Selasa, 7 Disember 2010

HARI RAYA 2010

Gambar ini ditangkap pada hari raya Aidilfitri 2010.Lokasinya ialah di halaman rumah Pak Cik Yi ( Mohd Nasri ) Kg Tok Balai.Kebetulan hari raya aidilfitri pada tahun ini disambut pada hari jumaat, umat Islam, terutama kaum Adam hanya beraya separuh hari saja, iaitu sampai pukul 12.30 p.m. kerana mereka kena pergi ke masjid untuk menunaikan fardu solat jumaat berjemaah.Kebetulan pada hari itu, kami tidak sempat untuk mengunjungi semua rumah, kami telah bersepakat untuk menyambung beraya ke rumah yang belum dikunjungi selepas selesai solat jumaat.
    Rumah pertama yang kami kunjungi selepas solat jumaat ialah rumah Pak Cik Yi.Kami seramai 16 orang termasuk penulis menjamu makan tengah hari dengan juadah kuih hari raya yang pelbagai jenis termasuk kuih tradisional, kuih moden, dan kuih tradisional daripada bangsa lain.Kuih-kuih ini menyelerakan kami tambahan pula dimakan waktu tengah hari yang terasa lapar dan dahaga.
         Selepas selesai menjamu selera, kami bersalaman dengan tuan rumah untuk meminta maaf jika terdapat sebarang kesalahan dan terlepas kata.Selepas itu, rakan penulis mengajak rakan-rakan yang lain untuk bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenang-kenangan pada hari raya tahun ini ( 2010 ).Istimewanya,semua yang terlibat dalam sesi bergambar ini lengkap dengan identiti bangsa Melayu, iaitu dengan memakai baju Melayu dan berkain pelekat.Kedua-dua unsur ini merupakan adat dan pakaian tradisi masyarakat Melayu sejak zaman bezaman yang diwarisi daripada nenek moyang.  
     Selepas bergambar, tamatlah kunjungan kami dari rumah ke rumah dan kami bersurai.Kunjungan akan diteruskan pula pada waktu malam dan keesokan syawal.Semoga kita dapat lagi berpuasa dan menyambut aidilfitri pada tahun 2011, jika diberi umur yang panjang oleh Allah S.W.T.
                                                                                                                      
Sekian daripada Waris TB



Tiada ulasan:

Catat Ulasan