Selasa, 15 Mac 2011

Kajian Novel Kabus Di Perbukitan ( Tingkatan 5 )

1.0 Tema dan Persoalan
Tema adalah idea atau persoalan pokok dalam sesebuah cereka. Dengan kata lain tema menjadi panduan bagi seseorang pengarang memilih bahan dalam cerita itu dan menyusunnya ( Glosari Istilah Sastera; DBP, 1988 ). Tema dalam sesebuah cerita tidak dapat dilihat. Pembaca hanya akan mengetahui sesuatu tema apabila habis membaca karya berkenaan.
       Berdasarkan defenisi tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa tema merupakan idea atau persoalan utama yang mendasari sesebuah karya, lazimnya membawa gagasan atau fikiran pengarang dan hanya dapat dikesan setelah karya berkenaan selesai dibaca. Sementara persoalan pula ialah permasalahan lain yang turut dipaparkan oleh penulis dan permasalahan itu berkaitan dengan tema.
1.1 Tema Novel Kabus di Perbukitan
Novel karya Mohamad Kholid Hamzah membawa tema jati diri orang Melayu. Tema ini diserlahkan melalui watak utama Faridah yang merantau ke New Zealand selama 25 tahun. Jati diri bangsa dan kekuatan pegangan agama menjadikan wanita Melayu dan penganut agama yang setia. Kekuatan ini membentuknya menjadi wanita glokal yang masih sedar akan asal usul diri. Walau bagaimanapun, akhirnya Faridah mengambil keputusan untuk kembali tinggal di Malaysia bersama keluarganya serta membina kehidupan yang bermakna di sana.
         Terdapat beberapa ciri yang ada pada watak utama dalam novel ini, iaitu Faridah yang jelas menunjukkan jati dirinya sebagai orang Melayu.Pertama, Faridah yang bermastautin di Rosewood, New Zealand tidak pernah melupai tanah tumpah darahnya, iaitu Malaysia walaupun sudah 25 tahun menetap di Rosewood.
Faridah teringat kampungnya di Parit Tiga, Sungai Besar. Dia teringat pada tanah kubur ibunya yang telah 25 tahun tidak dijenguknya, kubur Ayu dan Ghazali juga. Pada kehangatan matahari khatulistiwa semestinya. Ketika umur setengah abad, dia terasa ingin kembali ke tanah air tetapi keluarganya di sini, anak-anak, suami dan hartanya juga.
                                                                             ( Halaman 123 )
Siapa tidak terkenang akan tanah air yang menjadi tempat bermain, tempat membesar dan bersemadinya kasih yang berpanjangan.
                                                                              ( Halaman 124 )
          Kedua, Faridah masih lagi menggemari masakan orang Melayu, iaitu kari yang merupakan masakan kegemaran anaknya, Anne.
“Sudah mama. Hujung minggu ini kita masak kari kegemaran mama, boleh? Sudah lama Anne tidak merasai kari ayam mama itu,” pinta Anne.
      Faridah senang dengan permintaan anaknya walaupun bahan-bahan untuk masakan agak mahal. Cita rasa Melayu tidakkan hilang ditelan masa, asal tangannya harus rajin meladeni kehendak anak-anak.
                                                                          ( Halaman 121 )
         Ketiga, Faridah masih mengekalkan panggilan namanya dengan nama Melayu, iaitu Idah. Biasanya, apabila seseorang perempuan yang berkahwin dengan lelaki kristian, mereka akan menggunakan nama pangkal suami mereka. Namun begitu, ini berbeza dengan Faridah yang masih mengekalkan adat dan budaya orang Melayu Islam, iaitu tidak mengubah nama asalnya kepada nama suaminya. Hal ini menunjukkan bahawa Faridah merupakan seorang anak Melayu yang kuat jati dirinya walaupun berkahwin dengan lelaki asing dan tinggal di luar negara.
          Keempat, iaitu yang terakhir Faridah masih kuat berpegang kepada ajaran agama Islam yang menjadi pegangan kuat bangsa Melayu. Faridah dan Soleh Johnsons menerapkan ajaran Islam kepada anak-anak mereka, iaitu larangan minum arak. Selain itu, Faridah dan Johsons menghantar anak-anak mereka Anne dan Melina yang terletak 30 km dari rumah mereka di Rosewood.
Melina ketawa kecil. Dia tahu dia dilarang menjamah minuman keras oleh ibu bapanya tetapi di luar pengetahuan mereka dia sesekali mengambil minuman keras.
                                                                            ( Halaman 128 )
Melina berlainan sekali dengan Anne, sungguhpun mereka adik-beradik kembar seiras. Anne begitu taat sejak kecil lagi. Komuniti Islam di Christchurch menubuhkan sebuah sekolah rendah Islam yang beroperasi selepas waktu pejabat. Mereka berdua telah didaftarkan sejak berusia enam tahun lagi.
                                                                           ( Halaman 128 )
1.2 Persoalan Novel Kabus Di Perbukitan
Selain tema, dalam novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah juga memaparkan beberapa persolan yang berhubung kait dengan tema. Persoalan pertama ialah keretakan rumah tangga yang memisahkan kasih sayang anak-anak. Sebelum Kamaruddin berkahwin dengan Hamidah, dia telah mendirikan rumah tangga dengan Salmah, iaitu emak kandung kepada saudara kembar Rahayu dan Faridah. Namun begitu, perkahwinan mereka berdua berakhir dengan penceraian. Rahayu tinggal dengan ayahnya, Kamaruddin dan ibu tirinya, Hamidah, manakala Faridah tinggal dengan ibu kandungnya, Salmah di kampung. Penceraian ibu bapa menyebabkan hubungan mereka terpisah selama 20 tahun dan hanya sempat berjumpa dengan Rahayu sewaktu di hospital.                                        
          Persoalan kedua ialah kasih sayang antara ibu, ayah, dan anak. Kasih sayang antara ibu dan anak dapat dilihat melalui watak Salmah yang tidak pernah pudar walaupun berpisah dengan Rahayu selama 20 tahun. Mejar ( B ) Kamarudin meredah hutan belantara mencari anaknya, Faridah yang hilang di dalam hutan Cameron Highlands walaupun selama 20 tahun dia tidak pernah pernah bersua dengan Faridah setelah berpisah dengan Salmah. Selain itu, Hamidah amat menyayangi Rahayu walaupun hanya anak tirinya yang dibela bagai anak sendiri sejak berusia 7 tahun.
Hamidah mendidik Rahayu seperti anaknya sendiri.
                                                                        ( Halaman 30 )
Kamarudin mengeluh, dia sudah terlalu tua barangkali untuk meredah hutan bagai orang muda. Namun, demi Faridah yang entah di mana , dia rela sekurang-kurangnya dia telah berusaha.
                                                                       ( Halaman 70 )   
Rahayu terkenangkan hari-hari indah bersama-sama emak di kampung, jauh di barat laut Selangor yang begitu terkenal dengan sawah padi dan perkampungan nelayan. Emak rajin membawa mereka ke pantai Sungai Haji Dorani, mengutip lala dan kerang ketika air surut.
                                                                      ( Halaman 39 )
“Belum puas lagi rindu mak, kau sudah pun meninggalkan mak, anakku,” rintih Salmah begitu hiba sekali.
                                                                     ( Halaman 93 )
           Persoalan ketiga ialah perkahwinan campur pelbagai bangsa. Perkahwinan campur dalam novel ini melibatkan Faridah dengan Soleh Johnsons seorang bangsa Inggeris New Zealand, Melina dengan Benny seorang berbangsa Arab, dan Anne dengan Zain yang berbangsa Melayu.
Soleh Johnsons, yang bermata biru dan bertubuh 6 kaki 2 inci itulah yang mengikat kasihnya bertaut abadi di sini.
                                                                     ( Halaman 123 )
“Malam ini kita terus terbang ke Christchurch. Kalau bapamu bersetuju, kita aturkan untuk nikah di Pusat Islam Cristchurch lusa.”
                                                                    ( Halaman 133 )
Kenduri perkahwinan Zain – Anne Johnsons melakarkan sejarah paling manis buat keluarga Datuk Azrul.
                                                                   ( Halaman 235 )
           Persoalan keempat ialah pengamalan agama yang sederhana dan penuh unsur lemah lembut. Melina amat terpesona dan kagum dengan cara pengamalan Islam yang ditunjukkan oleh Ustaz Hassan Syukri ( Imam Masjid Marang ) dan Haji Awang penuh berhemah dan berlembah lembut. Haji Awang tidak agresif apabila bercakap tentang agama Islam.Pendapatnya tidak terburu-buru berbanding Mohd Attar rakan Benny yang sangat agresif, iaitu menggunakan unsur keganasan yang menakutkan.
Orang seperti Ustaz Hassan Syukri dan Haji Awang befikiran sederhana, radikal dan bertindak secara lembut. Mereka tetap berdakwah, mengembangkan syiar Islam secara tertib dan santun. Tidak mendesak seperti Mohamed Attar.
                                                                         ( Halaman 246 )
           Persoalan kelima ialah ketaksuban agama yang keterlaluan atau masalah kumpulan militan Islam. Ketaksuban agama ini dapat dilihat melalui watak Mohd Attar, iaitu sahabat Benny yang memperjuangkan Islam secara agresif. Dia telah ditangkap ketika membawa bom di Singapura.
“Jadi perjuangan perlu digerakkan, demi Iraq dan Palestin. Biar musuh-musuh Islam akan merasai bahananya,” sambung Mohamed Attar lagi. Lebih tegas dengan tekad yang pasti.
                                                                       ( Halaman 199 )
Mohamed Attar ditangkap sebaik sahaja keluar dari stesen MRT. Polis republik menemui sejumlah besar bom yang dikawal dengan alat kawalan jauh dalam beg galasnya. Polis republik percaya Mohamed Attar mempunyai misi meletupkan kasino yang baru dilancarkan minggu lalu di Pulau Sentosa.
                                                                     ( Halaman 210 )
             Persoalan terakhir ialah semangat kental untuk memajukan sektor pertanian. Azrul meneruskan usaha bapanya menjadi usahawan tani dan berjaya membina empayar perniagaannya sehingga mendapat penghargaan ( bergelar Datuk ) kerana usaha gigihnya memajukan industri tani di Sungai Besar. Usahanya diteruskan pula oleh anaknya, Zain yang meneruskan pengajian di bidang pertanian di New Zealand untuk meneruskan legasi pertanian tani ayahnya.
Azrul bercita-cita ingin membuka perniagaan berasaskan pertanian, melihat peluang yang besar dalam industri pertanian yang masih belum lagi diteroka oleh anak bangsa.
                                                                           ( Halaman 52 )
           Selain itu, suami Faridah, iaitu Soleh Johnson mengusahakan industri ternak kambing secara Islam di New Zealand dan usaha ini diteruskan oleh Zain yang berkahwin dengan anaknya, Anne.
Anne dan Zain di New Zealand, mengambil alih perusahaan dan penternakan keluarga Johnson. Mujurlah Zain siswazah pertanian, mampu menguasai selok-belok perniagaan dan pertanian yang rumit untuk diwariskan itu.
                                                                           ( Halaman 249 )

BIBLIOGRAFI
Mohd. Ismail Sarbini, ( 1993 ), Analisis Intensif Kesusasteraan Melayu Mereka yang   
     Tertewas, Petaling Jaya : Eastview Publication Sdn. Bhd.
Saari Abdullah, ( 2005 ), Ulasan Kajian Komsas Julia, Selangor : Eastview Publication Sdn.
    Bhd.
INTERNET





2 ulasan:

  1. Terima kasih, harap kajian yang saya buat betul, jika ada salah minta tolong ajar.

    BalasPadam