Rabu, 21 Disember 2011

Antara Mitos dan Fakta : Satu Persepsi.

Penulis tertarik dengan artikel garapan oleh penulis prolifik, Hisyamuddin Rais tentang " Tujuh Mitos, tujuh pembohongan" yang tersiar di ruangan kolumnis Malaysiakini pada 1 Oktober 2009 lalu. Penulis sering membaca artikel-artikel yang ditulis oleh beliau setiap kali membaca berita di halaman Malaysia kini. Sebagai seorang yang sarat dengan pengetahuan dan pengalaman tentang dunia politik, beliau tidak kering untuk menyumbang idea yang bernas dan sinis melalui penulisannya, walaupun isi atau content dalam setiap artikel beliau lebih berat kepada kutukan kepada puak pemerintahan yang diteraju oleh United Malays National Organisation dan rakan-rakan pakatannya. Terlalu banyak sudah penulis membaca artikel-artikel 'panas' beliau  di ruangan Malaysiakini dan gaya dan ulasan setiap maklumat dalam artikelnya jauh lebih hebat dan matang berbanding ulasan maklumat yang dibawa oleh media arus perdana negara, terutama televisyen dan akhbar tempatan yang penuh dengan retorik dan mengampu memboroi perut. Namun, pembacaan kedua-dua sumber pro dan kontra telah memberikan ruang dan peluang kepada penulis membuat penilaian yang profesional terhadap sesuatu isu dan tidak menggunakan emosi untuk menghukum dan mengadili sesuatu isu yang mana  hujung pangkalnya tiada kebenaran yang jelas seperti yang terjadi dalam 'kancah politik tanah air' kita tercinta.

Apa itu mitos?
Artikel " 7 mitos, 7 pembohongan"  garapan hebat Hisyamuddin Rais mengandungi banyak maklumat tentang kepalsuan simbol-simbol negara yang dilakukan oleh United Malays National Organisation selama memerintah Tanah Melayu 54 tahun. Setiap omokan yang dicanang oleh mereka, kita ambil dan simpan di benak fikiran sejak di awal persekolahan hinggalah sekarang. Apabila penulis menjejaki usia remaja dan mengenal dunia Internet, barulah mengubah pemikiran dan persepsi penulis terhadap perkara yang dikatakan buruk oleh UMNO itu sebenarnya adalah baik sebenarnya. Sebagai contoh, dulu penulis percaya bahawa orang berhaluan kiri seperti Syamsiah Fakeh, Ahamad Boestaman, Pak Sako, dan lain-lain adalah pengganas dan pembelot negara, sebaliknya mereka sebenarnya adalah pejuang tulen untuk memerdekaan negara. Istilah 'pengganas' yang dilabelkan kepada mereka sebenarnya adalah helah daripada penjajah British untuk menyelamatkan diri mereka, kerana golongan kiri ini menentang kekuasaan mereka di Tanah Melayu. Banyak golongan ini ditangkap, dipenjara, dihukum mati, dan dibuang negara. Manakala, golongan kanan yang menerima dan merestui kekuasaan penjajah dibela dan diberikan layanan tahap VIP oleh British dan golongan ini diberi mandat dan seterusnya mewarisi kepimpinan negara berkiblatkan mazhab Barat yang jelas mengamalkan konsep Sekularisma dalam apa-apa jua bentuk pemerintahan. Perkara ini dapat kita lihat dengan jelas di dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.
        Mitos menurut kenyataan Hisyamuddin Rais bermaksud naratif yang dibuat bertujuan memesongkan hakikat. Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja. Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos. Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal daripada Tuhan, maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk. Walhal kalau Raja Jepun ini makan petai, kencing dia tetap hancing. Kalau Putera Charles tercirit, baunya tetap busuk.

 Mitos lwn fakta
Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca daripada tiga sumber.
Pertama: Pengumpulan pengalaman. 
Kedua: Kaji selidik. Ketiga: Ujian dalam bilik makmal.
     Sesuatu mitos akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada sesuatu itu mitos atau fakta. Jika sesuatu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau salah, maka ia masih di tahap teori. Satu ketika dahulu Letupan Besar atau Big Bang hanya satu teori. Hari ini ia telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat membuktikan teori ini. 
    Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari suatu zaman ke suatu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Adakah wujud mitos dalam negara kita?
Dalam negara kita, ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan, ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini diterima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua,tetapi dengan adanya internet, kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta. Cuba kita pelajari sesuatu daripada beberapa mitos yang penulis utarakan di bawah :

Mitos pertama
Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. Bohong. Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya, sila tanya orang Sabah dan Sarawak.

Mitos kedua
Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation.Bohong. Parti yang awal memperjuangkan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi. Apabila wujud, slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA!

Mitos ketiga
Kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah. Bohong. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata. Pada mulanya melawan Jepun, kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata, British tidak akan undur.

Mitos keempat
Lagu Negaraku dikatakan lagu kebangsaan kita. Bohong. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Penciptanya orang Perancis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857).
Nama asal lagu ini, Memula Moon. Bertukar menjadi Terang BulanDi zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, radio republik itu memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku Abdul Rahman yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negaraku.

Mitos kelima
Bendera Jalur Gemilang – namanya baru berusia lima tahun. Ia adalah tiruan bulat-bulat bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled–Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika. Buktinya, lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara atau Melayu. Warna merah dan putih adalah motif Nusantara - merah ertinya darah rakyat dan putih pula hati rakyat. Motif Nusantara ini wujud pada bendera Singapura dan Indonesia.

Mitos keenam
Wujud perpaduan Melayu. Bohong. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan Cina, perpaduan Arab, perpaduan Itali, perpaduan India. Mitos perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu daripada 'ditelan' oleh Cina dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampung yang takut pada hantu memanggil bomoh untuk menghalau hantu. Ini cara klasik sesuatu mitos bergerak - takut-takutkan orang ramai. Apabila orang ramai takut, maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi pelindung, walhal yang menimbulkannya gerombolan ini juga.

Mitos ketujuh
Malaysia negara unik. Bohong. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar. Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia ini unik. Hakikatnya Malaysia tidak unik; bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang-bilang kaum, berbilang-bilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolithic dalam dunia ini – semua ada kepelbagaian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

Teknologi boleh memecahkan mitos. Lihatlah betapa teknologi dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah. Kalau dulu kita tidak tahu asal-usul lagu Negaraku. Hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai, pecah.
   Dokumen-dokumen sejarah ini semuanya boleh kita baca melalui internet.Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos-mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknologi akan membebaskan manusia daripada diperangkap dan dibelenggu mitos-mitos.Tanpa mitos, manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional. Jadi, kepada sesiapa yang di luar sana yang masih mengekalkan kefahaman dan kepercayaan feudalisme yang penuh dengan unsur-unsur mitosnya yang dibawa oleh United Malays National Organisation, perlu mencari dan mengkaji semula fakta dan menghasilkan pemikiran dan teori yang baharu demi kepentingan diri, agama, bangsa, dan negara. Tepuk dada, tanya...

*Penulisan ini hanya kritikan dan pandangan daripada penulis sendiri, tiada kepentingan kepada mana-mana parti politik dan tidak mahu menjatuhkan maruah dan kedudukan pihak-pihak tertentu. Sekadar menjelaskan kebenaran, menhapuskan kepalsuan. Penulis sendiri masih dalam proses belajar dan masih baharu dalam dunia penulisan. Segala kesilapan harap ditegur dan dimaafkan, jangan bertindak emosional kerana itu merugikan diri kita sendiri.

Rujukan : Hisyamuddin Rais, Tujuh Mitos, Tujuh pembohongan, Malaysikini : 1 Oktober 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan