Isnin, 28 November 2011

1Malaysia : Slogan jangan tinggal Slogan

Selepas YAB Datuk Seri Najib Tun Razak diangkat menjadi Perdana Menteri yang ke-6 Malaysia menggantikan pengasas Islam Hadari, iaitu Tun Abdullah Badawi, beliau terus memperkenalkan konsep 1Malaysia sebagai slogan baru negara dalam memacu dan membangunkan nusa yang terdiri daripada multietnik. Dengan itu, berbagailah sektor kerajaan mahupun sektor swasta telah dikerah untuk mempromosikan gagasan baru pemimpin Malaysia ini, iaitu 1Malaysia. Banyaklah sektor ini menggunakan nama 1Malaysia antaranya Klinik 1Malaysia, Restoran 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Facebook 1Malaysia dan sebagainya. Banyak medium telah digunakan dalam menyampaikan semboyang baru ini, antaranya media elektronik ( Radio, TV, Internet, ), media massa ( Akhbar, majalah, buku, risalah ), pertandingan menulis lagu 1Malaysia, dan sebagainya. Tujuannya adalah satu, iaitu PM mahukan semua lapisan rakyat ( Pihak atasan hingga bawahan ) mengetahui dan memahami konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya dan mencapai objektif "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
      Penulis juga tidak ketinggalan mendapat tempias daripada slogan 1Malaysia ini, walaupun penulis tinggal jauh di ceruk pedalaman yang tidak pernah dilawat dan dikunjungi oleh Perdana Menteri sebelum ini. Penulis percaya dan yakin, mereka tidak pernah mendengar dan mengetahui tentang geografi tempat penulis. Sebagai rakyat Malaysia, gagasan atau slogan yang dibawa oleh pemerintah mesti diikuti oleh masyarakat jika ia tidak bertentangan dengan agama dan membawa kebaikan kepada manusia serta dilaksanakan dengan telus. Bagi penulis, penulis bersetuju dengan slogan yang dibawa di dalam konsep 1Malaysia, iaitu "Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Di bawah konsep ini, kerajaan mementingkan kebajikan rakyat dalam segala hal, tetapi dalam masa yang sama ia turut mementingkan pembangunan negara. Namun begitu, konsep itu sudah wujud dan selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat, kini menjadi persoalannya, bagaimanankah perlaksanaannya? Adakah perlaksanaanya sama dengan slogan yang dibawa di dalamnya. Kita tidak mahu slogan yang diperkenalkan oleh pemimpin untuk menarik minat rakyat untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka dan slogan yang diperkenalkan itu hanya semata-mata senjata untuk mengaburkan mata rakyat.
       Penulis tidak mahu slogan diperkenalkan oleh pemerintah hanya tinggal slogan tanpa memberikan keuntungan kepada rakyat, malah memboroikan perut pemerintah dan kroni-kroninya sahaja. Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya dan menjadi mangsa kepada pemerintah yang zalim terhadap kuasa yang dipegang. Dulu masa Tun Mahathir, Kita disogok dengan Dasar Pandang Ke Timur, menjenguk kemajuan teknologi Jepun, dan pada zaman Tun Abdullah Badawi, kita diwawarkan dengan Konsep Islam Hadari yang masih mengelirukan rakyat. Dan selepas kedua-dua PM ini jatuh, konsep-konsep itu tidak lagi disambung dan diwarisi oleh pengganti mereka selepas itu. Malah, konsep baharu pula diperkenalkan samalah dengan konsep 1Malaysia ini. Adakah konsep 1Malaysia ini akan kekal jika PM baru memerintah negara?. Sama-samalah kita lihat nanti. Penulis percaya apabila kita belajar daripada pengalaman, nescaya kita boleh menilai perkara-perkara berlaku di sekeliling kita, samalah dengan slogan-slogan yang baharu ini, jadi Tepuk dada, tapi bukan tanya selera... ( masing-masing mempunyai jawapan sendiri ).
      Sebelum penulis mengundurkan diri, penulis ingin menyampaikan sebuah sajak 1Malaysia yang penulis sendiri karang sebagai tanda sokongan terhadap slogan baharu, 1Malaysia. Penulis mengarang sajak ini berdasarkan isi-isi yang digariskan dalam mencapai hasrat dan cita-cita pemimpin bukan direka-reka sendiri oleh penulis. Segala komen atau pendapat yang diutarakan di dalam penulisan ini, datang daripada pendapat dan analisis sendiri penulis dan tiada kaitan dengan parti-parti politik, dan desakan pihak-pihak tertentu dan penulisan ini hanya sekadar curahan ketidakpuasan penulis semata-mata.

 


KAMI  WARGA 1MALAYSIA
SATU MALAYSIA!
Semboyan baharu pemimpin kita,
Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,
Mendukung satu cita-cita bersama,
Melestarikan perpaduan warga nusa,
Memelihara satu cara hidup yang demokratik.
SATU MALAYSIA!
Merintis satu warga yang adil,
Segala kenikmatan nusa  dirasai dinikmati bersama-sama,
Menghayati kepelbagaian kebudayaan bangsa Malaysia,
Yang kaya, dan bermacam-macam ragam dan corak.
SATU MALAYSIA!
Kami warga Malaysia bersumpah,
Akan menumpukan seluruh kudrat dan ikhtiar kami,
Untuk menggapai hasrat dan cita-cita murni,
Kepada Rukun Negara kami patuhi dan hayati,
Kepercayaan kepada Tuhan,
Kesetiaan kepada Raja dan Negara,
Keluhuran Perlembagaan,
Kedaulatan undang-undang, dan..
Kesopanan dan kesusilaan.
SATU MALAYSIA!
Hadirmu untuk meningkatkan perpaduan bangsa,
Yang selama ini menjadi tunjang kekuatan warga dan nusa,
Ianya menjadi bekalan berharga untuk menghadapi segala macam cabaran.
SATU MALAYSIA!
Pemimpin yang bijak dan bertanggungjawab amat ditagih,
Miliki kebolehan yang tinggi, mentaati masa, sedia berbakti kepada warga,
Berdedikasi dengan hati yang tulus,
Dan... disokong dan dihormati semua lapisan warganegara.
SATU MALAYSIA!
Hadirmu untuk melahirkan warganegara yang berintegriti,
Miliki sifat  yang jujur, berbakat, Al-amin, ikhlas, dan amanah,
Mahukan semua warga yang patuh dan taat kepada nusa,
Tanpa pedulikan kaum, agama, budaya, dan fahaman siasah,
Kita semua adalah bangsa Malaysia,
Kita semua adalah Anak-anak Malaysia,
Segala kenikmatan nusa perlu dirasai dan dinikmati bersama,
Yang daif dibantu, semoga sama-sama menikmati pembangunan nusa.
SATU MALAYSIA!
Perintis kepada kelahiran negara bangsa,
Melahirkan warganegara yang sama rata dan kekitaan,
Berkongsi nilai-nilai integriti, kebolehan, dedikasi, dan kesetiaan.
SATU MALAYSIA!
Nilai-nilaimu perlu dihayati difahami pemimpin dan marhaen,
Mudah-mudahan tercapai hasrat dan cita-cita nusa,
Tahu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati,
Penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan, dan integriti. 
SATU MALAYSIA!
Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,
Perpaduan kaum kita kukuhkan bersama,
Kita semaikan benih-benih patriotisma bersama,
Kebudayaan pelbagai kita suburkan bersama, dan...
Kita berganding bahu dan keringat membangunkan nusa bersama.
( Mohd Kodri Bin Ab. Malik, 20 Oktober 2011 )


1 ulasan:

  1. Akan tercapaikah ciri-ciri pemimpin yang dikatakan di dalam bait-nait sajak ini dalam melaksanakan konsep 1Malaysia yang diidamkan dan dicitakan.

    BalasPadam