Khamis, 31 Mei 2012

Kepupusan bahasa etnik di Bangladeh : Bagaimana di Malaysia?


Semasa dalam perjalanan pulang ke bumi ilmu Tanjung Malim dari kampung halaman tercinta, Kampong Kuak Hulu penulis penulis sempat membaca sebuah artikel tentang ‘Kepupusan bahasa etnik di Bangladesh’. Kebetulan pada hari tersebut (selasa 29 Mei 2012) bas dari Grik ke Ipoh pukul 11 rosak dan penulis terpaksa menunggu 2 jam lagi di stesen bas tersebut. Sementara menunggu bas yang masih lama lagi, penulis membaca artikel berkaitan kepupusan bahasa tersebut. Keseluruhan artikel tersebut menceritakan punca terjadinya kepupusan bahasa etnik di Bangladesh, negara yang mendapat kemerdekaan dari Pakistan pada tahun 1971, di mana  bahasa menjadi salah satu punca utama daripada peperangan antara  kedua-dua negara tersebut.

1. Bahasa utama di Bangladesh ialah bahasa Bangla. Kerajaan Bangladesh hanya menumpukan bahasa Bangla dalam sistem pendidikan dan pekerjaan dan mengabaikan bahasa-bahasa kaum etnik yang lain.

2. Didapati di Bangladeh terdapat 30 jenis bahasa pertuturan dan 20 daripadanya hampir pupus kerana jarang digunakan dalam interaksi seharian.

3. Ditambah pula 95% jumlah rakyat Bangladesh menggunakan bahasa Bangla. Hal ini demikian kerana, bahasa Bangla merupakan PASPORT tunggal ke arah pendidikan dan memperoleh kerjaya yang bagus.

Bahasa etnik Bagladesh :

1. Salah satu bahasa etnik Bangladesh ialah bahasa Laleng. Bahasa ini digunakan oleh 2,000 orang daripada suku kaum Patra yang menetap di bahagian timur laut Bangladesh. Kelemahan bahasa kaum Patra ini adalah bahasa mereka tidak mempunyai sebarang bahan bertulis atau skrip untuk dijadikan rujukan. Mereka hanya bergantung kepada cerita-cerita lisan, kisah dongeng rakyat, puisi dan lagu-lagu rakyat. Tambahan pula, cerita-cerita lisan, kisah dongeng rakyat, puisi dan lagu-lagu rakyat tidak ditulis menyebabkan generasi muda sekarang lupa kepada budaya dan bahasa ibunda.

2. Pensyarah Linguistik Universiti Dhaka, Prof. Shourav Sikder dalam bukunya, Indigenous of Bangladesh, telah menyenaraikan bahasa-bahasa kaum etnik Bangladesh, iaitu bahasa Mahali, Malto, Razaor, dan Rajbangshi yang kini tidak lagi digunakan oleh kaum-kaum etnik di Bangladesh.

3. Menurut beliau, hanya bahasa daripada dua suku kaum masih digunakan kerana mempunyai bahan cetakan bertulis. Salah satu punca menyebabkan kepupusan bahasa dalam kalangan puak-puak tertentu berpunca daripada mereka tidak menyayangi bahasa ibunda mereka sendiri.

4. Kepupusan bahasa kaum etnik di Bangladesh telah memberi kesan kepada kepelbagaian budaya dalam kehidupan hingga menyebabkan sikap toleransi semakin pudar dalam diri mereka. Kata salah seorang kaum etnik di Bangladesh, Patra  “Bahasa ibunda saya yang indah telah hampir mati.” Golongan muda tidak mempedulikan bahasa ibunda mereka. Bagi mereka pekerjaan dan pendidikan adalah segala-galanya.

~  Mutiara Kata  ~

1. Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya, tiada kebenaran pada manusia yang tidak dapat melihat kenyataan.
(Muhammad Salleh)
2. Jika orang Melayu hendak menjadi bangsa yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermat-cermatnya bahasa Melayu, di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu.”
(Munsyi Abdullah)

Rujukan
Akhbar KOSMO, Selasa 29 Mei 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan