Apa yang dikatakan Fitnah?
Menurut
Kamus Dewan Edisi Ke-4, fitnah
membawa maksud tuduhan (Khabar, kisah dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk
memburukkan atau membencanakan seseorang dll. Perkataan fitnah ini pula dapat menerbitkan beberapa perkataan lain seperti menfitnah, menfitnahkan, fitnah-menfitnah,
pemfitnahan, dan penfitnah dan setiap perkataan-perkatan tersebut
memberikan makna yang berbeza-beza pula.
Fitnah merupakan komunikasi kepada
satu orang atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas suatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain
berdasarkan atas fakta palsu yang
dapat memengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang, manakala dalam
bahasa Arab kata ‘fitnah’ diserap
dari bahasa Arab, dan pengertian aslinya adalah ‘cubaan’ atau ‘ujian’.
Kesimpulannya, fitnah membawa maksud
tuduhan yang diada-adakan oleh sesetengah pihak kepada seseorang dengan tujuan
memberikan tuduhan negatif berdasarkan fakta palsu yang dapat meruntuhkan
penghormatan (maruah), wibawa, dan reputasi seseorang secara terbuka kepada
masyarakat umum.
Gejala fitnah yang
berlarutan kini
Apa yang hendak penulis kongsikan dalam
blog edisi Jun adalah mengenai isu “Fitnah”. Dewasa ini terlalu banyak fitnah
yang kita lihat dan yang kita dengar saban hari. Setiap hari di dada-dada
akhbar dan di kaca televisyen kita sering dimomokkan dengan cerita-cerita
fitnah seolah-olah ianya sudah menjadi budaya
dan permainan. Ramai antara kita asyik membuka mulut untuk menabur fitnah.
Nauzubillah. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?
Elok juga kita muhasabah diri kita
mengenai perkara ini. Ketahuilah bahawa penyebaran fitnah mudah berlaku dalam
era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas
(SMS), laman web dan e-mel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan
bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang
sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.
Pandangan Islam
tentang fitnah
Bak
kata pepatah “terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Islam menganggap fitnah satu
daripada sifat mazmumah (tercela) dan
dilarang Allah seperti dalam
firman-Nya yang bermaksud :
Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan.
(al-Baqarah: 191)
Jangan kamu ikuti setiap orang yang
banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah.
(al-Qalam: 29)
Oleh itu, kita perlu menjaga dua
perkara dalam berbual atau bergaul, iaitu input
dan output. Pada kebanyakan
waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang
diterima. Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun, iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat
yang kita peroleh. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah
(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)
sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang
sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja
diciptakan untuk memburukkan seseorang. Dalam hal ini pendekatan yang betul
sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima
satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu memastikan
kebenarannya atau memahami maklumat tersebut.
Banyak pihak yang turut terlibat dalam menyebar fitnah
sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi,
disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi
kebiasaan (Nauzubillah), banyak yang turut menyertainya dan seperti
mendapat kepuasan daripada perbuatan itu (Astagfirullah). Fitnah biasanya
disebarkan bertujuan memburukkan
individu atau kumpulan ataupun syarikat. Pada masa sama, perbuatan itu dapat
menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang
diburukkan itu.
Fitnah yang berlaku
dalam sejarah Islam
Dalam
sejarah Islam terkenal sebuah kisah besar tentang fitnah yang menimpa ‘Aisyah RA isteri Rasulullah S.A.W.
yang telah difitnah berbuat selingkuh atau melakukan perkara sumbang dengan
salah seorang sahabat bernama Shafwan
bin Mu’aththal. Orang-orang munafiq
menghembuskan fitnah itu dalam rangka mengaibkan keluarga Rasulullah S.A.W.
Dengan menyebarkan fitnah itu mereka
berharap bahawa Rasulullah S.A.W. beserta keluarganya akan kehilangan
kepercayaan daripada kaum muslimin. Maka untuk menggagalkan kepercayaan yang
baik daripada kaum muslimin, orang-orang munafiq menyebarkan fitnah untuk
menghilangkan kepercayaan kaum muslimin kepada Rasulullah S.A.W. dan keluarganya.
Begitu besarnya bahaya fitnah tersebut terhadap kegiatan dakwah Rasulullah S.A.W.
maka Allah merasa perlu membersihkan nama ‘Aisyah dengan menurunkan beberapa
ayat-Nya, yang bermaksud :
“Sepatutnya semasa kamu mendengar
tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka
kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta
yang nyata.“
(Surah An-Nuur: 12)
“Iaitu semasa kamu bertanya atau
menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut
kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya
dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah
adalah perkara yang besar dosanya. Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya,
kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci
Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah
satu dusta besar yang mengejutkan.”
(Surah An-Nuur : 15-16)
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang
memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari
tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu
lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka
di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau
mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi
orang-orang yang kafir.“
(Surah Al-Baqarah ayat 191)
Fitnah menurut Imam
Ghazali rahmatullahalih
Imam
Ghazali rahmatullahalih dalam buku Ihya
Ulumuddin, menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan
menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu
diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.
Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau
kerelaan orang berkaitan, Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud :
“Adakah kamu semua mengetahui apakah
ghibah (mengumpat)?
Sahabat menjawab : Allah
dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Lalu Baginda Sallallahu’alaihi
Wassalam meneruskan sabdanya :
Kamu berkata mengenai saudara kamu
perkara yang tidak disenanginya.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat :
Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut :
“Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya
bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti
kamu memfitnahnya.”
(Hadis riwayat Abu Hurairah)
Penyebaran fitnah
dilarang oleh Allah S.W.T
Larangan
mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti
dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman!
Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang
dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari
kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya
Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujraat, ayat 12)
Oleh itu, setiap kita umat Islam
perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian
menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah. Perkara pertama perlu diberi
perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu,
yakni siapakah yang mula menyebarkan
berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai
dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan
orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai
menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil.
Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Belajar daripada kesan
fitnah
1.
Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga
kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman
bin Affan RA, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis
agama.
2.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman
pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.
3.
Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana
fitnah.
Kesimpulan
Ubat bagi penyakit hati ialah dengan
memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir. Kerosakan pada hati
membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu.
Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada
menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Dosa menyebar
fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan
menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu
dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Ya
Allah jauhkan kami daripada sifat ini Ya Allah! dan amalkan doa ini :
“Ya Allah aku berlindung kepadaMu
dari seksa neraka Jahannam. Aku berlindung kepadaMu dari seksa kubur. Aku
berlindung kepadaMu dari fitnah Dajjal yang pembohong. Aku berlindung kepadaMu
dari fitnah hidup dan fitnah mati. Aku berlindung kepadaMu dari banyaknya dosa
dan hutang. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan fitnah kaya dan kejelekan
fitnah miskin. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan pendengaran, penglihatan,
lisan dan hatiku. Aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan kepada umur yang
terlalu tua. Dan Aku berlindung kepadaMu dari mati dalam keadaan engkar kepada
agamaMu.“
Rujukan
Kamus
Dewan Edisi Keempat.