Isnin, 28 November 2011

I.S.A. Neraka Dunia

Apa itu Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA )?
ISA merupakan suatu akta yang mempunyai kuasa penangkapan dan penahanan yang dikenakan kepada seseorang warga yang melakukan kesalahan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.
         Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
           Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah hanya boleh melihat semula perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
       Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad. 
         ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai "keganasan putih" (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka. Akta ini merupakan satu alatan yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.
          Pada tahun 1989, pindaan terhadap akta tersebut telah menggariskan bahawa keputusan serta kuasa Menteri di bawah akta tersebut adalah bebas dari kajian semula kehakiman. Sebelum akta ISA diperkenalkan di Malaysia, Ordinan Darurat 1948-1960 telah diisytiharkan oleh pihak British bagi menangani keganasan komunis.
Bilakah sejarah ISA bermula di Malaysia ?
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menahan sesiapa pun tanpa merujuk kepada mahkamah. Sebaliknya tahanan mempunyai hak representasi di hadapan Lembaga Penasihat yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
     Kerajaan Malaya telah menggubal ISA bagi menyambung Ordianan Darurat 1948 hanya untuk menentang ancaman komunis. Setelah diperkenalkan pada tahun 1960 ( berkuatkuasa pada 1 Ogos 1960 ), Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, telah memberi jaminan di Parlimen bahawa akta tersebut akan digunakan secara bertanggungjawab dan hanya kepada komunis, pengganas, dan anasir subversif. Pemberontakan komunis berakhir secara rasmi pada tahun 1989 apabila Perjanjian Keamanan Haadyai ditandatangani.
        Akta tersebut merupakan senjata yang dikekalkan oleh pihak pemerintah meskipun selepas namanya ditukarkan kepada dua lagi undang-undang lain selepas, ianya akan dimansuhkan pada sidang Parlimen Oktober 2011 ketika ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 15 September 2011 yang lepas. Jelas PM lagi, dua akta baru yang akan menggantikan ISA lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih efektif dalam mengatasi masalah keganasan.
Seksyen kehakiman manakah yang digunakan untuk menahan individu di bawah ISA?
Seksyen-seksyen berkaitan Akta ini adalah seperti berikut:
Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: "Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya."
    Seksyen 8. Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang "(1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun"
Di manakah tempat tahanan ISA dan berapa tempoh penahanan yang dikenakan kepada mereka?
Seseorang individu yang dikenakan ISA, biasanya akan dipenjarakan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kamunting.

        Pada 60 hari pertama, seseorang yang ditahan di bawah ISA tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.

      Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka. 
      Pembebasan. Kendatipun kerajaan boleh membebaskan tahanan tanpa bersyarat, dalam sesetengah kes, ia telah menuntut mereka yang dibebaskan untuk menbuat pengakuan umum di televisyen dan radio.
Berapa jumlah tahanan yang ditahan di bawah ISA sejak akta ini diperkenalkan pada 1 Ogos 1960?
Sejak diperkenalkan pada Ogos 1960, seramai 10,662 orang telah ditahan di bawah pelbagai undang-undang pencegahan. Seramai 4,139 orang telah ditahan di bawah ISA. Seramai 2,066 orang telah dikenakan sekatan terhadap kawasan bermastautin serta aktiviti harian mereka dan seramai 12 orang telah dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan di bawah ISA antara tahun 1984-1993.
        Pada 17 November 2007, seramai 74 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak di bawah akta ISA. Berikut adalah bilangan tahanan ISA dari tahun 2004-2009 :
Punca/Kesalahan
Bilangan
Catatan
Jemaah Islamiah
18 orang
Mereka dikaitkan dengan Al-Qaeda.
Daulah Islamiyah/ Daulah Islam Sabah
17 orang
Beroperasi di Tawau, Sabah keturunan Filifina.
Pemalsuan
17 orang
Wang syiling dihapuskan
Pemalsuan pasport rakyat China
29 orang

Penyeludupan PATI


Gerakan Militan Selatan Filifina, Pejuang Pemisah Selatan Thailand.
7 orang

Agen perisik asing
7 orang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan