Sabtu, 2 Jun 2012

Catatan Mukadimah Jun 2012


Apa yang dikatakan Fitnah?

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, fitnah membawa maksud tuduhan (Khabar, kisah dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dll. Perkataan fitnah ini pula dapat menerbitkan beberapa perkataan lain seperti menfitnah, menfitnahkan, fitnah-menfitnah, pemfitnahan, dan penfitnah dan setiap perkataan-perkatan tersebut memberikan makna yang berbeza-beza pula.

            Fitnah merupakan komunikasi kepada satu orang atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas suatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain berdasarkan atas fakta palsu yang dapat memengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang, manakala dalam bahasa Arab kata ‘fitnah’ diserap dari bahasa Arab, dan pengertian aslinya adalah ‘cubaan’ atau ‘ujian’.

      Kesimpulannya, fitnah membawa maksud tuduhan yang diada-adakan oleh sesetengah pihak kepada seseorang dengan tujuan memberikan tuduhan negatif berdasarkan fakta palsu yang dapat meruntuhkan penghormatan (maruah), wibawa, dan reputasi seseorang secara terbuka kepada masyarakat umum.

Gejala fitnah yang berlarutan kini
            Apa yang hendak penulis kongsikan dalam blog edisi Jun adalah mengenai isu “Fitnah”. Dewasa ini terlalu banyak fitnah yang kita lihat dan yang kita dengar saban hari. Setiap hari di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen kita sering dimomokkan dengan cerita-cerita fitnah seolah-olah ianya sudah menjadi budaya dan permainan. Ramai antara kita asyik membuka mulut untuk menabur fitnah. Nauzubillah. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

            Elok juga kita muhasabah diri kita mengenai perkara ini. Ketahuilah bahawa penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.

Pandangan Islam tentang fitnah

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud :

 Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan.
(al-Baqarah: 191)
Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah.
(al-Qalam: 29)
            Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berbual atau bergaul, iaitu input dan output. Pada kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima. Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun, iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita peroleh. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(al-Hujurat: 6)
            Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang. Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu memastikan kebenarannya atau memahami maklumat tersebut.
         Banyak pihak yang turut terlibat dalam menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan (Nauzubillah), banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu (Astagfirullah). Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan ataupun syarikat. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Fitnah yang berlaku dalam sejarah Islam

Dalam sejarah Islam terkenal sebuah kisah besar tentang fitnah yang menimpa ‘Aisyah RA isteri Rasulullah S.A.W. yang telah difitnah berbuat selingkuh atau melakukan perkara sumbang dengan salah seorang sahabat bernama Shafwan bin Mu’aththal. Orang-orang munafiq menghembuskan fitnah itu dalam rangka mengaibkan keluarga Rasulullah S.A.W.

            Dengan menyebarkan fitnah itu mereka berharap bahawa Rasulullah S.A.W. beserta keluarganya akan kehilangan kepercayaan daripada kaum muslimin. Maka untuk menggagalkan kepercayaan yang baik daripada kaum muslimin, orang-orang munafiq menyebarkan fitnah untuk menghilangkan kepercayaan kaum muslimin kepada Rasulullah S.A.W. dan keluarganya. Begitu besarnya bahaya fitnah tersebut terhadap kegiatan dakwah Rasulullah S.A.W. maka Allah merasa perlu membersihkan nama ‘Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat-Nya, yang bermaksud :

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.“
(Surah An-Nuur: 12)
“Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan.”
(Surah An-Nuur : 15-16)
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.“
(Surah Al-Baqarah ayat 191)
Fitnah menurut Imam Ghazali rahmatullahalih

Imam Ghazali rahmatullahalih dalam buku Ihya Ulumuddin, menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud :

“Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?
Sahabat menjawab : Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Lalu Baginda Sallallahu’alaihi Wassalam meneruskan sabdanya :
Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat : Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut : “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.”
(Hadis riwayat Abu Hurairah)
Penyebaran fitnah dilarang oleh Allah S.W.T

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujraat, ayat 12)
            Oleh itu, setiap kita umat Islam perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah. Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

            Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Belajar daripada kesan fitnah

1. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman bin Affan RA, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

2. Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

3. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Kesimpulan

Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.

            Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Ya Allah jauhkan kami daripada sifat ini Ya Allah! dan amalkan doa ini :

“Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari seksa neraka Jahannam. Aku berlindung kepadaMu dari seksa kubur. Aku berlindung kepadaMu dari fitnah Dajjal yang pembohong. Aku berlindung kepadaMu dari fitnah hidup dan fitnah mati. Aku berlindung kepadaMu dari banyaknya dosa dan hutang. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan fitnah kaya dan kejelekan fitnah miskin. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan pendengaran, penglihatan, lisan dan hatiku. Aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan kepada umur yang terlalu tua. Dan Aku berlindung kepadaMu dari mati dalam keadaan engkar kepada agamaMu.“

Rujukan
Kamus Dewan Edisi Keempat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan