Isnin, 19 Disember 2011

Impian Seorang Nelayan.




Cukup puitis dan bermakna bait-bait lirik di dalam lagu "Impian Seorang Nelayan" yang dicipta oleh komposer terkenal tanah air, iaitu Sifu atau Dato' M. Nasir. Lagu ini dicipta dan dinyanyikan semasa beliau bersama kumpulan Kembara kira-kira tahun 80-an dahulu. Lagu ini sudah lama dicipta dan dinyanyikan di tanah air, tetapi penulis baru sahaja mengetahui dan berkenalan dengannya, itu pun melalui video singkat yang berkaitan dengan menjawab isu permasalahan HUDUD yang menjadi isu 'panas' di laman sosial dan Youtube belakangan ini. Tetapi bukan lagu ini yang dinyanyikan di dalam video tersebut, tetapi lagu "Impian Anak Jalanan" yang dinyanyikan oleh watak utama dalam video tersebut, iaitu bekas pelakon, juri Maharaja Lawak, penulis lirik saudara Bob Lokman. Selepas mendengar lagu tersebut, penulis berasa tertarik dengan lirik beserta dengan melodinya sehingga menyebabkan penulis menggerakkan jari mencari lagu tersebut di laman Youtube. Penulis mendengar semua lagu-lagu yang dibawa oleh kumpulan Kembara ini dan semua lagu yang dibawa oleh mereka cukup menarik dan penuh dengan realiti kehidupan manusia. Memang sesuailah dengan nama kumpulan ini, iaitu KEMBARA.
       Ketika asyik menjejaki lagu-lagu Kembara di laman Youtube, mata penulis terlihat sebuah lagu yang berkaitan dengan laut dan nelayan nyanyian oleh kumpulan Kembara. Tanpa membuang masa, penulis terus menekan butang enter pada papan kekunci komputer riba penulis untuk mendengarnya. Pada melodi awal lagu ini telah mendendangkan nada sedih belum masuk lagi lagu yang dinyanyikan. Penulis mendengar dan menghayati bait-bait liriknya dan ingin tahu apa isi yang terkandung di dalamnya. Durasi lagu ini lebih kuran 3 minit 55 saat. Satu tempoh masa yang singkat, tetapi nilai dan pengajaran yang ada di dalamnya sangat sarat dan padat. Bait pertama dalam lagu ini dimulakan dengan seekor burung, iaitu Burung Camar yang hinggap di jejari. Burung camar merupakan sejenis burung yang sering bermain di persisir laut dan mencari makanannya di laut. Ini juga sama dengan 'Si Nelayan' yang turut mencari rezekinya sepanjang tahun di tengah-tengah laut. Di dalam lagu "Impian Seorang Nelayan" pencipta lagu ini ingin menceritakan kehidupan suka duka para nelayan mencari secupak rezeki di lautan dan suka duka dialami oleh mereka ketika mencari rezeki untuk keluarga. Nelayan juga, yang selama ini mencari dan memberikan sumber protein, iaitu ikan kepada kita semua dan kita janganlah melupakan dan sesekali memperlekehkan penat lelah usaha mereka, malah memandang mulia pekerjaan mereka.
        Walaupun, penulis sendiri yang lahir dan berasal daripada keluarga penoreh getah yang menjadi  sumber pendapatan tetap, namun penulis juga berbangga dan menghormati pekerjaan seorang nelayan, " Engkau anak laut, di sini tempatmu, di sini rezekimu." Itulah slogan yang sering dilaungkan untuk menunjukkan identiti seorang nelayan di mana-mana sahaja. Pengorbananmu amat tinggi, walau keringat senja yang kaubasahi, tika kulit dibaham mentari terik, di padang luas segala tenaga kaukerah, demi mencari rezeki buat UMMAT. Duhai generasi muda anak laut, usah kau malu dengan pekerjaan keluargamu, hargailah mereka, kenanglah jasa mereka apabila kau dewasa. Penulis lampirkan juga lirik lagu Impian Seorang Nelayan sebagai tatapan kepada pengunjung yang melayari laman blog penulis :

IMPIAN SEORANG NELAYAN
Artis : M. Nasir
Burung Camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung
Mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak
Laut Cina Selatan

Dalam mimpi berkata sang duyung
"Wahai nelayan kau anak laut
Di sini tempatmu
Di sini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan
Ada balasannya"

Mega mendong
Laut pun bergoncang
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
Sang mentari terlindung
Pantai tak kelihatan
Tawakkal jalan akhirnya

Dalam pondok kecil beratap rumbia
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil ia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan

Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini engkau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang
Jangan kau lupakan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan