Rabu, 8 Disember 2010

DALAM KENANGAN

AL-FATIHAH
Pada 6 Oktober 2010 yang lalu, genaplah 2 tahun pemergian abang penulis, iaitu arwah Mohd Shari bin AB Malik.Beliau merupakan anak ketiga daripada enam orang adik beradik penulis.Beliau meninggal dunia selepas 10 tahun kematian arwah ayah penulis, iaitu pada tahun 1998.Ketika itu penulis baru berumur 9 tahun dan berada di darjah tiga.Arwah abang penulis ini meninggal dunia akibat terkibat dalam satu kemalangan jalan raya di hadapan sekolah.Beliau dilanggar oleh pelumba haram "mat rempit" ketika dalam perjalanan untuk membeli kad nilai tambah telefon bimbit.Kemalangan tersebut mengakibatkan salah seorang pelumba haram, iaitu penunggang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala rakannya mengalami kecederaan.Abang penulis meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan yang teruk di bahagian dalam perut.Arwah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12:24 AM bersamaan 06 Oktober 2008.Jenazah arwah dimandikan dan disemadikan di sebelah kubur arwah bapa penulis, iaitu di tanah perkuburan Kampung Kuak Hulu.


   Sebelum meninggal dunia, arwah turut menunjukkan perkara-perkara pelik, iaitu arwah sempat memberitahu rakannya bahawa dia akan tahu bila dia akan mati, selalu memandikan burung-burungnya, memandikan kucing, membasuh motosikal,dan malam terakhir sebelum dia meninggal, arwah keluar daripada bilik dan menghisap rokok di hadapan ahli keluarga penulis, sebelum ini dia hanya melakukannya di dalam bilik.Selepas kematiannya, emak penulis menjumpai beberapa gulung kertas surat khabar di dalam almarinya.Hampir keseluruhan gulungan akhbar itu berkaitan dengan kematian dan juga terdapat nota yang ditulis olehnya berkaitan dengan kematian. 


GAMBAR KENANGAN ARWAH SEMASA KENDURI PERKAHWINAN DI KAMPUNG.
ARWAH MEMANG MENYUKAI KUCING.
GAMBAR ARWAH BERSAMA ADIK BONGSU PENULIS, IAITU APIK.
   
  Semasa arwah hidup, beliau tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.Sebelum itu, beliau pernah bekerja kilang di Penang bersama dua lagi abang penulis.Namun, beliau berhenti kerja dan pulang ke kampung.Pekerjaan terakhir beliau ialah menghantar hasil jualan getah seorang pemborong getah di kampung.Lesen lori yang dimilikinya membolehkan beliau menghantar hasil getah ke kilang besar di Sungai Petani.Namun, dia hanya sempat bekerja dalam beberapa minggu sahaja sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya.Beliau juga mendapat tawaran daripada rakannya untuk bekerja sebagai pembawa lori makanan dari kedai ke kedai.Beliau akan mula bekerja di kilang tersebut selepas hari raya aidilfitri 2008, namun, pada hari keenam syawal beliau meninggal dunia.Segala pelengkapan seperti motosikal telah dibaiki dan dicuci untuk dijadikan pengangkutan ke tempat kerja.Namun, kita hanya mampu merancang, Allah S.W.T. yang menentukan segalanya.

    Selain itu, arwah juga meminati pelbagai hobi di masa lapang ketika beliau masih hidup.Misalnya, memanggil burung sita, membuat sarang burung, kerja-kerja eletronik, menjala ikan, memancing ikan, dan banyak lagi.Pelbagai peralatan dimiliki olehnya bagi melakukan aktiviti-aktiviti ini.Kini, semua peralatan ini hanya tinggal kenangan sahaja kerana hanya beliau seorang sahaja yang gemar melakukan aktiviti-aktiviti tersebut berbanding ahli keluarga penulis yang lain.

                                                   
Sungguh cepat masa berlalu, kini telah genap dua tahun arwah meninggalkan keluarga penulis untuk bertemu dengan pencipta-Nya.Pemergiannya juga sekelip mata, penulis berasa baru semalam arwah bersama keluarga dan para teman duduk berborak dan bergurau senda.Sebagai seorang Islam, penulis redha dengan qada' dan qadar Allah S.W.T., yang pergi tetap akan pergi dan tidak akan kembali, manakala yang hidup tetap meneruskan hidup.Kita semua akan merasa detik kematian cuma kita tidak tahu bila dan di mana kita akan mati.Sebelum penulis menutup catatan, penulis ingin mengucapkan Al-fatihah dan berdoa kepada Allah S.W.T. supaya menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh dan beriman.Hanya doa sahaja yang dapat menghubungkan arwah dengan penulis, semoga penulis dapat berjumpa dengan arwah di hari akhirat insyallah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan