Khamis, 1 November 2012

Gambar Hiasan
Hari Raya Aidiladha telah pun belalu pada Jumaat lepas dan ibadat korban juga telah usai dijalankan oleh kaum Muslimin di seluruh dunia (10-12 Dzulhijjah 1433H). Semoga ibadat korban kita direstui dan diberkati oleh Allah S.W.T. Amin. Rasanya tidak terlewat untuk penulis berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan sejarah ibadah korban dijalankan dalam kehidupan Ummat Islam. 
        Penulis beranggapan setiap orang Islam sudah pun mengetahui sejarah ibadat korban ini dan penulis juga beranggapan terdapat juga sesetengah atau sebilangan orang Islam masih jahil dan kabur tentang sejarah ibadat korban ini. Sebagai seorang Muslim, ini merupakan tanggungjawab penulis untuk menjelaskan sejarah berkaitan dengan ibadat korban ini kepada setiap manusia yang beragama Islam dengan lebih jelas dan terperinci supaya kita dapat merasai nikmat ibadat korban pada masa akan datang. Insya-Allah.

Surah As-Saffat ( Ayat 99-111)
Terdapat beberapa baris ayat di dalam Al-Quran yang mencatatkan cerita yang logik buat kita semua. Marilah kita bersama-sama renungkan setiap bait-bait ayat yang diceritakan. Salah satu surah di dalam Al-Quran yang menceritakan dengan lebih terperinci berkaitan dengan ibadat korban ini ialah dalam Surah As-Saffat, bermula pada ayat 99-111. Firman Allah S.W.T. bermaksud :
         Dan dia (Ibrahim) berkata, "Sesungguhnya aku harus pergi (menghadap) kepada Tuhanku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh." Maka Kami memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) dengan seorang anak yang sabar.
      Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Dia menjawab, "Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar." Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya di atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu kami panggil dia : "Wahai Ibrahim! Sungguh engkau telah membenarkan mimpi itu."
       Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian., "Salam sejahtera bagi Ibrahim." Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.
        Itulah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S. yang diceritakan oleh Allah S.W.T. kepada kita yang disebut sebagai "orang-orang yang datang kemudian." Begitulah ikhlasnya kata-kata yang keluar daripada mulut mereka berdua sehingga Allah S.W.T. mengabadikan dialog perbualan antara anak dan bapa ini di dalam al-Quran untuk dijadikan pengajaran dan panduan kepada kita.

Pengajaran 
Melalui penjelasan Allah S.W.T. dalam surah As-Saffat (Ayat 99-111) berkaitan dengan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S telah memberikan penjelasan sebenar tentang maksud penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya, seseorang yang menyerahkan dan menundukkan jiwanya, jasadnya, hartanya, hidupnya dan segala-gala yang dimilikinya hanya untuk Pencipta-Nya, itulah sebenarnya-benarnya seorang Muslim. Kita sebagai hamba di dunia ini, kita perlulah taat dan patuh kepada Sang Pencipta dengan sebenar-benarnya dalam apa jua keadaan dan memohon doa kepada-Nya sama ada kita berada dalam kesenangan dan dalam kesusahan.
        Kita tidak ada pilihan lain untuk merasa diri sebagai hamba, kecuali dengan ketaatan yang menyeluruh, tanpa soal, tanpa takut, tanpa ragu dalam menjalankan setiap perintah Tuhannya- seperti mana yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S. Tidak lupa juga kepada isteri Nabi Ibrahim dan emak Nabi Ismail A.S, Siti Hajar yang sabar dan pasrah ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas dahulu.
         Kerana itu Allah S.W.T membuat sebuah penyaksian, satu pengisytiharan yang mulia : "Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman." (As-Saffat : 111).

Kesimpulan
Betapa hebatnya pengorbanan mereka sehingga Allah S.W.T. mencatatkan kisah keluarga ini -baik dari segi percakapannya, perlakuannya, malah, lokasinya dalam ibadah haji dan korban serta diraikan pula sebagai Hari Raya Aidiladha. Hal ini membuktikan betapa pentingya kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S. ini kepada setiap Muslim agar dijadikan renungan dan pengabadian pada setiap tahun. 
      Jelaslah, ibadat korban yang dilakukan oleh ummat Islam pada setiap tahun bukanlah sekadar tentang amalan ibadat atau berhari raya sahaja. Sesungguhnya, ia juga berkaitan dengan kisah penghambaan, ketaatan, dan kecintaan kepada Allah S.W.T. Semoga kita mendapat membentuk dan membina jiwa kehambaan sama seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S dalam roda kehidupan kita seharian. Insya-Allah. 
     Akhir kata daripada penulis, semoga kisah yang dicoret oleh penulis ini sedikit sebanyak memberi ilmu dan panduan kepada Muslim yang masih jahil dan kabur berkaitan dengan ibadat korban dan Hari Raya Aidiladha. Sesungguhnya, KITA tidak akan memperolehi apa-apa ganjaran pahala, jika kita hanya melakukan ibadat korban, tetapi kita tidak mengetahui sebab akibat kenapa kita disuruh oleh Allah S.W.T untuk melakukannya dan apakah fadilatnya di sebalik ibadat tersebut?. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan