Sabtu, 1 Oktober 2016

Permainan Tuju Kasut

'Tuju Kasut' merupakan salah satu permainan yang popular semasa zaman kanak-kanak MK. Boleh dikatakan pada setiap cuti sekolah MK dan kawan-kawan selalu bermain permainan ini terutamanya pada waktu petang. Kadang-kadang bergabung dengan kawan-kawan perempuan (baca belum baligh)


  Permainannya mudah sahaja. Dalam permainan tuju kasut ini terdiri daripada dua kumpulan. Satu kumpulan menjaga kasut dan satu kumpulan membaling kasut. Pembahagian kumpulan dibahagikan sama rata melalui 'berbisik' secara pasangan. Jika tidak ada pasangan mereka terpaksa menggunakan 'objek'(biasanya daun) untuk diteka oleh ketua kumpulan masing-masing. 


   Cara permainannya. Ketua kumpulan perlu 'owsom' sesama sendiri bagi menentukan kumpulan mana yang perlu mulakan balingan kasut dahulu. Kumpulan yang menang, akan membaling kasut dahulu, manakala kumpulan yang kalah akan menjaga kasut.

   Kumpulan yang membaling kasut akan diberikan balingan sebanyak tiga kali untuk setiap orang sehinggalah kasut yang disusun menegak seperti piramid itu akan terjatuh dan terpisah. Jika semua ahli kumpulan gagal menjatuhkan kasut tersebut, permainan mereka akan 'batal' dan digantikan dengan kumpulan penjaga kasut tadi. Biasanya jarang berlaku masalah ini.

  Apabila salah seorang kumpulan pembaling tadi berjaya menjatuhkan kasut tersebut bermakna mereka berjaya, tetapi mereka perlu menyusun kasut itu semula seperti asal tadi dan setiap ahli perlu bekerjasama melakukannya. Jika mereka tidak menyusun kasut itu dengan betul seperti kedudukan asal, permainan mereka akan dibatalkan.

   Manakala, kumpulan penjaga kasut pula, selepas kasut berjaya dijatuhkan, mereka terpaksa membaling kasut ke arah badan kumpulan pembaling tadi untuk membatalkan permainan mereka. Mereka juga perlu ada strategi bagi mengelakkan kumpulan pembaling menyusun semula kasut tersebut. Jika mereka gagal bermaksud mereka terpaksa menjadi kumpulan penjaga kasut sekali lagi.

       Jika salah seorang kumpulan pembaling tadi berjaya menyusun semula kasut tadi seperti asal, dia perlu membuat pengiraan (tak ingat berapa) dan perlu melangkah di atas kasut tersebut sebagai berjaya atau menang dan mereka akan terus menjadi kumpulan pembaling untuk pusingan seterusnya.

        Permainan ini tidak ada pusingan atau set dan permainan ini bersifat bebas dan permainan ini berakhir apabila 'laungan azan' tanda masuk waktu maghrib. Jika masih belum tamat, permainan ini akan disambung pada hari seterusnya.

Panjang pula MK merepek kali ini! Entah betul atau tidak!

Selipar Jambang
Mat Korea,   30.09.16,     Taman Bkt. Lima Timur 19,     Sibu, Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan