Khamis, 24 Mei 2012

Unggun Kebahagiaan 230512


1. Semalam 23 Mei 2012, penulis berpeluang menghadiri satu program deklamasi  puisi yang bertema ‘Unggun Kebahagiaan”. Program deklamasi puisi ini dianjurkan oleh pelajar kursus Teori dan Kritikan Sastera di bawah bimbingan Prof. Madya A. Halim Ali. Unggun Kebahagiaan dipilih sebagai tema pada malam tersebut kerana bersempena Hari Ibu yang disambut beberapan hari lalu. Paling manis, pada majlis deklamasi puisi itu, buku antalogi ‘Unggun Kebahagiaan’ yang mengandungi sajak-sajak berkaitan dengan ibu yang dikarang oleh para pelajar dan pensyarah UPSI, serta beberapa penulis nasional turut dilancarkan. Majlis pelancaran buku antalogi tersebut disempurnakan oleh Ketuan Puteri UMNO daerah Hulu Selangor (tidak ingat namanya).

2. Sebelum majlis perasmian dan pelancaran buku antalogi Unggun Kebahagiaan (diselenggara oleh A. Halim Ali) program dimulai dengan beberapa persembahan puisi yang disampaikan oleh para pelajar dan pensyarah UPSI. Penulis tertarik dengan sebuah puisi yang bertajuk ‘Rumah Ibu’ yang ditulis dan disampaikan oleh Ahmad Suhaimi Mohd. Noor. Penulis tidak mengenal beliau, tetapi penulis amat tertarik dengan tajuk puisi yang disampaikannya. Di dalam sajak Rumah Ibu ini, beliau (Ahmad Suhaimi Mohd. Noor) kreatif memasukkan elemen politik dan keluarga dalam sajak tersebut. Beliau menceritakan setiap kali tiba pilihan raya, ibunya akan menaikkan bendera bulan purnama di pagar rumahnya dan dikeliling dengan bendera dacing biru di pagar rumah jirannya.Dan pilihan raya lepas, ibunya sekali lagi menaikkan bendera bulan sabit berlatar biru muda.

3. Menariknya, abangnya (penulis) berfahaman politik kontra,iatu di pihak kerajaan (UMNO/BN). Beliau menceritakan bagaimana keadaan abangnya setiap kali pilihan raya dan ketika ibunya memasang bendera, abangnya akan berkerut dahi dan senget topi dacingnya.

4. Beliau juga menceritakan setiap kali pulang ke rumah (balik mengundi) beliau akan bersembang politik dengan abah dan abangnya. Demi menghormati ibunya, beliau tidak pernah melawan atau meninggi suara apabila bercakap (politik) dengan abah dan abang-abangnya.

5. Setelah kematian ibunya, setiap malam beliau sering berdoa kepada Allah memohon kesejahteraan kepada roh ibunya dan ayahnya. Beliau dan adik beradik selalu berdoa dan  mengadakan tahlil untuk ibu bapa mereka.

6. Di akhir sajaknya, beliau tekilan kerana tidak dapat lagi melihat karenah ibunya menaikkan bendera bulan purnama dan bulan sabit biru pada pilihan raya ke-13. Hilanglah seorang pengundi di DUN Behrang.

7. Kesimpulannya, walaupun kita berbeza fahaman politik, kita tidak semestinya berbeza fahaman dalam bidang lain termasuklah dalam soal kekeluargaan.Hubungan adik beradik sudah dianggap mencincang air tidak putus. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang hayat,dan syurga di bawah telapak kaki ibu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan