Ahad, 8 Januari 2012

Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat

Adat Resam Melayu : Menilik atau Merisik dalam perkahwinan orang Melayu dan  pengamalannya.

Gambar Hiasan
Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan mereka seharian dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Perkara sebegini telah menjadi amalan turun-temurun sejak zaman nenek moyang mereka dahulu lagi. Bak kata peribahasa Melayu lama “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara ini.
  Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu, amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, manakala amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah dibuang serta tidak diamalkan lagi. Amalan inilah yang dipanggil sebagai adat.
   Pepatah Melayu “Biar mati anak, jangan mati adat”, merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat Melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakan adat adalah merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-hari, yang dikenali ritual.
  Berikut merupakan bebarapa adat resam Melayu yang pernah diamalkan dan ada yang masih diamalkan hingga ke hari ini. Adat Melenggang perut, berinai di pelamin, menyambut kelahiran, bersanding, berendoi, bercukur jambul, bertindik dan sebagainya. Dalam penulisan ini, penulis menumpukan adat resam Melayu : ‘Menilik atau merisik’ dalam perkahwinan orang Melayu dan pengamalannya.

Menilik atau merisik
Tilik atau menilik menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, memberikan maksud melihat dengan sungguh-sungguh, memperhatikan, dan meneliti nasib seseorang, manakala merisik bermaksud menyelidiki atau menyiasat dengan sembunyi-sembunyi; mengirim orang menyiasat Berjaya atau tidak pinangan, atau mengirim orang untuk meminang (Kamus Dewan Edisi Empat).
   Menilik atau merisik secara mudahnya, iaitu memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Tujuan menilik atau merisik ini dilakukan adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak khilaf memilih dan dapat mencari bakal menantu mereka yang terbaik untuk anak lelaki mereka seperti mana yang diariskan oleh ajaran agama Islam.

Bila masa sesuai dilakukan upacara menilik atau merisik?
Apabila ibu bapa pihak lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumah tangga dan patut dikahwinkan, maka mereka akan menacari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang dikenali oleh mereka. Kemudian, mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan calon menantu.

Faktor pemilihan ‘anak dara’ untuk dijadikan menantu?
Para ibu bapa akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu.
   Istilah sudah ditebuk tupai’ bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah dalam kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap ‘dayus’ sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tiada dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya, jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui ‘malam pertama’. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
   Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.
    Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah (i)khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai (ii)sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.

Rombongan datang merisik oleh pihak lelaki
Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil daripada pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya, rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan, di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum.
  Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
 Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat.
   Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut.
  Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.

Bagaimana dengan majlis pertunangan?
Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.

( Dipetik dan diubah suai daripada www.ashtech.com.my/adat/ )



Tiada ulasan:

Catat Ulasan