detik yang mendebarkan ini. Penulis sempat melihat upacara penyampaian hadiah oleh penganjur kepada pemenang bagi setiap acara yang dianjurkan. Cabutan bertuah masih lagi dicabut dan masih memanggil para pemenangnya. Kemudian, upacara bacaan doa sempena kedatangan tahun baru 2012 oleh ustaz yang dilantik dan disusuli ucapan oleh VIP ( kedua-dua penulis tidak kenal dan tidak ingat namanya, sekadar menyebut ). Pukul 11.59 pm, detik yang ditunggu-tunggu oleh semua warga PH telah tiba, kiraan tahun 2012 pun bermula 10......1. Semua warga PH mula menghitung dan selepas hitungan terakhir, iaitu pada no 1, percikan bunga api pun bermula selama lebih kurang 3 minit. Dengan bermulanya kiraan detik dan percikan bunga api dengan ini rasmilah sudah kedatangan tahun baru 2012 bersamaan dengan 7 Safar 1433 H. Kemudian, semua warga PH pulang meninggalkan padang utama MPDH dengan penuh keriangan dan kegembiraan di hati apabila dapat merakam detik-detik indah mereka ketika menyambut kedatangan tahun baru 2012. Begitu juga dengan penulis, sempat merakam percikan bunga api sebagai tanda kenang-kenangan.

SELAMAT TAHUN BARU 2012 KEPADA SELURUH WARGA PH & SELURUH RAKYAT MALAYSIA. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan