Ahad, 6 Mei 2012

Komentar Mei 2012

Bendera Angola
Lagi Isu penindasan Umat Islam 

1. Setiap detik masa berlalu, Umat Islam di seluruh dunia ditindas dan dizalimi oleh kaum musyrikin. Penindasan dan kezaliman yang berlaku dilakukan dalam pelbagai bentuk dan cara seperti pembakaran masjid-masjid, pembakaran kitab suci Al-Quran, pembunuhan beramai-ramai, penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan sebagainya. Penindasan ini berlaku di serata muka bumi dan merentas benua yang mempunyai Umat Islam di dalamnya. Paling banyak menerima tempias daripada bahana ini ialah penduduk minoriti Islam seperti di Perancis, United Kingdom, Denmark, Belanda, Amerika Syarikat, dan sebagainya.

2. Penulis merujuk kepada  akhbar Harakah Edisi Isnin (3 Mei 2012) muka surat 15 yang membongkar saudara Islam kita di Afrika, iaitu di Angola telah ditindas dan dizalimi oleh pemerintah negara tersebut. Isu ini telah mengejutkan penulis sendiri kerana jarang sekali penulis mendengar penindasan dan kezaliman yang berlaku kepada komuniti Islam di Afrika. Bagi penulis, pergelokan dan konflik di Afrika berlaku hanya disebabkan oleh dua isu, iaitu perebutan kuasa dan perang saudara.

3. Isu-isu berkaitan dengan penindasan dan kezaliman terhadap komuniti Islam banyak berlaku di negara-negara Eropah. Misalnya, di Denmark, di mana tercetus konflik yang begitu panjang apabila seorang karikatur di negara tersebut telah melukis potret Nabi Muhammad S.A.W. dan menghina pesuruh Allah S.W.T tersebut. Di Perancis, isu hangat yang diperhebohkan ialah berkaitan dengan pemakaian HIJAB oleh kaum wanita Islam. Kerajaan negara tersebut bermati-matian untuk mengharamkan pemakaian wanita Islam tersebut. Dan ini telah melanggar kebebasan agama di negara tersebut.

Apa yang berlaku di Luwanda, Angola?

1. Badan Hak Asasi Manusia PBB di Angola baru-baru ini telah membongkar satu tindakan pihak berkuasa negara itu yang mengamalkan penindasan dan tekanan terutama kepada peduduk yang beragama Islam di negara tersebut.

2. Antara penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara tersebut ialah dengan menutup tempat-tempat beribadah Umat Islam di sana. Tuduhan berat pihak berkuasa negara itu yang melabelkan jemaah sebagai pengganas dan isu ini diperhebahkan di media-media massa negara itu.

3. Penutupan rumaha-rumah ibadat pada tahun 2011 telah menyebabkan Umat Islam Angola tidak bisa melakukan sebarang aktiviti berunsurkan Islam. Menurut sumber, sebanyak empat buah masjid telah ditutup tanpa diberikan sebarang alasan yang munasabah. Bagi Umat Islam Angola, tindakan pihak berkuasa  tersebut telah mengguris hati dan perasaan mereka. Paling menyedihkan penulis, umat Islam Angola ini dianggap sebagai rakyat kelas kedua.

Maklumat Aktivis Hak Asasi PBB di Angola :

1. Menurut aktivis Hak Asasi PBB ke Angola, Asma' Jehangir, pihak berkuasa Angola telah melakukan kesilapam besar kerana telah mengguris sensitiviti umat Islam, iaitu dengan menghalang segala bentuk ibadat yang merupakan salah satu hak kebebasan beragama di negara Afrika tersebut.

2. Tambahan beliau lagi, pihak berkuasa Angola juga telah memungkiri janji yang mereka akan membuka masjid yang telah ditutup itu pada akhir 2010. Penutupan tersebut juga tidak mematuhi undang-undang yang dibenarkan.

3. Bagi Umat Islam yang dipenjara atas tuduhan terlibat dalam keganasan tanpa ada bukti kukuh, mereka tidak dibenarkan dibela, malah lebih teruk mereka dilayan seperti binatang, dan berbagai-bagai lagi tindakan yang begatif. Menurut Asma', sepatutnya mereka ini perlu diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap tuduhan yang dilontarkan oleh pihak berkuasa negara tersebut.

4. Komuniti Islam di Angola berjumlah 90,000 orang daripada jumlah 12 juta rakyat negara tersebut. Jumlah ini berdasarkan bancian 2011. Namun, agama Islam masih belum diperakui secara sah dalam perlembagaan negara dan penganutnya menghadapi kesukaran dalam banyak hal yang berkaitan dengan aktiviti harian mereka. Katanya (Asma'), umat Islam di Angola diibaratkan sebagai penumpang atau pendatang luar yang tidak berhak tinggal di negara mereka sendiri.

5. Khabar angin mengatakan pihak berkuasa Angola mahu menghantar mereka keluar ke beberapa negara jiran seperti Nigeria, Niger, Senegal, kerana negara-negara tersebut terdiri daripada masyarakat majoriti Umat Islam. Kata mereka lagi, Islam merupakan agama baru di Angola dan masyarakatnya masih belum dapat menerimanya satu pegangan dan amalan hidup.

6. Hal ini demikian kerana, majoriti penduduk Angola beragama Kristian Katolik yang menjadi agama nenek moyang, meskipun berlaku perang saudara dan konflik dengan beberapa negara jiran 30 tahun dahulu.

7. Kita patut bersyukur hidup dan membesar di negara Malaysia. Oleh itu, kita perlu menjaga dan memelihara keamanan dan kesejahteraan yang dikurniakan oleh Allah S..W.T dan jangan sesekali perkara mungkar berkudis di dalam negara kita. Keamanan dan kesejahteraan yang sedang dinikmati ini, kita perlu mengambil ruang ini untuk mendoakan kesejahteraan saudara se-Islam kita yang sedang ditindas dan dizalimi di seluruh dunia. Berilah bantuan seadanya demi menjaga dan memelihara agama Allah S.W.T. ini.

Mutiara Wahyu :

Firman Allah Taala bermaksud : "Sebenarnya orang-orang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya Kami tidak  akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah Al-Kahfi, 30)






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan